Monday, April 29, 2019

TOK MAT WAJAR PIMPIN UMNO



SHAH ALAM 29 April - Ahli Parlimen Rembau yang juga bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin secara berterus-terang memberitahu yang parti tersebut perlu terus dipimpin oleh Timbalan Presiden Datuk Seri Mohamad Hasan dan bukannya diserah kembali kepada Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.



Tegas bekas Menteri Belia dan Sukan tersebut, Ahmad Zahid walaupun masih bergelar Presiden UMNO tetapi terpalit isu peribadi melibatkan kes pendakwaan di mahkamah, manakala Mohamad yang mengambil alih tugas memimpin parti sudah membuktikan kemampuannya dalam tiga pilihan raya kecil.


Katanya, sama juga seperti kes Datuk Seri Najib Tun Razak yang kini sedang membela diri di mahkamah, UMNO tidak boleh lagi memperlihatkan sikap cuba menegak benang yang basah, kerana rakyat sudah menghukum parti berkenaan dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu akibat skandal pemimpin.

“Parti yang sedang dipimpin Tok Mat (Mohamad) kini berada dalam landasan yang tepat walaupun mungkin proses perubahan itu tidak dapat beliau laksanakan dengan sepenuhnya kerana terpaksa berdepan pilihan raya kecil.

“Saya hormat kedua-dua pemimpin ini (Najib dan Ahmad Zahid) tetapi zamannya sudah berlalu tetapi alhamdulillah apabila saya menegurnya dalam hal ini, Datuk Ahmad Zahid mengambil langkah bercuti,” katanya dalam program Bicara Minda di Kompleks Karangkraf di sini hari ini.


Ketokohan Mohamad terserlah apabila berjaya mengembalikan suntikan semangat kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN) selepas kekalahan dalam PRU-14 apabila beliau berjaya memimpin parti memenangi tiga pilihan raya kecil secara berturut-turut iaitu Cameron Highland, Semenyih dan Rantau.

Sunday, April 28, 2019

TERENGGANU AKAN BINCANG DENGAN KELANTAN DASAR ISYTIHAR HARTA

KUALA TERENGGANU, 28 April (Bernama) -- Kerajaan negeri Terengganu akan berbincang dengan Kelantan berhubung keperluan melaksanakan dasar mengisytiharkan harta dan larangan menerima hadiah membabitkan kepimpinan tertinggi kerajaan negeri.

Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, perkara itu juga akan dibawa untuk perbincangan dengan PAS di peringkat pusat kerana ia memerlukan perincian mendalam agar tindakan yang diambil nanti sentiasa konsisten dengan keputusan yang dimuktamadkan.

"Kita sangat serius dalam perkara yang melibatkan integriti ini. Kalau kita nak jadi model terbaik di peringkat negeri dan negara, tentulah sangat penting untuk pastikan tiada ruang yang boleh menggangu kestabilan integriti di negeri ini," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mendengar taklimat khas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Terengganu bersama pentadbiran kerajaan negeri yang turut dihadiri Pengarah SPRM Terengganu, Mohd Zaki Hassan, di sini hari ini.

Ditanya mengenai pembabitan pegawai kerajaan negeri dengan gejala rasuah, Ahmad Samsuri berkata, beliau sentiasa memberi ingatan kepada semua pegawai dan kakitangan agar menghindari perkara tersebut.

-- BERNAMA

Saturday, April 27, 2019

DAP DITENTANG EMPAT CALON DI SANDAKAN

SANDAKAN, 27 April (Bernama) -- DAP berdepan persaingan lima penjuru pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan, 11 Mei ini.

DAP mempertaruhkan Vivian Wong Shir Yee, 30, anak bongsu penyandang kerusi Parlimen Sandakan sebagai calon untuk mempertahankan kawasan itu, dengan dicabar calon PBS, Datuk Linda Tsen Thau Lin, 63, yang juga bekas anggota Parlimen Batu Sapi.

Beliau turut mendapat tentangan tiga calon Bebas iaitu Chia Siew Yung, Sulaiman Samat dan Hamzah Abdullah.

Pegawai Pengurus PRK Sandakan Mohd Hamsan Awang Supain mengumumkan nama calon yang bertanding untuk PRK Sandakan pada jam 10.30 pagi.

Sebelum itu, pusat penamaan calon di Dewan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Tiong Hua Sandakan dibuka pada pukul 9 pagi dan proses mengemukakan borang pencalonan berjalan lancar selama sejam.

Sulaiman merupakan calon pertama menyerahkan borang pencalonan pada pukul 9.05 pagi, diikuti Tsen (9.06 pagi), manakala Hamzah (9.08 pagi), Chia (9.09 pagi) dan Wong (9.14 pagi).

PRK Parlimen Sandakan diadakan selepas penyandangnya, Datuk Stephen Wong Tien Fatt, dari DAP, meninggal dunia akibat serangan jantung di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu pada 28 Mac lepas.

Vivian Wong merupakan anak mendiang, berkelulusan Sarjana Muda dalam Perhubungan Awam dari Universiti Murdoch, Australia, terlibat dalam arena politik sejak 2012 menerusi DAP.

Anak kelahiran Sandakan itu, yang pernah bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Sung Siew di sini, menjadi pegawai khas mendiang bapanya ketika menjawat jawatan Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah serta aktif dalam aktiviti sosial.

Tsen, 63, naib presiden PBS merupakan bekas anggota Parlimen Batu Sapi selama dua penggal selepas tewas pada Pilihan Raya Umum Ke-14 kepada Datuk Liew Vui Keong, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri.

Chia pula merupakan seorang ahli perniagaan, manakala Sulaiman merupakan bekas pembantu tadbir Pusat Khidmat Parlimen Sandakan dan Hamzah adalah bekas pengasas Parti Amanah Negara (AMANAH) Sabah.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon PRK Parlimen Sandakan pada hari ini dan hari mengundi pada 11 Mei dengan hari pengundian awal pada 7 Mei.

Parlimen Sandakan mempunyai dua kawasan Dewan Undangan Negeri iaitu Tanjong Papat dan Elopura dengan jumlah 40,131 pemilih layak mengundi, termasuk 270 pengundi awal dan lima pengundi tidak hadir kerana berada di luar negara.

Daripada jumlah pengundi itu, 20, 274 orang adalah wanita, manakala 19,857 lelaki.

Mendiang Wong dipilih sebagai anggota Parlimen Sandakan selama dua penggal sejak Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) apabila berjaya mengalahkan calon Barisan Nasional (BN) Datuk Leong Vui Keong dengan majoriti 1,088 undi.

Pada PRU-14 lepas, mendiang Wong berjaya mempertahankan kerusi itu dengan majoriti 10,098 undi untuk mengalahkan calon BN Datuk Lim Ming Hoo.



-- BERNAMA

Friday, April 26, 2019

HANYA ADA SATU TEAM BERSATU SAHAJA

MUAR, 26 April (Bernama) -- Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tan Sri Muhyiddin Yassin menafikan wujud dua “team” dalam parti itu dan menegaskan bahawa tiada apa-apa masalah dalam hubungannya dengan Pengerusi Bersatu Tun Dr Mahathir Mohamad.

Muhyiddin berkata dalam Bersatu, hanya ada satu “team Bersatu” sahaja dan jika ada dakwaan kononnya ada dua team, itu hanyalah persepsi sesetengah masyarakat yang melihat seolah-olah berlakunya perbalahan dan perpecahan dalam parti.

Katanya, adalah biasa jika anggota mempunyai pendapat dan pandangan berbeza dalam mana-mana organisasi pun, namun, itu tidak boleh dianggap sebagai satu perpecahan.

“Kita telah bekerja membentuk kerjasama yang baik dengan parti-parti seperti PKR, Amanah sehingga kita berjaya dan hari ini, kita telah dalam kerajaan. Jadi, kami (Bersatu) amat sedar bahawa perpaduan, kerjasama amat penting.

“Jadi, saya harap tiada pihak yang hendak mencari kesempatan atau sengaja hendak mereka-reka cerita yang tidak betul supaya mencemarkan nama baik parti saya, parti kita.

“Yang penting ialah untuk melihat kerjasama ini dapat berterusan. Tiada apa-apa konflik yang berlaku di antara kumpulan tertinggi sejak Bersatu bermula hingga ke hari ini,” katanya sebagai menjawab dakwaan kononnya terdapat ‘team Muhyiddin dan team Dr Mahathir’ dalam Bersatu ketika ini.

Muhyiddin ditemui dalam sidang media selepas merasmikan Sambutan Hari Ulang Tahun Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) yang ke-47 peringkat negeri Johor di Hab Pendidikan Tinggi Pagoh di sini, hari ini.

Sementara itu, ditanya pula sejauh mana kebenaran kenyataan seorang bekas EXCO Johor yang menuduh barisan EXCO negeri itu yang baru adalah ”team” beliau, Muhyiddin menegaskan andaian itu juga tidak tepat serta tidak membantu menunjukkan suasana yang baik bahawa kerajaan yang dipimpin Menteri Besar sekarang (Datuk Dr Sahruddin Jamal) akan terus melaksanakan amanah dan tanggungjawab mereka.

“Waktu YB Mazlan Bujang (bekas exco yang membuat dakwaan) menjadi exco dahulu, dia tidak kata pula dia team saya. Patutnya dulu pun dia kata team saya.

“Tidaklah baik dari sesiapa sahaja pun mengeluarkan kenyataan, seolah-olah ada team ini ada team itu. Tidak ada, pasal semasa saya tubuhkan parti ini, saya melihat team Bersatu sahaja atau pun team Pakatan Harapan sahaja.

"Jadi tidak eloklah membuat kenyataan begitu. Sebenarnya, kita dalam satu pakatan, harus bekerjasama ketepikan perbezaan atau rasa kurang puas hati walau apa sekali pun perkara. Tumpukan pada usaha untuk menyokong kepimpinan kerajaan negeri dan melaksanakan usaha pembangunan,” katanya.

Ditanya lagi sama ada ketidakpuasan hati itu turut akan mengakibatkan perpecahan dalam Bersatu Johor, Muhyiddin berkata beliau berharap ia tidak begitu.

“...pasal kita kena ingat, kita menang dulu pun kerana kita bekerjasama sebagai satu pasukan yang bersatu. Kalau tujuannya hanya untuk memecah-belahkan supaya kita kalah, itu niat tidak ikhlas. Sepatutnya tidak berbangkit soal itu,” katanya.

Minggu lepas, menerusi beberapa laporan akhbar, Mazlan dipetik sebagai berkata terdapat EXCO-EXCO baharu yang dipilih dalam barisan EXCO negeri Johor merupakan “Team Muhyiddin”.

Namun, ia telah dinafikan oleh Menteri Besar Johor sendiri yang mengatakan kesemua EXCO dipilih merupakan pilihannya sendiri, untuk melaksanakan aspirasi kerajaan Pakatan Harapan demi kebaikan rakyat Johor.

Sementara itu, penegasan Muhyiddin bahawa tiada apa-apa masalah dalam hubungannya dengan Perdana Menteri sekali gus menolak cakap-cakap kononnya hubungannya dengan Dr Mahathir terjejas berikutan isu pelantikan EXCO Johor, baru-baru ini.

“Kami tidak begitu. Ya lah, dalam mana-mana proses politik atau lain-lain, kadang-kadang ada perbezaan dari segi pandangan. Itu mana-mana pun ada tetapi apapun ia harus dimatikan sebagai bukti parti kita ini demokratik dan kita tidak menyekat, menghalang sesiapa memberi pandangan, pendapat.

“Disebabkan itu, kalau orang mengandaikan perbezaan berkenaan ialah perpecahan dan perbelahan, saya tidak fikir itu satu perkara yang betul. Setakat ini, saya tidak ada apa-apa masalah dan masih terus memimpin parti bersama Tun M, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan rakan-rakan lain di peringkat nasional dan negeri,” kata Muhyiddin.

Muhyiddin yang juga Menteri Dalam Negeri ditemui pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Ulang Tahun Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) yang ke-47 peringkat negeri Johor di Hab Pendidikan Tinggi Pagoh, di sini hari ini.

-- BERNAMA

Thursday, April 25, 2019

EXCO DIAM DIRI MAKIN PULIH

SEREMBAN, 25 April (Bernama) -- Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berharap tindakan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesenian, Kebudayan dan Adat Istiadat Melayu Negeri Sembilan Mohamad Nazaruddin Sabtu, yang mendiamkan diri pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selasa lepas, tidak dipanjangkan.

Aminuddin sebaliknya meminta agar semua Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) mendoakan kesihatan Mohamad Nazaruddin supaya beliau mampu meneruskan amanah yang diberikan kepadanya sebagai Exco negeri.

“Beliau mulai pulih, kadang-kadang saya wakilkan pada Exco lain untuk bantu... kita jangan paksa jangan nyatakan bukan-bukan kerana bagi saya tidak molek untuk kita berpandangan atau memberi tekanan kerana baru beberapa bulan dia tidak sihat.

"Kesihatan ini amat sensitif, kadang-kadang saya berasa sedih kerana kita sendiri pun tak tahu bila masa kita akan tiba," katanya ketika demikian semasa menggulung Perbahasan Titah Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir pada Persidangan Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri di sini, hari ini.

Terdahulu, Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN-Gemecheh) mencelah dan bertanya mengenai keadaan Mohamad Nazaruddin kerana bimbang atas kesihatannya.

"Saya cuma nak tanya kerana risau tengok keadaan dia untuk menjalankan tugas. Pada persidangan sebelum ini pun dia tidak hadir untuk beberapa hari," katanya.

Selasa lalu, suasana di DUN Negeri Sembilan hangat apabila wakil rakyat pembangkang mempersoalkan tindakan Mohamad Nazaruddin yang mendiamkan diri dan membiarkan soalan berkaitan portfolionya dijawab oleh wakil kerajaan.

Mohamad Nazaruddin dilihat hanya mendiamkan diri menyebabkan Mohamad Taufek (PH-AMANAH Paroi) bangun dan menjawab soalan berkenaan.

-- BERNAMA

Wednesday, April 24, 2019

USNO SOKONG PBS DI PRK SANDAKAN



SANDAKAN, 24 April (Bernama) -- Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) memutuskan untuk tidak bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sandakan, sebaliknya akan menyokong calon Parti Bersatu Sabah (PBS) pada 11 Mei ini.

Ketua Penerangan USNO Musli Oli berkata USNO akan menghantar sepasukan terdiri daripada anggota kepimpinan tertinggi parti untuk membantu PBS berkempen dalam PRK berkenaan.

“Keputusan ini dibuat atas dasar bahawa parti USNO menyokong kerjasama antara parti-parti politik pembangkang demi memastikan proses dan nilai demokrasi yang diamalkan di negara ini terlaksana dalam erti kata sebenar.

“Majoriti Anggota Majlis Tertinggi (AMT) USNO juga berpendapat bahawa parti USNO pada masa ini perlu memberi fokus kepada usaha memperkemas dan memantapkan jentera pentadbiran parti di peringkat pusat serta menubuhkan bahagian-bahagian parti USNO di seluruh Sabah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Kerusi Parlimen Sandakan kosong selepas penyandangnya mendiang Datuk Stephen Wong Tien Fatt meninggal dunia dipercayai akibat serangan jantung pada 28 Mac lepas.

-- BERNAMA

Tuesday, April 23, 2019

SHAHIDAN SENTUH LUAR BIASA REMAJA BAWAH UMUR

KANGAR, 23 April (Bernama) -- Pendakwaan kes anggota Parlimen Arau Datuk Seri Shahidan Kassim yang didakwa mencabul seorang remaja perempuan bawah umur pada Oktober tahun lepas bermula hari ini dengan dua orang saksi dipanggil memberi keterangan.

Saksi pertama, guru muzik Sekolah Kebangsaan Kampung Salang, Arau, selaku pengurus kumpulan Buskers DSSK, Azhar Hasan, 49, manakala saksi kedua, Adzleen Junaira Mohd Nasir, 27, ialah isteri kepada seorang anggota kumpulan itu.

Ketika disoal oleh Pengarah Pendakwa Raya Perlis, Mohd Nordin Ismail, Azhar menggunakan perkataan ‘sentuhan luar biasa’ bagi menggantikan perkataan cabul.

Azhar berkata kumpulan itu sedang membuat persembahan di hadapan Stadium Tuanku Syed Putra Kangar apabila Shahidan tiba dengan menaiki Toyota Harrier dan berhenti tidak jauh dari tempat mereka membuat persembahan kira-kira pukul 11.30 malam.

Katanya seperti biasa beliau pergi kepada Shahidan dan kemudian melambai ke arah remaja itu (yang berusia 15 tahun tujuh bulan semasa kejadian) supaya datang.

Menurutnya setelah berada dua atau tiga minit dalam kereta, remaja itu dilihat keluar dari kenderaan berkenaan dan berjalan ke arah khemah di mana ibu, bapa dan adik remaja itu sedang menyaksi kumpulan Buskers DSSK membuat perembahan.

Katanya beliau berpendapat sesuatu luar biasa berlaku antara remaja itu dan tertuduh apabila bapa remaja itu tiba-tiba mengajak pulang sebaik dimaklumkan sesuatu oleh ibunya.

“Saya pula tidak melihat atau mendengar perbualan mereka kerana berada di belakang kenderaan,” kata Azhar

Beliau berkata Shahidan kemudian meninggalkan kawasan itu setelah menyerahkan wang RM300 kepadanya.

Shahidan dituduh melakukan amang seksual dengan menyentuh bahu hingga tangan seorang remaja perempuan bawah umur dalam kereta Toyota Harrier di tepi jalan pada kira-kira pukul 11.30 malam di perkarangan Stadium Syed Putra, Kangar pada 20 Oktober tahun lepas.

Beliau dituduh mengikut seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Adzleen Junaira pula berkata dia melihat remaja itu berjalan agak laju semasa keluar dari Toyota Harrier Shahidan dan hampir menangis semasa menceritakan kejadian di dalam kenderaan itu.

“Dia cakap kat mak dia, dia dipegang di bahu dan tangan kiri oleh DSSK (gelaran untuk Datuk Seri Shahidan Kassim).

Saya juga dengar bapanya cakap: “malam ni pi rumah DSSK pun tak apa.” Ini ayat-ayat marah setelah mendapat tahu kejadian pegang bahu anaknya itu daripada isteri beliau,” kata Adzleen.

Katanya beliau bersama suaminya Saiful Anuar menemani keluarga itu membuat aduan di Balai Polis Kangar pada kira-kira pukul 3.00 pagi.

Shahidan diwakili peguambela Zamri Ibrahim yang dibantu Zuhair Ahma Zakwan, Thalia Rohana Abdul Latiff dan Syed Muhammad Anwar Syed Lokman.

Pendakwaan dijalankan oleh Pengarah Pendakwa Raya Perlis Mohd Nordin Ismail manakala Hakim Mahkamah Sesyen Kangar, Ainul Shahrin Mohamad mendengar kes itu.

Perbicaraan bersambung esok dengan saksi ketiga akan dipanggil untuk memberi keterangan.

-- BERNAMA

Monday, April 22, 2019

DUA BEKAS PEGAWAI MUHYIDDIN ANTARA TIGA MUKA BAHARU EXCO JOHOR

JOHOR BAHRU, 22 April (Bernama) -- Tiga muka baharu antara 10 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor yang mengangkat sumpah di hadapan Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar di Balai Mengadap, Istana Bukit Serene, pagi ini.

Tiga muka baharu tersebut ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tenang Mohd Solihan Badri dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu); ADUN Bukit Permai Tosrin Jarvanthi juga dari Bersatu dan ADUN Jementah Tan Chen Choon dari Parti DAP.

Mohd Solihan, 61, adalah Pengarah Media Bersatu Johor dan telah lama bergerak aktif dalam bidang politik.

Beliau yang berasal dari Kampung Parit Medan, Kundang Ulu, Tangkak, mempunyai Sijil Pembantu Perubatan dari Kementerian Kesihatan Malaysia (1979) dan melanjutkan pelajaran di Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang sebelum meraih Ijazah Sarjana Muda Sains Kemasyarakatan dari universiti berkenaan.

Mohd Solihan juga merupakan bekas wartawan dan Penyunting Eksekutif di Berita Harian dan Harian Metro pada tahun 1984 sehingga 1997.

Selain itu, beliau pernah menjadi Setiausaha Akhbar Datuk Seri Mustapa Mohamed yang ketika itu Menteri Kewangan Kedua (1998-1999) selain menjadi Setiausaha Politik kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang ketika itu Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani (2004-2007).

Pada Pilihan Raya Umum ke-14, beliau mengalahkan calon Barisan Nasional Mohd Azahar Ibrahim dengan meraih sebanyak 7,645 undi dengan majoriti 1,070 undi.

Sementara itu, Tan Chen Choon, 49, dilahirkan pada 5 Feb 1970 di Bukit Gambir.

Naib Pengerusi DAP Johor itu mempunyai ijazah kejuruteraan mekanikal dari University of Hertfordsire, United Kingdom.

Pada PRU14, beliau memenangi kerusi Jementah dengan majoriti besar meraih 16,336 undian dengan mengalahkan calon BN Chiam Yok Meng yang mendapat 9,335 undi.

Bagi ADUN Bukit Permai, Tosrin, beliau yang dilahirkan pada 8 April 1986 di Kampung Air Manis, Kulai itu, merupakan seorang veteran politik.

Beliau mendapat pendidikan di Sekolah Kebangsaan Pengkalan Rinting dan juga bersekolah di SK Ladang Fraser Kulai sehingga darjah enam.

Bekas ADUN Sedili pada tahun 1986 itu, juga pernah menjadi Pegawai Khas kepada Muhyiddin.

Pada PRU14, beliau dari Bersatu, mengalahkan calon Barisan Nasional Ali Mazat Salleh, yang merupakan penyandang kerusi berkenaan, dengan majoriti undi sebanyak 2,531 undi.

-- BERNAMA

Sunday, April 21, 2019

SPRM KALAH LAGI KES RASUAH BEKAS EXCO JOHOR

JOHOR BAHRU, 21 April (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan mengemukakan rayuan ke Mahkamah Tinggi susulan keputusan Mahkamah Sesyen di sini hari ini yang melepas dan membebaskan bekas Exco Johor, Datuk Abdul Latif Bandi bersama dua individu lain, tanpa dipanggil membela diri.

Ketiga-tiga mereka dibebaskan daripada 37 pertuduhan rasuah serta kes Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLA) berjumlah lebih RM30 juta.

SPRM dalam satu kenyataan di sini hari berkata pihaknya akan mengemukakan rayuan ke Mahkamah Tinggi hasil perbincangan bersama Timbalan Pendakwa Raya.

Tindakan tersebut akan dilakukan sebelum tempoh 14 hari seperti yang telah ditetapkan oleh mahkamah.

Terdahulu, bekas Exco Johor Datuk Abdul Latif Bandi, 53, anaknya Ahmad Fauzan Hatim, 27 serta perunding hartanah, Amir Shariffuddin Abd Raub, 46, didapati tidak bersalah oleh Mahkamah Sesyen, atas 33 pertuduhan rasuah dan empat pertuduhan melibatkan penggubahan wang haram, kesemuanya berjumlah RM35.7 juta, dua tahun lepas.

Hakim Kamarudin Kamsun membuat keputusan melepas dan membebaskan setelah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Abdul Latif, Ahmad Fauzan dan Amir Shariffuddin.

Ketiga-tiga mereka menghadapi pertuduhan membabitkan rasuah mengikut Seksyen 28 (1) (C) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang dibaca bersama Seksyen 16(a)(B).

Mereka turut didakwa mengikut Seksyen 32(8)(c) dan Seksyen 89 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLA) 2001.

-- BERNAMA

Saturday, April 20, 2019

DAPATKAN PAKEJ CANDAT SOTONG DARI PENGUSAHA YANG SAH

KUALA TERENGGANU, 20 April (Bernama) -- Pelancong yang ingin mengikuti aktiviti candat sotong dinasihatkan supaya berhati-hati dan mendapatkan perkhidmatan daripada pengusaha berlesen.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman berkata ia bagi menjamin keselamatan mereka, terutama dalam tuntutan insurans sekiranya berlaku kejadian tidak diingini.

Katanya mereka boleh mendapatkan perkhidmatan sembilan agensi rasmi yang menawarkan pakej mencandat sotong dengan harga berpatutan serta kemudahan bot yang selesa.

"Kita amat mengalu-alukan kedatangan pelancong yang datang ke Terengganu untuk merasai pengalaman mencandat sotong tetapi perlu cari yang berdaftar," katanya selepas melancarkan Karnival Maghi Candat Sotong 2019, di sini hari ini.

Seramai 580 peserta dengan 43 bot menyertai pertandingan mencandat sotong anjuran kerajaan negeri dengan kerjasama Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Tourism Malaysia Terengganu.

Mengulas lanjut, Ariffin berkata aktiviti mencandat sotong yang merupakan aktiviti tahunan dalam kalendar pelancongan negeri sentiasa mendapat sambutan menggalakkan dari tahun ke tahun.

Katanya selain pelancong dari dalam negara, terdapat juga pelancong dari Singapura dan Brunei yang membuat tempahan bot merasai sendiri pengalaman mencandat sotong yang tidak ada di tempat lain.

"Kedatangan Ramadan juga tidak menjejaskan kedatangan pelancong yang datang untuk merasai pengalaman ini. Menurut maklumat nelayan, kesemua bot mereka telah ditempah penuh bermula April hingga September oleh pelancong dari luar Terengganu," katanya.

Tambahnya, aktiviti mencandat sotong juga telah memberi limpahan ekonomi kepada masyarakat tempatan termasuk peniaga kecil dan penjaja.

-- BERNAMA

Friday, April 19, 2019

PAHANG-GO TEROKA TRANSAKSI TANPA TUNAI JANA PENDAPATAN BAHARU

KUANTAN, 19 April (Bernama) -- Kerajaan negeri Pahang berhasrat meneroka sumber pendapatan baharu kerana tidak boleh bergantung kepada sumber semula jadi atau komoditi tradisional selamanya, kata Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Beliau berkata antara strategi kerajaan negeri untuk menambah nilai hasil pendapatan yang lebih mampan pada masa hadapan ialah menerusi ekonomi digital, pengurusan aset dan hartanah, tenaga hijau serta tenaga boleh diperbaharui.

"Inisiatif meneroka sektor ekonomi digital dizahirkan dengan penubuhan Pahang-Go yang membantu pelaksanaan urus niaga atas talian dan traksaksi tanpa tunai selari dengan perkembangan tren industri revolusi 4.0.

"Manakala penubuhan Pahang Corporation akan berperanan sebagai agensi penyelaras bagi memperkemaskan operasi syarikat berkaitan kerajaan negeri yang melibatkan perkhidmatan perkongsian seperti khidmat audit dan kesetiausahaan," katanya.

Wan Rosdy berkata demikian semasa menggulung Perbahasan Titah Diraja Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah pada persidangan penggal kedua Dewan Undangan Negeri Pahang di Wisma Sri Pahang di sini, hari ini.

Beliau juga memberi jaminan bahawa hanya individu yang layak dan profesional dan tiada penglibatan dalam politik dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Pahang Corporation bagi menjamin kejayaannya.

"Tenaga boleh diperbaharui juga merupakan antara perkara yang boleh diusahakan untuk meningkatkan pendapatan negeri seperti sisa buangan atau sampah domestik diproses menjadi baja.

"Negara Eropah mempunyai teknologi untuk menghasilkan produk sampingan ini dan kerajaan negeri akan cuba untuk menarik pelabur dari negara itu untuk menceburkan diri dalam aktiviti ini," katanya.

Wan Rosdy yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelai menambah pelancongan sukan pula merupakan sektor yang sedang berkembang yang boleh menjana kahadiran pelancong sekaligus memberi limpahan ekonomi kepada rakyat.

Berkaitan isu perlombongan bauksit, Wan Rosdy berharap pihak terlibat termasuk peneroka dapat bersabar menanti keputusan Kerajaan Persekutuan yang sedang mengemaskini prosedur operasi standard (SOP) aktiviti itu.

Katanya, kerajaan negeri juga bersetuju sebuah jawatankuasa pengawasan ditubuhkan dengan penglibatan jabatan kerajaan Persekutusan dan kerajaan negeri bagi mengawasi aktiviti itu.

Wan Rosdy seterusnya memaklumkan Pahang mempunyai kira-kira 2.057 juta hektar kawasan berhutan dan kawasan tadahan air seluas 258,952 hektar yang menunjukkan kesediaan Pahang membantu memelihara kepentingan nasional.

Katanya, Pahang juga menyediakan tanah paling luas iaitu hampir 5,157 hektar untuk taman kekal pengeluaran makanan.

"Oleh itu, pampasan seharusnya diterima kerajaan negeri atas 'pengorbanan' ini. Jika tidak pun, kerajaan Persekutuan hendaklah mengiktirafnya dengan memberikan keputusan yang lebih memihak kepada kita seperti diskaun hutang atau membawa lebih banyak projek pembangunan ke sini," katanya.

Wan Rosdy berkata kesediaan kerajaan negeri meluluskan peruntukan pembangunan RM30,000 secara 'lump sum' kepada wakil rakyat pembangkang tahun ini juga menunjukkan sikap bertimbang rasa selain menunjukkan kedudukan kewangan berada dalam keadaan sihat.

Persidangan bersambung pada tarikh yang akan ditentukan kelak.

-- BERNAMA

Thursday, April 18, 2019

DR AZIZ BARI NAFI SUARANYA KRITIK MB PERAK

IPOH, 18 April (Bernama) -- "Saya tidak tahu, ia (rakaman audio) tidak authentic (sahih)," demikian reaksi Dr Abdul Aziz Bari mengenai rakaman tular terbaharu mengkritik kepimpinan Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Rakaman audio berdurasi 4 minit 22 saat itu tular sejak semalam didakwa milik suara seorang Anggota Dewan Undangan Negeri (Exco), malah ada yang mengaitkannya dengan Abdul Aziz yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Teknologi, Sains dan Alam Sekitar negeri.

Abdul Aziz ketika ditemui media menegaskan dalam era kecanggihan teknologi ketika ini, pelbagai perkara boleh dibuat.

"Saya tidak tahu. Saya tidak dengar (rakaman audio), rakaman seperti ini datang daripada sumber tidak rasmi dan boleh dibuat," katanya ketika ditemui pemberita di luar Persidangan Dewan Undangan Negeri Perak di sini, hari ini.

Ketika ditanya mengenai dakwaan segelintir pihak yang mengaitkan rakaman audio itu milik beliau, Abdul Aziz (DAP-Tebing Tinggi) menafikannya dan menyifatkan ia sebagai sembang kedai kopi.

"Semua kata macam itu, tapi sekarang ini macam-macam orang dituduh macam itu. Kecuali kalau saya buat sidang media, semua orang nampakkan (wajah saya)...asli dan 'authentic' kan," soalnya.

Selain itu, Abdul Aziz turut mempertikaikan mengapa beliau dikaitkan dengan rakaman audio tular tersebut.

"Kenapa diarah kepada saya sahaja, saya seorang sahajakah ada potensi untuk jadi menteri besar Orang lain tiada Banyak kali dah," demikian pertikai Abdul Aziz.

Abdul Aziz sebelum ini juga pernah dikaitkan sebagai dalang yang menggerakkan usaha untuk menggulingkan menteri besar, namun beliau menafikannya.

Ahmad Faizal juga menafikan usaha menggulingkannya, sebaliknya menegaskan hubungan beliau dengan 10 lagi Exco sangat baik umpama 'satu keluarga besar yang gembira'.

-- BERNAMA

Wednesday, April 17, 2019

JPJ PULAU PINANG LAKSANA RASUAH BERJEMAAH

GEORGE TOWN, 17 April (Bernama) -- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang sedia memberikan kerjasama penuh kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berhubung penahanan 23 penguat kuasa jabatan itu semalam.

Pengarah JPJ negeri Mohamat Johari Mat Nor berkata pihaknya juga menyerahkan sepenuhnya siasatan berhubung kegiatan rasuah melindungi pemandu-pemandu lori yang melakukan kesalahan jalan raya khususnya membawa lebih muatan di sekitar Pulau Pinang kepada pihak SPRM.

"Setakat ini kita serahkan kepada pihak SPRM dan kita akan berikan kerjasama sepenuhnya, perkara itu (tangkapan penguatkuasa JPJ) tidak akan menjejaskan kerja serta semangat anggota JPJ yang lain," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Semalam, SPRM menahan 31 individu termasuk 23 anggota penguatkuasa JPJ Pulau Pinang bagi membantu siasatan berhubung kegiatan rasuah melindungi pemandu-pemandu lori yang melakukan kesalahan jalan raya khususnya yang membawa lebih muatan di sekitar negeri ini.

Penahanan 28 lelaki dan tiga wanita berusia lingkungan 31 hingga 54 tahun itu bagi membantu siasatan dan SPRM tidak menolak kemungkinan ramai lagi yang akan dipanggil bagi membantu siasatan.

Semua penguat kuasa JPJ gred 19 hingga 32 ini dipercayai menerima bayaran antara RM10,000 dan RM32,000 secara bulanan sebagai dorongan tidak mengambil tindakan terhadap pemandu-pemandu lori terlibat selain turut membocorkan maklumat operasi JPJ.

-- BERNAMA

Tuesday, April 16, 2019

POLIS SEDANG KESAN BUDAK HILANG

KUALA LUMPUR, 16 April (Bernama) -- Polis sedang mengesan kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun yang dipercayai hilang selepas keluar dari rumahnya di Pangsapuri Seri Dahlia, Bandar Seri Putra dekat sini, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang ACP Ahmad Dzaffir Mohd Yusoff berkata laporan kehilangan Muhammad Zahiruddin Putra Mohd Fauzi dibuat bapa mangsa di Balai Polis Bangi, awal pagi tadi.

“Mangsa kali terakhir dilihat bermain di taman permainan di rumahnya pada Isnin, kira-kira 6 petang. Ini merupakan kejadian kali pertama mangsa tidak pulang ke rumah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata pihaknya telah menghantar permohonan Nur Alert untuk membuat hebahan dan makluman bagi mengesan mangsa.

“Makluman juga dipanjangkan kepada Pusat Kawalan Daerah Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang untuk hebahan kepada anggota bertugas membuat rondaan,” katanya.

Ahmad Dzaffir berkata kes diklasifikasikan sebagai orang hilang dan siasatan berhubung kes itu sedang dijalankan.

Hari ini, Bernama melaporkan Muhammad Zahiruddin Putra hilang selepas keluar dari rumahnya untuk bermain pada kira-kira 8 pagi semalam.

Ibu mangsa Sainih Sunding, 46, berkata anak bongsu daripada lima beradik itu tidak ke sekolah semalam dan keluar untuk bermain dengan rakan.

-- BERNAMA

Monday, April 15, 2019

DUA REMAJA LARI DARI RUMAH TAK PUAS HATI DENGAN IBU MEREKA

KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Dua remaja perempuan yang dilaporkan hilang selepas meraikan Tahun Baharu Tamil di sebuah kondominium di Jalan Gasing Indah, Petaling Jaya dekat sini, semalam telah ditemui, dan polis mengesahkan ia adalah kes remaja melarikan diri dari rumah.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Mohd Zani Che Din berkata Natshatra Navinata,15, dan Divyaa Munian, 16, ditemui di stesen KTM Komuter Batu 3 pada kira-kira pukul 2.30 petang.

Katanya mereka kemudiannya dibawa ke rumah ibu saudara di Sungai Buloh sebelum dihantar ke Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya pada pukul 7.30 petang ini untuk rakaman percakapan, dan kedua-dua mereka akan dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya untuk pemeriksaan kesihatan.

“Punca (kejadian) melarikan diri dari rumah kerana tidak puas hati dengan ibu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Salah seorang daripada remaja itu dipercayai telah mengikut rakannya yang tidak mahu pulang ke rumah, sebelum kedua-duanya ditemui oleh ibu saudara salah seorang daripada mereka di Shah Alam.

Sementara itu ibu Natshatra, Sheila Manikam mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang membantu mencari anaknya dan Divyaa.

“Mereka ditemui selama, terima kasih kepada semua,” katanya.

Media hari ini melaporkan Natshatra dan Divyaa hilang sejak malam Ahad selepas Divyaa dikatakan menempah Grab untuk pulang ke rumahnya dan Natshatra menemankannya hingga ke lobi kondominiumnya di Jalan Gasing Indah. Sebelum itu, kedua-dua mereka telah ke sebuah kuil berdekatan untuk meraikan Tahun Baharu Tamil.

Tempahan Grab itu dibatalkan dan kedua-dua mereka tidak pulang ke rumah, menyebabkan keluarga mereka membuat laporan polis dan meminta bantuan orang ramai melalui media sosial untuk mengesan kedua-dua mereka.

-- BERNAMA

v

Sunday, April 14, 2019

ANWAR AKUI RANTAU KUBU MAT HASSAN

KUANTAN, 14 April (Bernama) -- Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan tindakan tegas akan diambil jika ada anggota parti itu yang terbabit dalam insiden pergaduhan dan memeriksa sebuah kereta peronda polis (MPV) di Rantau, Negeri Sembilan, semalam.

Beliau berkata kedua-dua insiden itu tidak boleh dipandang ringan kerana tiada sebab untuk mana-mana individu bersikap biadap atau angkuh seperti yang berlaku.

"... tiada sebab juga untuk (individu terlibat) mengambil alih kuasa dan kerja polis. Jika benar ini berlaku, saya sokong tindakan tegas polis kerana parti ini adalah parti yang menghormati undang-undang.

"Saya juga sudah merujuk kepada Biro Disiplin untuk membuat siasatan dalaman dan mereka bebas untuk mengambil tindakan," katanya kepada pemberita selepas merasmikkan Pejabat PKR Pahang di Kuantan Avenue, di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah, yang juga Anggota Parlimen Indera Mahkota, dan Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Negeri, Fuziah Salleh.

Anwar berkata demikian semasa diminta mengulas insiden pergaduhan yang didakwa berlaku di Bilik Gerakan Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau melibatkan dua kumpulan dalam PKR selepas keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Rantau diumumkan semalam.

Selain itu, turut tular di media sosial hari ini, ialah rakaman video lima lelaki, didakwa penyokong PH memaksa dua anggota polis membuka but MPV di hadapan pusat mengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hua, Rantau kerana mengesyaki kereta polis itu membawa kertas undi ke pusat pengundian.

Dalam perkembangan lain, Anwar menyifatkan kekalahan PH pada tiga PRK iaitu Cameron Highlands, Semenyih dan Rantau secara berturut-turut sebagai bukan suatu trend kerana ia bergantung kepada kawasan dan pengundi di situ.

"Kita menang empat PRK (Sungai Kandis, Seri Setia, Balakong dan Port Dickson) sebelum itu. Kita harus terima hakikat bahawa Rantau adalah kubu Tok Mat (calon Barisan Nasional Datuk Seri Mohamad Hasan) selama 15 tahun.

Menurutnya, kekalahan itu juga sebagai peringatan daripada rakyat yang semakin bijak menilai kerajaan untuk bekerja lebih kuat dalam menangani masalah dan menepati janji yang dibuat sebelum ini.

Saturday, April 13, 2019

PH HORMATI KEPUTUSAN PENGUNDI RANTAU

SEREMBAN, 13 April (Bernama) -- Pakatan Harapan (PH) menghormati keputusan yang diambil pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau yang memilih Datuk Seri Mohamad Hasan sebagai wakil rakyat mereka pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan itu.

Sambil mengucapkan tahniah kepada Mohamad, Ketua Umum PH Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kenyataan malam ini berkata kekalahan itu merupakan peringatan kepada pimpinan PH agar memberi perhatian sewajarnya terhadap kebimbangan rakyat berkaitan isu ekonomi dan kos sara hidup.

“Saya melahirkan keyakinan PH akan kembali bangkit mendapat sokongan rakyat selepas ini. Terima kasih juga kepada jentera Keadilan (PKR) serta parti komponen PH yang lain kerana berjaya menunjukkan kematangan dan contoh baik ketika sesi kempen,” kata Presiden PKR yang juga Anggota Parlimen Port Dickson itu.

Sementara itu, Pengerusi PH Negeri Sembilan yang juga Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata kekalahan dalam PRK DUN Rantau tidak akan menjejas sebarang perancangannya bagi negeri ini.

Katanya, walaupun kalah, PH masih mendahului komposisi DUN Negeri Sembilan dengan 20 kerusi berbanding pembangkang 16 kerusi.

"Kita tidak akan berhenti di sini kerana ia tidak melibatkan perkara yang menjejaskan kredibiliti kerajaan. Tidak kira berlaku atau tidak berlaku kekalahan ini saya akan bekerja 24 jam untuk memastikan keselesaan rakyat," katanya kepada pemberita dalam sidang media di Bilik Gerakan Utama (BGU) PH, di sini.

Dalam pada itu, beliau berkata siasatan akan dijalankan jika ada laporan mengenai dakwaan unsur sabotaj yang menyebabkan kekalahan PH pada PRK berkenaan.

Pada PRK itu, Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO mempertahankan kerusi DUN Rantau buat penggal keempat selepas menewaskan tiga pencabarnya termasuk Dr S. Streram yang mewakili PH dan dua calon Bebas iaitu suri rumah R. Malarvizhi dan bekas pensyarah Mohd Nor Yassin.

Bekas menteri besar Negeri Sembilan itu memperoleh majoriti 4,510 undi, selepas mendapat 10,397 undi manakala Dr Streram yang juga Timbalan Ketua PKR Cabang Rembau mendapat 5,887 undi manakala Malarvizhi dan Mohd Nor, masing-masing memperoleh 83 serta 79 undi.

-- BERNAMA

Friday, April 12, 2019

RIBUAN HADIRI CERAMAH HAJI HADI DAN MAT HASSAN DAPATKAH MEMENANGKAN CALON BN?



REMBAU 11 April - Datuk Seri Mohamad Hasan menganggap kekalahan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) mempunyai hikmahnya apabila menyatukan dua parti Melayu terbesar iaitu UMNO dan Pas.

Timbalan Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas presiden itu berkata, kekalahan tersebut perlu dijadikan iktibar untuk saling bekerjasama dan membina semula kekuatan.

“Malam ini jelas sekali kerjasama apabila kita bersama-sama satu pentas dengan rakan kita dari Pas.Tak semestinya apabila kalah tak bangkit. Kita kena ingat bahawa ada panas ada hujan, ada siang dan malam, kalau pasang ada surut.


“Sebab itu saya beritahu Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, kita tak ada pilihan dan strategi politik perlu perkukuhkan dengan UMNO dan Pas bersama.

“Bertuahnya kita walaupun ada banyak masalah, saya lihat ada cahaya di hujung terowong. Mari kita tanam benih perpaduan ummah ini. Apabila ada buah nanti kita makan sama-sama,” katanya.

Calon BN bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau itu berkata demikian semasa berucap dalam Ceramah Perdana di Taman Angsamas di sini malam ini.

Yang turut hadir, Abdul Hadi; Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M. Saravanan; Naib Presiden MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker dan Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan.

Mohamad berkata, kerjasama UMNO, Pas serta parti-parti komponen BN ketika ini menjadikan gabungan itu kuat dan mula menampakkan hasil apabila buat kali pertama pindaan Perlembagaan yang dibentangkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) di Parlimen semalam tidak diluluskan.

Beliau turut menafikan tuduhan DAP bahawa agenda perpaduan ummah itu adalah ‘pengisytiharan perang’ terhadap bukan Islam dan kononnya akan mewujudkan kerajaan Taliban jika UMNO serta Pas membentuk kerajaan.

Katanya, sepanjang BN menjadi kerajaan telah terbukti berjaya membendung kegiatan keganasan seperti Daesh dan Al-Qaeda yang turut mendapat pengiktirafan dunia.


Ujarnya, Pas yang telah hampir 30 tahun mentadbir Kelantan pula telah menjadikan negeri itu tempat terbaik dan aman kepada kaum India, Cina dan Siam.


Thursday, April 11, 2019

UPIN DAN IPIN: KERIS SIAMANG TUNGGAL KUTIP RM25 JUTA

KUALA LUMPUR, 11 April (Bernama) -- Filem animasi 'Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal' mencatat kutipan tiket RM25 juta hanya dalam tempoh tiga minggu sejak ditayangkan pada 21 Mac lepas.

Filem tempatan terbitan Les' Copaque Production Sdn Bhd yang telah menemui kira-kira dua juta penonton di Malaysia itu juga bakal menembusi pasaran antarabangsa dalam masa terdekat.

"Setakat ini, kita memasuki pasaran Vietnam yang mana proses alih suara telah dilakukan sebelum menemui penonton di sana pada 26 April nanti," kata Pengarah Urusan Les' Copaque Production Burhanuddin Md Razi pada sidang media khas mengenai kutipan pecah panggung RM25 juta filem tersebut, di sini hari ini.

Burhanuddin berkata filem itu juga akan menembusi pawagam Indonesia mulai 9 Mei yang menurutnya satu kejayaan membanggakan kerana bukan mudah untuk sebuah filem animasi tempatan menembusi pasaran negara jiran tersebut.

"Buat pertama kali, sebuah filem animasi (kita) dapat ditayangkan bukan di beberapa pawagam tetapi di pawagam seluruh Indonesia. Permintaan ini sangat luar biasa dan sudah tentu ia menjadi satu pengiktirafan kepada hasil karya anak tempatan dalam animasi," katanya.

Burhanuddin berkata pihaknya juga bakal menandatangani perjanjian dengan pengedar filem dari China pada 19 April ini untuk memasarkan filem animasi itu di negara berkenaan.

Katanya, pihaknya positif filem itu akan diterima baik penonton negara China setelah dialih suara ke bahasa Mandarin.

Ia mengisahkan pengembaraan kembar animasi Upin dan Ipin bersama rakan-rakan mereka ke sebuah kerajaan dongeng dikenali sebagai Inderaloka selepas menemui sebilah keris.

Pengarah kreatif filem itu, Adam Amiruddin berkata kehadiran permainan video Upin dan Ipin: Keris Siamang Tunggal The Game pula diharap memberi pengalaman berada di Inderaloka secara berterusan kepada peminat.

Permainan video itu dibangunkan oleh Les' Copaque Game Development Incorporated.

"Kita mahu peminat dapat bermain dan pada masa sama merasai pengalaman di Inderaloka. Ini sekali gus menjadi kesinambungan pembawaan elemen hikayat Melayu lama daripada filem ke permainan video," katanya.

Jelasnya, permainan video itu sudah mula dimuat turun mulai 15 Mac lepas.

-- BERNAMA

Wednesday, April 10, 2019

KALAU KAYA, KENAPA SEMBUNYI SEMBUNYI?

SEREMBAN, 10 April (Bernama) -- Naib Presiden PKR Rafizi Ramli mempersoalkan tindakan Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan yang didakwa menyembunyikan tindakannya memindahkan wang RM10 juta bagi pembelian kediaman di London, United Kingdom.

Beliau berkata selepas timbul isu berkenaan, ramai pimpinan UMNO yang mempertahankan calon Barisan Nasional bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau itu dengan alasan "Tok Mat memang kaya” disebabkan beberapa jawatan korporat dipegangnya sebelum ini.

"Habis, kalau betul kaya, kenapa Tok Mat takut sangat orang tahu (pindah wang) sehingga menggunakan saluran yang melanggar undang-undang," katanya ketika menyampaikan ucapan pada ceramah Pakatan Harapan sempena kempen PRK DUN Rantau, malam ini.

Beliau berkata terdapat dua kemungkinan sahaja membuatkan seseorang menggunakan kaedah pemindahan wang seperti didakwa dilakukan bekas menteri besar Negeri Sembilan itu, sama ada wang dipindahkan melebihi had dibenarkan Bank Negara atau wang berkenaan bukan daripada sumbernya sendiri.

"Tok Mat bercita-cita menjadi Perdana Menteri Malaysia kerana yakin strategi memainkan isu perkauman oleh gabungan PAS-UMNO akan berjaya.

"Saya nasihatkan, jika Tok Mat mahu terus bercita-cita menjadi Perdana Menteri, lebih baik Tok Mat berterus-terang dan jujur dari sekarang mengenai sebab musabab beliau memindahkan wang RM10 juta itu pada 2007 secara sembunyi, sedangkan Tok Mat kan kaya," soalnya.

-- BERNAMA

Tuesday, April 9, 2019

JANGAN UNDI MAT HASSAN SUPAYA DIA DAPAT FOKUS PULIHKAN UMNO

SEREMBAN, 8 April (Bernama) -- Pengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau boleh membantu calon Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Mohamad Hasan untuk 'berehat' selepas berakhir PRK ini dengan tidak mengundinya.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata ini bagi membolehkan Mohamad memberi fokus beliau untuk memulihkan UMNO.

"Meskipun Mohamad dikenali sebagai seorang yang gemar membantu orang ramai di DUN ini, BN bukan lagi parti memerintah dan Mohamad boleh memberikan fokus beliau untuk memulihkan UMNO.

"Kita mahukan pembangkang yang kuat, jadi saya fikir lebih baik orang Rantau tolong Tok Mat dengan ‘merehatkan’ beliau selepas PRK ini," katanya pada satu program ceramah di Bandar Ekar, di sini, malam ini.

Beliau juga berkata pengundi perlu memberikan kemenangan kepada calon Pakatan Harapan (PH) Dr S. Streram kerana kerajaan PH sedang berusaha memulihkan kembali negara ini.

Beliau memberi contoh kerajaan sedang berusaha memulihkan Felda dengan cara membentang Kertas Putih Felda di Parlimen, Rabu ini, yang akan menjelaskan kerugian Felda dan bagaimana untuk memulihkan institusi berkenaan.

"Tok Mat kalau menang di sini bolehkah dia memulihkan Felda Kenapa saya cerita mengenai Felda di sini Sebab UMNO yang lingkupkan Felda dan calon UMNO ada di PRK Rantau.

"Biar PH menang di sini bagi memudahkan PH memulihkan Felda. PH kini kerajaan di Negeri Sembilan, PH juga kerajaan di Putrajaya," katanya.

PRK DUN Rantau, 13 April ini, menyaksikan pertembungan empat penjuru antara Dr Streram, Mohamad dan dua calon Bebas, suri rumah R.Malarvizhi dan bekas pensyarah Mohd Nor Yassin.

Ia berikutan Mahkamah Persekutuan menolak petisyen difailkan Mohamad, yang juga penyandang DUN Rantau, untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Seremban pada 16 Nov tahun lalu, yang mengisytiharkan kemenangan beliau bagi kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Umum ke-14 terbatal dan tidak sah.

-- BERNAMA

Sunday, April 7, 2019

CALON BEBAS AKUI KEMPENNYA TAK AGRESIF

SEREMBAN, 7 April (Bernama) -- Calon Bebas di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, Mohd Nor Yassin akui bahawa pergerakan kempennya tidak begitu agresif dan lambat, namun beliau optimis untuk mencapai kemenangan.

Mohd Nor berkata masuk hari kelapan kempen PRK, beliau menyifatkan kempennya hanya meliputi 40 peratus kawasan Rantau, dan masih mempunyai masa untuknya berkempen ke seluruh kawasan itu.

Beliau berkata, jika dibandingkan kempennya dengan pergerakan Pakatan Harapan dan Barisan Nasional yang begitu agresif, ia adalah kerana mereka mempunyai kekuatan tenaga yang ramai.

Thursday, April 4, 2019

CALON BEBAS LANCAR MANIFESTONYA

SEREMBAN, 4 April (Bernama) -- Calon bebas, bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, Mohd Nor Yassin hari ini melancarkan manifestonya dengan lima perkara menjadi perjuangan utama untuk penduduk di Rantau.

Kandungan manifestonya adalah membangun bersama Islam, kebajikan rakyat diutamakan, suara rakyat suara saya, membangunkan insan dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek serta perpaduan kaum diutamakan.

Calon berusia 67 tahun itu memberitahu misi beliau bertanding adalah untuk meneruskan agenda perjuangan bekas Mursyidul Am Pas, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam mengangkat kepimpinan Islam.

Wednesday, April 3, 2019

DR STRERAM NAFI ANJUR SOLAT HAJAT UNTUK BELIAU

SEREMBAN, 3 April (Bernama) -- Calon Pakatan Harapan (PH) untuk pilihan raya kecil (PRK) Rantau, Dr S.Streram menafikan wujudnya penganjuran solat hajat untuk beliau sempena sambutan 20 tahun PKR seperti yang ditularkan di media sosial dan diedarkan melalui risalah-risalah kepada pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau.

Jelasnya, perkara berkenaan adalah palsu dan beliau sama sekali tidak tahu menahu mengenai hal itu.

"Saya akan bincang dengan pemimpin saya mengenai perkara ini tapi perkara ini tidak wajar berlaku. Ini boleh timbulkan isu perkauman tapi kita sebagai PH kita nak menyatukan pelbagai bangsa dan agama," katanya kepada pemberita selepas menghadir Majlis Perasmian Pasar Malam di Bandar Sri Sendayan di sini hari ini.

Tuesday, April 2, 2019

JANGAN TAKUT CALON BUKAN MELAYU

SEREMBAN, 2 Mac (Bernama) -- Tidak ada masalah untuk mana-mana bangsa menjadi pemimpin negara asalkan mereka pemimpin yang baik, bersih dan tidak mengamalkan rasuah, kata Ketua Umum Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau yang mempertahankan pilihan PH meletakkan calon berbangsa India pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, Dr S. Streram berkata, tidak timbul soal risiko kepada survival Melayu dalam PRK berkenaan sekiranya sokongan diberikan kepada PH.

"Kaum Malayu akan ‘survive’ kalau kita ada pemimpin yang baik, bersih, serta tidak korup, dan bukan setakat kaum Melayu sahaja, kaum lain juga.. Cina, India, Kadazan pun akan survive. Tetapi kalau lantik (pemimpin) dari kaum Melayu korup, zalim.. kaum India, Cina, Melayu pun takkan survive," katanya di ceramah sempena kempen PRK berkenaan di Taman Angsamas, di sini, malam ini.

Monday, April 1, 2019

JANGAN BANDINGKAN PENCAPAIAN MAT HASSAN DENGAN AMINUDDIN

SEREMBAN, 1 April (Bernama) -- Pengundi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau diminta supaya tidak hanya membandingkan pencapaian yang pernah diraih bekas menteri besar Datuk Seri Mohamad Hasan dengan Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun.

Sebaliknya, Setiausaha Agung PKR Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata pengundi juga perlu menilai mengenai aspek keperibadian dimiliki kedua-dua pemimpin itu, malah Aminuddin yang juga Pengerusi PH Negeri Sembilan berjaya menarik pelaburan asing lebih besar berbanding zaman pentadbiran Mohamad.

"Pengundi mungkin terlepas pandang keperibadian jujur dimiliki Aminuddin yang mengisytiharkan harta sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14). Siapa tahu berapa banyak harta dimiliki Tok Mat (Mohamad) Tiada siapa tahu...Aminuddin ini kita sudah tahu berapa harta dimilikinya dan sekarang pun kita masih boleh baca harta dimilikinya.