Thursday, August 8, 2019

PERANAN TUDM BESAR TENTANG KOMUNIS

ALOR SETAR, 9 Ogos (Bernama) -- Setiap kali menjelang Hari Kebangsaan, kita sering disajikan dengan pelbagai kisah pejuang semasa era penentangan komunis, kebiasaannya kalangan anggota mahupun pegawai Tentera Darat Malaysia (TDM) atau Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Kali ini Bernama mengetengahkan kisah getir yang ditempuh bekas juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Mejar (B) Dr Nor Ibrahim Sulaiman, 70, yang berkongsi pengalaman berharga dalam kamus hidupnya, semasa berhadapan dengan ancaman komunis.

“Peranan TUDM juga sangat besar, malah saya sebagai bekas juruterbang helikopter Nuri, sebenarnya menghadapi ancaman lebih kritikal kerana ‘kami diburu, bukan pemburu’,” katanya kepada Bernama di sini.

Beliau berkata tidak seperti anggota TDM, sebagai juruterbang helikopter yang sering keluar masuk ke kawasan operasi untuk mengangkut pelbagai keperluan anggota, ‘kelibatnya’ sentiasa diintai komunis dan menjadi sasaran peluru pengganas.

“Komunis ni dia tunggu saja helikopter datang, kemudian mereka akan serang ketika kami ‘terapung’ di udara untuk ambil anggota yang meninggal atau cedera dan bila diserang, saya tidak boleh buat apa-apa, bukan senang nak bertempur bila tengah pegang stereng pesawat,” katanya.

Nor Ibrahim yang berasal dari Kuala Kangsar, Perak berkata beliau juga pernah menempuh pengalaman menerbangkan Nuri yang satu daripada generatornya sudah tidak berfungsi akibat ditembak pengganas komunis.

“Saya tidak mahu tinggalkan helikopter itu di kawasan yang tidak selamat, jadi saya cekalkan hati, terbangkan Nuri dan alhamdulillah saya selamat tiba ke pangkalan dan berada di sini untuk menceritakan kisah ini kepada kamu semua,” katanya.

Beliau berkata sejurus tiba di pangkalan, helikopter yang ditembak akan segera diperbaiki, setiap lubang kesan peluru akan ditampal dan setelah selesai dan dipastikan selamat, ia akan terbang semula untuk melaksanakan tanggungjawab menghantar bekalan atau anggota ke kawasan operasi.

“Tugas kami sangat penting, Nuri ni umpama ‘nyawa’ kepada anggota di kawasan operasi, kamilah yang akan hantar bekalan makanan, bawa keluar masuk anggota yang cedera atau meninggal,” katanya.

Menceritakan pengalamannya, pemegang Ijazah Kedoktoran dalam kajian khusus berkaitan Nuri itu berkata, antara yang paling tidak dapat dilupakannya adalah semasa satu konvoi Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) diserang hendap komunis di satu jalan berhampiran Gubir di Sik, yang mengakibatkan lima wira negara gugur.

Nor Ibrahim berkata, selepas serangan pada April 1975 itu, beliau yang ketika itu baru memegang jawatan pembantu juruterbang, diarah pergi ke lokasi serang hendap itu untuk membantu mengeluarkan mayat dan anggota yang cedera.

“Bila sampai ke lokasi, kami tidak boleh mendarat pun sebab banyak jerangkap samar di situ, jadi kami hanya terapung di udara, di bawah saya nampak ramai yang cedera dan mayat sudah diikat pada tali untuk ditarik naik ke helikopter.

“Keadaan agak sukar untuk menaikkan mayat pada masa itu, saya peluk satu mayat, penuh darah dia di badan saya. Mayat itu kawan saya Pegawai Risik, Kapten Hardev Singh, sebelum kejadian saya sempat minum di Butterworth dengan mendiang dan dia cakap ‘jumpa anda di Gubir’.

“Bila di Gubir, memang betul saya ‘jumpa mendiang’… selepas kejadian itu isterinya ada beritahu saya terdapat 18 lubang pada badan mendiang,” katanya yang mengenang peristiwa itu sebagai pencetus baginya untuk berkongsi kisah-kisah di blog Jottings of Xnuripilot.

Beliau, yang juga seorang daripada hanya 32 penerima Pingat Tentera Udara (PTU) itu berkata, walaupun tidak mahir menggunakan komputer, beliau tetap bersemangat untuk menulis kisah perjuangan terdahulu agar generasi kini tahu bahawa komunis langsung tidak boleh diiktiraf sebagai pejuang kemerdekaan.

“Bagi saya orang muda kurang patriotik bukan 100 peratus salah mereka, tapi tiada orang nak cerita tentang sejarah ini dan sebenarnya ramai veteran askar berminat nak bercerita tapi tiada platform, nak tunggu hari Merdeka baru nak panggil.

“Seeloknya perkara seperti ini perlu didedahkan sepanjang tahun, jemputlah orang seperti saya untuk bercerita terutama di sekolah, jabatan kerajaan atau institusi pengajian,” katanya yang sentiasa bersemangat untuk berkongsi kisah kekejaman komunis dan mahu semua tahu bahawa mempelajari sejarah itu sangat penting.

-- BERNAMA

Wednesday, August 7, 2019

KAMI TIDAK MINTA DR MAHATHIR JADI PM SAMPAI UMUR 100 TAHUN

PUTRAJAYA, 7 Ogos (Bernama) -- Bekas menteri Tan Sri Rafidah Aziz hari ini berkata semua orang hendaklah berhenti bercakap mengenai peralihan kuasa perdana menteri dan sebaliknya memberi tumpuan kepada pembangunan sosio-ekonomi.

Rafidah, anggota Majlis Tindakan Ekonomi Negara (M TEN) berkata rakyat tidak harus terlalu asyik menumpukan perhatian kepada isu bila Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad akan menyerahkan kuasa kepada penggantinya.

"Hidup kita berada dalam ketentuan Ilahi ... jadi jangan bercakap tentang dua atau tiga tahun, teruskan apa yang dilaksanakan kerana dasar perlu melampaui satu tahun, dua tahun ... itu adalah dasar yang kita teruskan untuk generasi akan datang dan selepas itu.

"Sudah tentu, Dr Mahathir ada berkata beliau tidak mahu menjadi PM untuk selama-lamanya. Kami tidak meminta anda (menjadi PM) sehingga anda berumur 100 tahun, Kami cuma berkata tidak bercakap tentang hal itu, teruskan (pentadbiran), " kata beliau dalam ucaptama pada Wacana Perdana Siri ke-21 bertajuk" Faktor-Faktor Menghalang Kemajuan Ekonomi Malaysia dan Bagaimana untuk Menanganinya ", di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini hari ini.

Ketika diminta oleh pemberita untuk memberi komen, Rafidah berkata, "Saya tidak berminat untuk membicarakan apa-apa perkara yang tidak berkaitan, saya lebih prihatin terhadap kesejahteraan negara. Jika anda mula bercakap mengenai semua perkara ini, anda akan mengalih perhatian daripada isu teras iaitu meneruskan pembangunan negara ini.

“Kita telah keluar dari masalah serius melibatkan kredibiliti, imej, keberhutangan dan sistem yang terhakis, "katanya.

Beliau percaya kebanyakan rakyat Malaysia mahu kerajaan meneruskan pembangunan walau dengan apapun untuk membawa kemajuan dan pembangunan sosial ekonomi.

“Usaha ini sedang berjalan tetapi anda terganggu dengan masalah di beberapa kementerian. Oleh itu, adalah penting kita tidak terganggu,” kata beliau.

Dalam ucapannya, Rafidah juga mempersoalkan tentang perlunya membangunkan kereta terbang negara yang pertama seperti dicadangkan oleh kerajaan.

“Okey untuk membuat kereta terbang sebagai hobi, teruskan. tetapi jangan jadikannya sebagai projek nasional. Kita tidak mempunyai basikal untuk diberikan kepada pelajar di Sabah dan Sarawak; mereka terpaksa berjalan kaki berbatu-batu setiap hari.

"Ia juga tidak begitu mudah untuk membuat kereta dan terbang. Jika ia benar-benar boleh dilaksanakan, andakah anda fikir Malaysia akan menjadi yang pertama melakukannya, orang Jerman akan melakukannya, rakyat Jepun, rakyat China mungkin melakukannya. Bukan semudah itu. Hendak menerbangkan dron pun (di Malaysia), kita memerlukan lesen, " katanya.

Selepas wacana itu, Rafidah melancarkan penerbitan Yayasan Kepimpinan Perdana (PLF), "Revisiting Atas Angin: A Review on Malay Imagination of Rum Ferringghi and Pengajah", yang dihasilkan oleh Profesor Datuk Dr Ahmad Murad Merican sebagai sebahagian daripada Felo Presiden Kehormat Residen di Yayasan Kepimpinan Perdana.

-- BERNAMA

Saturday, July 27, 2019

GERAKAN SEDIA MENERIMA AZMIN ALI

KUALA LUMPUR, 26 Julai (Bernama) -- Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menyatakan bahawa beliau tidak tahu menahu mengenai ura-ura kononnya timbalannya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali akan meninggalkan parti itu dan menyertai Gerakan, seperti dilaporkan media semalam.

Enggan mengulas lanjut hal itu, beliau turut meminta semua pihak agar berhenti melaga-lagakan mereka berdua.

"Saya tak dengar pun...media (yang) bagitahu… kita teruskanlah dengan agenda ekonomi…," katanya ringkas selepas menghadiri Simposium Ekonomi Malaysia, bertemakan “Ekonomi Malaysia: Kini dan Masa Hadapan” di Parlimen hari ini.

Semalam, sebuah portal berita yang memetik sumber melaporkan bahawa Mohamed Azmin, yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi, didakwa akan menyertai Parti Gerakan berikutan ketegangan antara beliau dan Anwar sebelum ini.

Mohamed Azmin bagaimanapun belum membuat sebarang kenyataan sehingga kini.

Selepas Pilihan Raya Umum ke-14 tahun lepas, Gerakan mengumumkan keluar daripada Barisan Nasional dan sehingga kini belum menyertai mana-mana gabungan.

Sementara itu, Gerakan mengalu-alukan kemasukan mana-mana ahli atau pemimpin Pakatan Harapan jika bersetuju dan boleh menerima ideologi parti tersebut, kata presidennya Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai.

Lau berkata parti tersebut tidak mempunyai masalah dan terbuka untuk menerima kehadiran ahli -ahli baharu yang mementingkan dan memperjuangkan hak rakyat dalam membantu memajukan negara.

“Kami sentiasa terbuka, mengalu-alukan sesiapa sahaja, asalnya mereka bersetuju dengan ideologi kami. Gerakan adalah parti politik berbilang kaum. Semua anak Malaysia ada hak sebagai rakyat,” katanya dalam sidang akhbar yang disiarkan secara langsung oleh media sosial dari Sungai Petani.

Di IPOH, Naib Presiden PKR Zuraida Kamaruddin berkata sebarang usaha untuk menyingkirkan Mohamed Azmin bukan sesuatu yang mudah kerana jawatan yang disandang oleh Mohamed Azmin adalah hasil pemilihan anggota parti sendiri.

"Dia (Mohamed Azmin) adalah timbalan presiden yang dipilih oleh anggota parti, bila dipilih tak boleh singkir begitu sahaja, tidak semudah itu kalau sekiranya ada komplot (singkirkan beliau)," katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja ke Majlis Bandaraya Ipoh di sini, hari ini.

Mengenai khabar angin terdapat pihak mahu menyingirkan Mohamed Azmin daripada parti selain desas-desus mengatakan timbalan presiden PKR itu akan menyertai Parti Gerakan, Zuraida hanya berkata: "Khabar angin hanyalah khabar angin, hinggalah ia betul-betul berlaku."

-- BERNAMA

v

Tuesday, July 23, 2019

SPRM PERLU MASA UNTUK TELITI KES VIP DI SARAWAK

GEORGE TOWN, 23 Julai (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memerlukan masa untuk meneliti dan membuka semula kes-kes berprofil tinggi yang melibatkan individu berpengaruh.

Ketua Pesuruhjayanya Latheefa Koya berkata beliau sedang meneliti kesemua kes berkaitan termasuk kes-kes di Sarawak dan Pulau Pinang.

"Ini bukan kali pertama saya dimaklumkan ada banyak kes yang dikatakan kontroversi, mendapat perhatian ramai. Bukan sahaja di Pulau Pinang, di Sarawak melibatkan VIP dan sebagainya. Saya ingin memberitahu bahawa saya sedang mengkaji semula kes-kes berkenaan.

"Saya telah meminta semua fail yang melibatkan individu kontroversi dan saya perlu meneliti dan memahami kenapa ia ditutup, adakah ia benar-benar NFA (tiada tindakan selanjutnya) atas alasan yang betul. Saya memerlukan sedikit masa untuk melakukannya," katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja ke pejabat SPRM Pulau Pinang, di sini.

Turut hadir Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Azam Baki dan Pengarah SPRM negeri Datuk Wan Ramli Wan Abdullah.

Sementara itu, ditanya sama ada SPRM akan membuka semula kes banglo melibatkan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng, Latheefa berkata tiada keperluan untuk pihaknya membuka semula kes berkenaan kerana sudah diputuskan di mahkamah.

Menurutnya, SPRM tidak boleh berbuat apa-apa melainkan ada bukti dan isu terbaharu yang membolehkan kes tersebut dibuka semula.

"Bagi saya kes-kes yang telah sampai tahap mahkamah dan telah selesai, memang nak buka semula (kes-kes itu) tidak masuk akal. Apabila kes telah selesai di mahkamah, sudah selesai. Tidak boleh membuka kes yang telah selesai. Apabila kes mahkamah selesai dan ditutup," katanya.

Pada 3 Sept lepas, Mahkamah Tinggi di sini melepaskan dan membebaskan Lim yang kini Menteri Kewangan dan ahli perniagaan Phang Li Koon daripada pertuduhan rasuah berhubung pembelian banglo di bawah nilai pasaran.

Keputusan itu dibuat mahkamah berikutan permohonan peguam Ramkarpal dan peguam Datuk V. Sithambaram serta peguam Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Phang, supaya anak guam mereka dibebaskan sepenuhnya daripada pertuduhan itu.

-- BERNAMA

Monday, July 22, 2019

PEMAJU KELAHIRAN MALAYSIA TERSENARAI DALAM HALL OF FAME QUEENSLAND

KUALA LUMPUR, 22 Julai (Bernama) -- Pemaju perumahan kelahiran Malaysia Maha Sinnathamby tersenarai dalam Hall of Fame Pemimpin Perniagaan Queensland di atas kepimpinan berwawasannya dalam mewujudkan bandar raya pertama yang dibina secara persendirian di Australia.

Dikenali sebagai Greater Springfield dan kini selama 27 tahun dengan populasi melebihi 41,000 orang, bandar raya itu disifatkan oleh Perdana Menteri Australia Malcolm Turnbull sebagai “projek pembinaan bangsa yang mempunyai kepentingan nasional.”

Hall of Fame Pemimpin Perniagaan Queensland diwujudkan sejak 11 tahun lepas bagi mengiktiraf sumbangan penting ahli perniagaan dan para pemimpin mereka terhadap reputasi, ekonomi dan pembangunan sosial negeri itu.

Dalam kenyataan kepada Bernama, Springfield City Group berkata ia turut menyenaraikan Bob Sharpless, pengasas Greater Springfield bersama-sama Sinnathamby, yang mana kedua-duanya mewujudkan bandar seluas 3,000 hektar itu yang dibeli pada 1992 di kawasan yang mengalami kemelut ekonomi dan sosial di Tenggara Queensland.

Ini merupakan anugerah kedua yang diberikan kepada Sinnathamby dalam tempoh dua bulan. Pada bulan lepas, beliau dikurniakan anugerah Pelantikan sebagai Member (AM) of the Order of Australia daripada Queen Elizabeth dalam Senarai Penganugerahan sempena Hari Lahir baginda.

Sinnathamby, 79, yang berasal dari Rantau, Negeri Sembilan berhijrah ke Australia bagi mengikuti pengajian ijazah kejuruteraan di University of New South Wales pada usia 18 tahun sebelum menetap secara rasmi pada 1971.

Beliau juga baru-baru ini dinamakan sebagai orang ke-47 terkaya di Australia dengan nilai bersih AUD$1.66 bilion

Springfield City kini merupakan satu daripada bandar raya di Australia yang pesat berkembang dan satu-satunya bandar selain Canberra yang dibangunkan hasil usaha gigih menggunakan sumber sedia ada.

Ia kini menempatkan University of Southern Queensland, hospital swasta yang mempunyai 80 katil, 11 sekolah dengan 15,000 pelajar yang dijangka meningkat kepada 30 sekolah, dengan jarak kira-kira lima minit antara satu sama lain.

Greater Springfield juga diiktiraf pada skala dunia untuk beberapa pencapaian, termasuk “World Best Master Planned Community” oleh Persekutuan Hartanah Antarabangsa (FIABCI) dan “Australia’s Best Master Planned Community” oleh Institut Pembangunan Bandar Australia pada 2015.

Menurut kenyataan itu, setakat ini, sebanyak AU$17 bilion telah dilaburkan dalam projek itu dengan 25 peratus kadar penyiapan dan dijangka mempunyai 140,000 penduduk apabila siap sepenuhnya.

Sinnathamby berkata beliau amat berbangga menerima anugerah itu bersama-sama Sharpless,dan menurutnya, kejayaan Greater Springfield itu adalah hasil kerjasama pelbagai individu.

“Ini merupakan pengiktirafan kepada saya dan rakan perniagaan saya serta ratusan individu yang membantu membina bandar ini serta 41,000 penduduk yang menjadikan Greater Springfield sebagai kediaman mereka.

“Tersenarai di Hall of Fame merupakan satu pengiktirafan dan testimoni bahawa dengan semangat dan dedikasi serta sikap tidak pernah berputus asa, sesiapa sahaja boleh meraih manfaat daripada negeri hebat ini,” katanya.

-- BERNAMA

Sunday, July 21, 2019

KHAIRY TEGASKAN TAK AKAN BERHENTI TEGUR KEPIMPINAN UMNO

MELAKA, 21 Julai (Bernama) -- Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menegaskan bahawa beliau tidak akan berhenti menegur kepimpinan UMNO, yang pada pandangannya perlu lagi diperbetulkan.

"Saya akan terus bercakap kerana saya tiada niat buruk terhadap mana-mana individu dalam UMNO sama ada pemimpin sekarang atau terdahulu," katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kota Melaka di sini, hari ini.

Ketika ditanya adakah teguran itu disebabkan masih sayang kepada parti UMNO, bekas Menteri Belia dan Sukan itu berkata, “tentulah kerana sayang, kalau tak dah lama saya chow.”

Pada 10 Julai lepas, media melaporkan beliau menyatakan dengan ringkas, “tiba-tiba saya tidak suka di mana saya berada,” sebagai mengulas mengenai pelantikan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN).

Beliau juga sebelum ini pernah menegur pemimpin UMNO supaya tidak menjadikan parti itu sebagai perisai dalam menghadapi pertuduhan di mahkamah.

-- BERNAMA

Friday, July 19, 2019

ENAM PENGERUSI NEGERI PKR SOKONG ANWAR

PETALING JAYA, 19 Julai (Bernama) -- Enam Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR hari ini menyatakan sokongan penuh terhadap presiden parti Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mereka ialah Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Kedah Datuk Johari Abdul, Pengerusi MPN Perlis, Amran Kamarudin; Pengerusi MPN Melaka, Halim Bachik; Pengerusi MPN Terengganu, Azan Ismail; Pengerusi Wilayah Persekutuan, Zahir Hassan dan Pengerusi MPN Kelantan, Datuk Seri Mohamad Supardi Md.Nor

Keenam-enam mereka hari ini menandatangani surat sokongan terhadap Anwar pada mesyuarat pertama Majlis Pengerusi-Pengerusi Pimpinan Negeri di sini, hari ini.

Johari yang bertindak sebagai penyelaras majlis itu berkata mesyuarat berkenaan juga menyokong penuh usaha presiden membangun parti dan menjadikan PKR parti yang kuat serta dihormati di negara ini.

"Kami berdiri teguh di belakang beliau dan menghadapi apa jua cabaran dan dugaan jika ada pihak-pihak yang mahu melemahkan parti," katanya dalam sidang media selepas mesyuarat pertama majlis berkenaan hari ini sekali gus mengumumkan penubuhan majlis itu.

Mereka juga memberi komitmen tidak berbelah bahagi kepada Anwar dalam usaha beliau memimpin negara ke tahap lebih yang diharapkan oleh rakyat.

"Kami yakin Datuk Seri Anwar Ibrahim seorang pemimpin yang akan menunaikan janji-janji parti kepada rakyat semasa pilihan raya yang lalu dan kami sama-sama beliau untuk pastikan semua ini terlaksana," katanya.

Sementara itu, menurut Johari lapan lagi Pengerusi MPN dijangka menandatangani petisyen itu dalam satu perjumpaan tertutup dengan Anwar di Port Dickson petang ini.

Johari berkata penubuhan Majlis Pengerusi-Pengerusi Pimpinan Negeri adalah bagi menjadi pasukan untuk memastikan penyelesaian permasalahan rakyat di negeri-negeri dan memastikan janji manisfesto ditunaikan.

-- BERNAMA