Sunday, September 30, 2018

AHLI UMNO TIDAK BOLEH KEMPEN UNTUK ISA SAMAD

KUALA LUMPUR, 30 Sept (Bernama) -- Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan menegaskan jentera UMNO Bahagian Telok Kemang tidak boleh mengambil bahagian dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson, walaupun ada yang menyokong calon tertentu.

"Sebagai jentera di bahagian, mereka tidak boleh mengambil bahagian kerana kita memboikot PRK tersebut atas asas kita tidak suka cara PRK itu diadakan. Itu sebab kita kena betul-betul faham perkataan boikot," katanya ketika ditemui pada Perhimpunan Agung UMNO 2018 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), hari ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan calon bebas PRK berkenaan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad yang mendakwa pemimpin UMNO Bahagian Teluk Kemang bersetuju beliau bertanding di Port Dickson.

PRK Parlimen Port Dickson menyaksikan pertandingan tujuh penjuru antara calon Pakatan Harapan Datuk Seri Anwar Ibrahim, calon PAS dan lima calon bebas termasuk Mohd Isa dan bekas pembantu peribadi Anwar, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Kerusi Parlimen itu dikosongkan penyandangnya Datuk Danyal Balagopal Abdullah pada 12 Sept lepas untuk memberi laluan kepada Anwar bertanding dan kembali ke Dewan Rakyat.

Ditanya tindakan yang akan diambil sekiranya anggota UMNO turun berkempen pada PRK itu, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan itu berkata ia akan diputuskan kepimpinan parti

Saturday, September 29, 2018

KHAIRY MEROYAN LAGI



KUALA LUMPUR: Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi perlu jelas dalam membentangkan arah haluan parti dalam memutuskan jika Umno mahu membentuk kerajaan perpaduan bersama PAS dan parti dalam Pakatan Harapan (HARAPAN).

Anggota Parlimen Rembau yang juga bekas ketua pemuda Umno Khairy Jamaluddin berkata demikian selepas mendengar Zahid menyampaikan ucapan perasmian selama dua jam pada perhimpunan agung parti itu malam tadi di PWTC, Kuala Lumpur.

"Kamu memimpin parti, perlu jelas.

"Kamu tidak boleh kata minggu lalu meneroka kerjasama dengan mana-mana parti dalam Pakatan Harapan dan hari ini pula kata nak lawan, zalimlah, macam-macam.

"Saya tidak keliru. Tetapi kamu perlu jelas ke mana arah tuju parti," kata Khairy yang juga bekas calon presiden Umno itu.

Kedua-dua Umno dan PAS menjalin hubungan yang lebit erat berikutan kekalahan BN pada PRU14.

Terdahulu, Zahid berkata beliau terbuka bekerjasama membentuk kerajaan perpaduan dengan sebarang parti dalam HARAPAN.

Perwakilan Pemuda Umno agak kurang senang dengan rancangan Zahid, malah Ketua Pemudanya Datuk Asyraf Wajdi membantah cubaan kembali berkuasa melalui jalan belakang.

Tadi malam, Zahid mengulang pendirian parti itu terbuka bekerjasama dengan sebarang parti tetapi tidak akan mengorbankan prinsip perjuangan Umno.

Sementara itu, Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Mohamad Hassan tidak bersetuju dengan Khairy.

"Keutamaan kami adalah memperkasakan parti. tetapi jika ada sebarang peluang (membentuk kerajaan perpaduan), kenapa tidak?" Katanya.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan penubuhan kerajaan perpaduan itu perlu dilakukan secara terbuka dan bukan melalui 'cara politik kotor' dengan jalan belakang.

Thursday, September 27, 2018

RUU SURUHANJAYA BEBAS ADUAN DAN SALAH LAKU POLIS DISOKONG PENUH

KUALA LUMPUR, 27 Sept (Bernama) – Rang Undang-Undang (RUU) untuk menubuhkan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) akan dibentangkan di Parlimen secapt mungkin, kata Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata kementeriannya kini di peringkat terakhir meneliti setiap perincian draf IPCMC sebelum dikemukakan kepada Kabinet sebelum dibentangkan di Dewan Rakyat.

IPCMC menggantikan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) bagi mempertingkatkan integriti dan keupayaan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Kami telah mengadakan perbincangan dengan pihak berkepentingan masing-masing termasuk polis dan pihak yang prihatin terhadap perkara ini...kita perlu mengambil kira semua ini.

Dalam kajian kami, kami telah membuat perubahan supaya IPCMC akan menjadi sebuah suruhanjaya bebas serta akan ada undang-undang khusus mengenai IPCMC di mana kami menentukan skop kerja dan sebagainya,” katanya

Wednesday, September 26, 2018

KJ NAK JADI PM KENA MASUK PAKATAN HARAPAN

KUALA LUMPUR, 26 Sept (Bernama) -- Bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata Malaysia perlu fokus terhadap peralihan generasi dalam politik selepas era kepemimpin Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan penggantinya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata negara mempunyai ramai pemimpin muda berbakat dan kemunculan generasi baharu ahli politik akan memberi isyarat kepada perubahan politik di Malaysia.

“Tun Mahathir adalah seorang yang hebat tetapi dia berusia 93 tahun, saya fikir beliau akan berkhidmat selagi kesihatannya mengizinkan. Anwar perlu menjadi perdana menteri selepas itu kerana jika tidak, kita tidak akan ada kesudahan.

“Saya fikir Anwar bakal menjadi perdana menteri tetapi saya fikir kita perlu memberi tumpuan terhadap Malaysia, pasca Tun Mahathir dan pasca Anwar,” katanya pada forum 'Majlis Sepetang bersama Profesor K.S. Jomo dan Khairy Jamaluddin: Hala Tuju Malaysia’ anjuran Persatuan Oxford dan Cambridge Malaysia di sini, malam ini.

Ahli Parliamen Rembau itu berkata peralihan generasi akan menjadi lebih jelas selepas Anwar menjadi perdana menteri

Tuesday, September 25, 2018

PKR DISARAN TANGGUH SEMENTARA PEMILIHAN

KUALA LUMPUR, 25 Sept (Bernama) -- PKR disaran menangguhkan sementara pemilihan parti itu dan menangani kelemahan sistem e-undi bagi memastikan insiden kekecohan ketika proses pengundian yang berlaku di Kedah dan Pulau Pinang Sabtu lepas tidak berulang.

Pensyarah Kanan Jabatan Sosio Budaya Universiti Malaya (UM) Prof Dr Awang Azman Awang Pawi berkata penambahbaikan perlu dibuat kerana penggunaan sistem pengundian elektronik yang digunakan buat pertama kali itu dilihat sebagai pendekatan lebih cekap dan cepat berbanding kaedah konvensional menggunakan kertas undi, namun persiapan jitu perlu dibuat bagi memastikan proses itu dapat berjalan dengan lancar,

"Penggunaan sistem e-undi ini dapat mengurangkan kos perbelanjaan sebanyak 30 peratus berbanding penggunaan pengundian konvensional yang melibatkan kos operasi lebih tinggi termasuk tenaga kerja, kertas mengundi dan sebagainya," katanya kepada Bernama ketika dihubungi, di sini hari ini.

Penganalisis politik itu berkata demikian apabila diminta mengulas mengenai beberapa masalah yang timbul berhubung penggunaan aplikasi pengundian elektronik itu semasa proses pemilihan parti PKR di Pulau Pinang dan Kedah baru-baru ini yang menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan anggota parti.

Susulan insiden kekecohan itu, proses pemilihan parti di beberapa buah negeri telah ditangguhkan.

Awang Azman berpendapat kelemahan sistem e-undi dan insiden kekecohan itu tidak harus dilihat kegagalan parti kerana kelemahan itu juga sering dihadapi pelbagai pihak lain yang menggunakan sistem pengundian elektronik di seluruh dunia.

"Lebih-lebih lagi ia adalah julung kali dilaksanakan oleh PKR. Tapi bagi masa dan fokus terhadap penambahbaikan yang perlu dibuat dari semasa ke semasa," katanya.

Mengulas insiden pertengkaran hingga berlaku adegan baling kerusi, Awang Azman berkata pihak Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) harus mengambil tindakan tatatertib terhadap pelaku insiden untuk menunjukkan perkara itu dipandang serius oleh parti.

-- BERNAMA

Monday, September 24, 2018

MCA HANYA SEBATANG MANCIS BERBANDING RATUSAN BATANG DAP



IPOH 24 Sept. - UMNO digesa melupakan MCA dan sepatutnya terlebih dahulu meninggalkan parti itu dalam Barisan Nasional (BN) tanpa perlu menunggu dihalau dari BN.


Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Mohd. Khusairi Abdul Talib berkata, MCA adalah komponen yang sudah tidak ada apa-apa makna dalam landskap politik semasa.


Menurutnya, sebaiknya UMNO dan Pas harus bersama-sama menuju ke arah membina gagasan politik baru, dengan lambang kesepakatan baru, komponen baru, dengan penyertaan parti-parti yang mempunyai idealisme yang sama.

"MCA hanyalah sebatang mancis dalam ruang pemikiran pengundi Cina, berbanding ratusan batang yang dihuni oleh DAP dalam kotak yang sama, 'adios MCA', UMNO carilah lambang baru.

"Jangan harapkan lagi dacing yang semakin senget dengan pemberatnya hanya UMNO ketika ini, sedangkan MCA ibarat kapas ditiup angin dan hinggap tidak menentu," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd. Khusairi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Slim berkata, ahli parti MCA patut rasa malu mempunyai Presiden yang bongkak seperti Datuk Seri Liow Tiong Tai.

Menurutnya, ini kerana sejarah membuktikan bahawa UMNO banyak berkorban kerusi dan undi bagi memastikan MCA terus relevan dalam komponen BN.

Katanya, dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), biarpun UMNO meneruskan tradisi membantu MCA, malangnya parti MCA sendiri gagal menarik sokongan pengundi Cina.

"Malah ramai pemimpin dan ahlinya sendiri berpaling tadah dan tidak mengundi BN walaupun calon yang diletakkan adalah dari MCA sendiri.

"Kerusi P077 Tanjong Malim adalah bukti nyata apabila Setiausaha Agung MCA sendiri mempengaruhi penyokongnya untuk menolak calon BN yang juga Pengerusi MCA Perak selepas pengumuman calon dan sepanjang tempoh berkempen," katanya

Sebelum ini, Tiong Tai menyatakan parti itu akan menyingkirkan UMNO daripada BN jika parti induk Melayu tersebut bergabung dengan Pas.


Sunday, September 23, 2018

NIKMATI MAKANAN SABAH DAN SARAWAK SETIAP HARI SABTU DI PASAR BORNEO DI SERI KEMBANGAN



SERI KEMBANGAN, 23 Sept (Bernama) -- Anda penggemar makanan dari Sabah dan Sarawak? Jika ya, kini anda tidak perlu lagi menaiki kapal terbang merentasi Laut China Selatan untuk menikmati hidangan kegemaran.

Sebaliknya, pergi sahaja ke Pasar Borneo di Seri Kembangan yang diadakan setiap hari Sabtu, bermula 7 hingga 11 pagi. Puluhan jenis makanan dari Negeri Di Bawah Bayu dan Bumi Kenyalang pastinya membuat anda terliur.

Antara yang menjadi tumpuan semestinya menu popular kek lapis Sarawak, mi kolok, ‘sayap’ ayam Sabah, kuih penjaram, pes laksa Sarawak, kuih cincin, keropok amplang serta buah dan aiskrim bambangan.

Lebih menarik pengunjung pasti teruja melihat deretan kedai menjual produk dan makanan yang jarang didapati di Semenanjung

Seperti Ketular, Undai rumpung (udang salai), biskut King Kong (dari sagu dan kelapa), Upak Lalis, pucuk miding, Kasam Ensabi (makanan tradisi kaum Iban), cucur buah Tarap, lada hitam Sarawak, Sago Sarawak @Leko Sagu, dan ini, Sanape kelupis.

Bagi penduduk Semennjung ia semestinya satu pengalaman baharu mengenali makanan dari Sabah dan Sarawak dan bagi penduduk Sabah dan Sarawak yang bermastautin di Semenjung pula semestinya mengubat kerinduan mereka terhadap kampung halaman

-- BERNAMA

Saturday, September 22, 2018

78,000 EKOR TIKUS DITANGKAP SEJAK 2012

KUALA LUMPUR, 22 Sept (Bernama) – Sebanyak 78,000 tikus telah ditangkap melalui kempen ‘1 tikus RM3’ yang dianjurkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sejak 2012.

Timbalan Menteri Wilayah Datuk Dr Shahruddin Md Salleh berkata ganjaran berjumlah RM170,000 telah diberi kepada mereka yang berjaya menangkap haiwan itu.

“Saya secara peribadi berpendapat supaya ganjaran berbentuk kewangan ini dapat diubah kepada lebih baik seperti ganjaran dalam bentuk rebat.

“Rebat ini boleh digunakan untuk membuat pembayaran seperti sewa rumah dan sebagainya,” katanya pada perasmian Gotong-royong Mega 2018 di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Semarak, hari ini.

Kempen itu pada awalnya memberikan ganjaran RM1 bagi setiap tikus telah dinaikkan kepada RM3 seekor bermula 2015.

Sementara itu, Shahruddin turut menarik perhatian penyakit kencing tikus yang direkodkan di Kuala Lumpur setakat ini adalah 64 kes manakala 160 kes direkodkan tahun lepas

Friday, September 21, 2018

UMNO TAK PERLU TANDING DI PORT DICKSON



KUALA LUMPUR 21 Sept. - Pengerusi Jemaah Pena­si­hat UMNO, Tengku Ra­zaleigh Hamzah berpandangan, parti itu tidak wajar bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson dengan alasan Parlimen tersebut bukan kerusi tradisi yang ditandinginya.

Tengku Razaleigh Hamzah

Tambah Ahli Parlimen Gua Musang yang lebih dikenali sebagai Ku Li itu lagi, sokongan rakyat ketika ini dilihat masih tidak lagi berpihak kepada UMNO dan buktinya adalah kekalahan Barisan Nasional (BN) yang diwakili calon UMNO dalam PRK (PRK) Sungai Kandis, baru-baru ini.

Itu bukan ke­rusi UMNO, apa yang kita mahu bertan­ding sangat? Kita bertanding di PRK baru-baru ini pun kalah. ‘Angin’ orang ketika ini adalah anti-UMNO dan tidak suka kepada UMNO, apa yang mahu letak kepala di sana?

“Bukan maksud saya UMNO tidak berani untuk melawan tapi soalnya itu bukan kerusi kita. Kalau MIC yang bertanding di situ pada pilihan raya umum lalu pun tidak mahu bertanding, kenapa kita pula mahu bertan­ding di sana?” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini, semalam.

PRK Parlimen Port Dickson bakal diadakan pada 13 Oktober ini selepas penyandangnya, Datuk Da­nyal Balagopal Abdullah mengosongkan kerusi ber­kenaan bagi membolehkan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertan­ding dan kembali ke Dewan Rakyat.

Sementara itu, jelas Ku Li, UMNO tidak mempunyai cukup kekuatan untuk memenangi sekali gus merampas kembali kerusi Parlimen Port Dickson tersebut.

“Dulu kenapa UMNO beri kepada MIC kerana UMNO tidak mempunyai kekuatan di sana.

Mengapa sekarang kita mahu sangat bertanding di sana, nak kalah lagi? Saya tidak fikir kita mahu kalah lagi. Jika tiada calon daripada BN pun biar Bebas bertanding, kita akan sokong Bebas tapi janganlah kita kalah sekali lagi,

“UMNO perlu menguatkan kedudukan terlebih dahulu dan selepas kita pulih kita lawanlah di tempat yang kita rasa boleh menang. Itulah politik, bukan kerana kita bertan­ding sebab mahukan kuasa lalu kita lawan, saya rasa itu bukan strategi yang betul. Itu sebab pilihan raya umum yang lalu kita serah kepada MIC sebab dirasakan MIC boleh menang di Port Dickson, kalau tidak kita letak calon UMNO,” katanya.

MAT SABU UMUM PERUNTUKAN MENJELANG PRK PD SEPERTI DI ZAMAN KERAJAAN BN

KUALA LUMPUR, 21 Sept (Bernama) -- Kementerian Pertahanan akan menyalurkan peruntukan RM500,000 untuk membaiki kerosakan rumah dan prasarana yang perlu bagi Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) di Port Dickson, Negeri Sembilan.

Kementerian itu dalam kenyataan hari ini, berkata peruntukan tersebut diumumkan menterinya Mohamad Sabu setelah beliau mengadakan lawatan kerja ke Port Dickson bagi bertemu anggota Pusat Asas Tentera Darat (PUSASDA) dan meninjau sendiri keadaan RKAT di daerah berkenaan.

“Beliau berkesempatan melawat keadaan rumah keluarga angkatan tentera khususnya di blok anggota berpangkat koperal ke bawah dan melihat adanya keperluan untuk baik pulih tangki air, saluran paip, kumbahan serta elektrik,” kata kenyataan itu.

Terdahulu, Mohamad turut menunaikan solat Jumaat bersama anggota PUSASDA di Masjid Depot Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), yang turut dihadiri Panglima Tentera Darat Jeneral Datuk Seri Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi.

Dalam sesi perjumpaan Mohamad bersama anggota PUSASDA berkekuatan 1,100 anggota di Perkarangan Hangar itu, beliau menyampaikan ucapan antaranya memberi semangat dan nasihat kepada anggota agar sentiasa sedar dengan tanggungjawab memelihara keluarga serta mempertahankan tanah air tercinta dan tidak terlibat dengan najis dadah

Thursday, September 20, 2018

PEMILIHAN PKR BERMULA DI KEDAH DAN PULAU PINANG SABTU INI

KUALA LUMPUR, 20 Sept (Bernama) -- Seramai 105,056 anggota PKR layak untuk mengundi pada pemilihan parti itu yang bermula di dua negeri iaitu Kedah dan Pulau Pinang, Sabtu ini.

Daripada jumlah itu 49,924 anggota layak mengundi di Kedah yang melibatkan 15 cabang manakala 55,132 anggota akan mengundi di 13 cabang di Pulau Pinang.

Pada pemilihan tersebut anggota akan memilih jawatan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) iaitu timbalan presiden, naib presiden, ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) pusat, ketua Wanita pusat dan ahli majlis pimpinan pusat.

Pada pemilihan itu juga anggota akan memilih pemimpin di peringkat cabang iaitu ketua cabang, timbalan ketua cabang, naib ketua cabang dan 15 ahli jawatankuasa cabang, selain ketua AMK cabang, timbalan ketua AMK cabang, naib ketua AMK cabang dan 15 ahli jawatankuasa AMK cabang.

Selain itu turut dipilih ialah ketua Wanita cabang, timbalan ketua Wanita cabang, naib ketua Wanita cabang dan tujuh ahli jawatankuasa Wanita cabang.

Setiausaha Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) PKR Ismail Yusof berkata pengundian itu akan bermula 9 pagi dan berakhir pada 5 petang.

"Keputusan awal dijangka boleh diketahui seawal jam 6 petang dan akan dipaparkan di pusat tempat mengundi setiap cabang.

"Anggota perlu memastikan mereka membawa kad pengenalan dan telah membayar yuran keahlian untuk melayakkan mereka mengundi. Bagi mereka yang belum membayar yuran keahlian boleh bayar di pusat mengundi, " katanya ketika dihubungi Bernama

Wednesday, September 19, 2018

BUNG MOKTAR YAKIN RAMAI LAGI MP AKAN KELUAR UMNO

SANDAKAN, 19 Sept (Bernama) -- Anggota Parlimen Kinabatangan Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata memang terdapat ramalan dan sumber yang mengatakan bahawa akan ada lagi anggota parlimen UMNO akan keluar parti.

Namun, beliau yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah berkata ini masih tidak boleh didedahkan kerana bimbang akan menjadi fitnah.

"Dalam senario sekarang akan ada anggota parlimen UMNO termasuk dari Sabah akan ikut (keluar parti)," katanya kepada Bernama, hari ini.

Terbaru, dua lagi anggota parlimen UMNO mengumumkan keluar dari parti iaitu Datuk Seri Mustapa Mohamed (Parlimen Jeli) dan Datuk Seri Anifah Aman (Parlimen Kimanis).

Ditanya jika kemungkinan bekas Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman akan menurut langkah adiknya Anifah keluar dari UMNO, beliau enggan mengulas lanjut

Tuesday, September 18, 2018

PENGUNDURAN TOK PA, PENGAKHIRAN UMNO

KUALA LUMPUR, 18 Sept (Bernama) -- Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyifatkan keputusan Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Mustapa Mohamed keluar parti sebagai permulaan kepada pengakhiran parti berkenaan.

Syed Saddiq berkata Mustapa atau lebih dikenali dengan Tok Pa, adalah antara pemimpin UMNO yang beliau paling hormati sejak dari dahulu sehingga kini, dan beliau masih mengagumi ketokohan anggota Parlimen Jeli itu.

"Saya jadi menteri, saya lihat beliau di Parlimen saya masih menghormati beliau, bukan sahaja pemimpin berpengalaman, malah apa beliau buat untuk negara telah banyak membantu dan tidak boleh dinafikan.

"Apabila mendengar beliau keluar UMNO, saya terkejut dan saya berpendapat ia pengakhiran kepada UMNO…kehilangan orang macam beliau (Mustapa) sesuatu yang besar kepada UMNO," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menjadi antara empat pendebat dalam siri debat umum bulanan dikenali "Re:Action-Youth Engaged' anjuran Universiti Islam Antarabangsa Malaysia serta Kementerian Belia dan Sukan di universiti berkenaan, malam ini..

Monday, September 17, 2018

BINA RUMAH HARGAI PELAKON KLASIK NORDIN AHMAD



SABAK BERNAM, 16 Sept (Bernama) -- Bagi mengenang dan menghargai bakat pelakon Melayu klasik Allahyarham Nordin Ahmad dalam industri lakonan dan perfileman negara, sebuah rumah diberi nama 'Rumah Nordin Ahmad' diwujudkan di Kampung Tebuk Haji Yusof, Sungai Besar di sini.

Rumah dua tingkat yang mempunyai dua bilik itu, dibina dengan kerjasama Kelab Filem dan Muzik Melayu dan pertubuhan Komuniti Rumah Kayu, Sungai Besar.

Wakil Kelab Filem dan Muzik Melayu, Hidir Ali Razali berkata rumah berkenaan mempunyai ciri hampir sama dengan rumah asal pelakon klasik 50-an itu.

"Secara peribadi, saya sendiri mengagumi bakat lakonan Allahyarham dan apabila Komuniti Rumah Kayu bertemu dengan saya dan berhasrat mewujudkan Rumah Nordin Ahmad di tanah milik mereka di sini, dua tahun lepas, saya sangat teruja untuk beri komitmen dalam perkara itu.

"Walaupun figura ini anak kelahiran Kampung Kota, Permatang Pasir, Pulau Pinang, apabila ada komuniti di Selangor yang berbesar hati mewujudkan satu tempat sebagai mercu tanda yang boleh kita kenang siapa itu Nordin Ahmad, bagi saya itu sangat bermakna, " katanya kepada pemberita selepas merasmikan pembukaan 'Rumah Nordin Ahmad', hari ini.

Sunday, September 16, 2018

11 TAHUN DIPENJARA MENJADI LEBIH MEMAHAMI MASALAH RAKYAT

PUTRAJAYA, 16 Sept (Bernama) – Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menolak pandangan sinis segelintir golongan muda bahawa beliau sudah tua dan tidak lagi relevan untuk memimpin.

Anwar yang baru-baru ini menang tanpa bertanding sebagai Presiden PKR dan juga Ketua Umum Pakatan Harapan berkata, pengalaman dipenjarakan selama 11 tahun menjadikan beliau seorang yang cukup memahami masalah rakyat khususnya derita golongan bawahan apabila menjadi pemimpin nanti.

“Ada pandangan sinis yang mengatakan saya sudah tua dan tidak lagi relevan (untuk kembali ke dalam kerajaan),” katanya ketika berucap pada pada majlis makan malam Pidato Malaysia Baharu: Mengisi Harapan Rakyat, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini malam ini.

Anwar menjelaskan semasa di penjara, beliau banyak bergaul dengan golongan bawahan yang merupakan hampir 90 peratus dari penghuni penjara serta warga asing.

“Saya pernah menyaksikan anak muda yang dipenjarakan kerana hanya mencuri seluar jeans dan warga asing yang datang ke sini untuk mencari rezeki tetapi ditipu dan dihukum penjara ,” katanya.

Baru-baru ini Ahli Parlimen Port Dickson Datuk Danyal Balagopal Abdullah yang memenangi kerusi itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) mengumumkan beliau telah mengosongkan kerusi berkenaan bagi memberi laluan kepada Anwar bertanding pada pilihan raya kecil di kawasan itu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kemudian mengesahkan telah menerima notis pemakluman pengosongan kerusi Parlimen Port Dickson dan akan mengadakan mesyuarat pada tarikh yang akan diumumkan.

Anwar bakal bertanding di kerusi Parlimen Port Dickson untuk kembali ke Dewan Rakyat bagi membolehkan beliau menyertai kerajaan.

— BERNAMA

Wednesday, September 12, 2018

KOSONG KERUSI UNTUK ANWAR BUKAN SATU PENGKHIANATAN

PETALING JAYA, 12 Sept (Bernama) -- Pengosongan kerusi Parlimen Port Dickson untuk memberi laluan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding dalam pilihan raya kecil (PRK) bukan pengkhianatan kepada rakyat.

Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata langkah itu dibuat bagi membolehkan Ketua Umum PKR itu berkhidmat kepada rakyat sebagai Anggota Parlimen.

"Khianat ini adalah apabila kita curi duit rakyat, kalau kita ada kedudukan kita kayakan diri, kalau kita ada kuasa kita tekan rakyat.

"Tetapi dalam sistem demokrasi, jalan untuk kita mewakili rakyat dalam Parlimen adalah melalui pilihan raya dan dalam kedudukan ini, ia dibuat dengan maksud yang khusus bagi melaksana satu ketetapan konsensus," katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar khas di ibu pejabat PKR di sini, hari ini.

Pada sidang akhbar itu, Anggota Parlimen Port Dickson Datuk Danyal Balagopal Abdullah mengumumkan peletakan jawatannya bagi memberi laluan kepada Anwar, yang telah menang tanpa bertanding jawatan Presiden PKR, bertanding di kerusi Parlimen berkenaan.

Saifuddin Nasution berkata Anwar yang sebelum ini merupakan Anggota Parlimen Permatang Pauh dinafikan peluang berkhidmat untuk rakyat selepas dipenjara.

"Dia direntap dan diseret ke penjara jadi peluang dia untuk berkhidmat kepada rakyat dinafikan selama di dalam penjara dan sekarang dia bebas untuk mengambil bahagian," katanya.

Anwar dilucutkan kelayakan sebagai Anggota Parlimen Pematang Pauh selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman penjara lima tahun setelah menolak rayuannya terhadap sabitan dan hukuman penjara bagi kesalahan meliwat pada Februari 2015.

Beliau diberikan pembebasan serta-merta selepas mendapat perkenan pengampunan penuh Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V pada 16 Mei lalu.

Sementara itu, Danyal Balagopal berkata beliau akan terus membantu di kawasan parlimen itu sekalipun tidak bergelar wakil rakyat.

"Saya tidak berhenti berkhidmat kepada rakyat saya masih tetap di Port Dickson dan akan menjadi mata dan telinga untuk Anwar di lapangan,” katanya.

Naib Presiden PKR Rafizi Ramli pula berkata pengosongan kerusi itu bukan pengkhianatan kerana ia tidak melanggar mandat rakyat.

Beliau berkata Pakatan Harapan akan terus memastikan janji-janji yang dibuat pada pilihan raya umum lalu dikotakan demi kebaikan rakyat.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14, 9 Mei lepas, Danyal Balagopal, bekas pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), mengalahkan calon BN Datuk V.S. Mogan dan calon PAS Mahfuz Roslan dengan majoriti 17,110 undi.

Parlimen Port Dickson memiliki lima DUN iaitu Chuah dan Lukut masing-masing dikuasai DAP, Bagan Pinang dan Linggi (BN) dan Sri Tanjung (PKR).

Parlimen Port Dickson (dulu Telok Kemang) dikuasai PKR selama tiga penggal sejak 2008.

-- BERNAMA

Monday, September 10, 2018

PILIH PEMIMPIN YANG PUNYA REKOD PENCAPAIAN SERU ZURAIDA

BUTTERWORTH, 10 Sept (Bernama) -- Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin mengingatkan anggota parti di negeri ini supaya memilih pemimpin dengan tepat dan mempunyai rekod pencapaian baik bagi meneruskan kelangsungan parti berkenaan, pada pemilihan PKR kali ini.

Mengambil Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai contoh, beliau berkata pemimpin itu mempunyai rekod pencapaian yang baik kerana memegang jawatan sebagai timbalan presiden parti sehingga empat penggal selain menjadi Menteri Besar Selangor selama empat tahun.

"Kita kena buat kerja gunakan kematangan kita pada pemilihan parti kali ini kerana ia penting. Kalau kita tidak matang memilih kepimpinan pada pemilihan parti kali ini, maka pengurusan parti akan terjejas.

"Kita kena pilih satu 'pasukan’ yang bersatu padu, satu 'pasukan’ boleh buat kerja sebagai satu pasukan kerana kalau kita tidak memilih mereka sebagai satu pasukan setiap keputusan kita akan berpecah, bila berpecah mana mungkin kita hendak menggerakkan agenda, hala tuju dan aktiviti parti," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Bersama Yang Berhormat Zuraida Kamaruddin, di sini malam ini.

Zuraida yang juga calon bagi Naib Presiden PKR berkata gandingan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Mohamed Azmin adalah yang terbaik dalam usaha menstabil, mengukuh dan memantapkan parti bagi tempoh tiga tahun akan datang

MCA WAJAR DIBUBAR

BANGI, 8 Sept (Bernama) -- Majoriti besar lebih 18,500 undi yang diraih oleh calon Pakatan Harapan (PH) yang julung kali bertanding atas logo sendiri pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong hari ini, dibayangi hakikat PRK itu mencatat jumlah peratusan keluar mengundi terendah dalam sejarah PRK negara setakat ini.

Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), hanya 43 peratus daripada 62,219 pengundi berdaftar keluar menunaikan tanggungjawab pada PRK itu hari ini dengan jumlah undi yang diterima SPR ialah sebanyak 26,483 undi.

Rekod peratusan keluar mengundi paling rendah sebelum ini dipegang PRK DUN Penanti di Pulau Pinang yang mencatatkan 46 peratus pada 2009.

Pelbagai faktor diutarakan antaranya cuti hujung minggu yang panjang menyebabkan ramai warga bercuti di luar daerah selain ulasan-ulasan biasa iaitu pemilih berpandangan undi mereka tidak akan mengubah senario politik negara di samping yakin parti yang disokong tetap akan menang sekalipun mereka tidak keluar mengundi.

Penganalisis politik Dr Syed Agil Syed Alsagoff daripada Universiti Putra Malaysia berpandangan isu itu tidak harus dipandang ringan oleh SPR.

"Apapun faktor dan alasan yang diberikan, saya berpendapat bahawa penilaian harus diadakan dan SPR harus melakukan sesuatu untuk mengatasi masalah ini pada PRK-PRK lain.

"Begitu juga dengan parti-parti politik, mereka juga harus berusaha memikat pengundi untuk betul-betul keluar mengundi," katanya kepada Bernama.

Kebimbangan itu berasas kerana selain PRK DUN Balakong, PRK DUN Seri Setia yang diadakan serentak hari ini juga mencatatkan peratusan keluar mengundi rendah pada 44 peratus sementara PRK DUN Sungai Kandis yang diadakan pada 4 Ogos lalu merekodkan 49.4 peratus.

Mengulas lanjut, Syed Agil bagaimanapun menjangkakan peratusan keluar mengundi rendah itu tidak mempunyai implikasi jangka panjang terhadap kerajaan PH.

Katanya ini berdasarkan kepada keputusan ketiga-tiga PRK terbabit yang memihak kepada PH setakat ini.

Malah, strategi MCA menjaja ketidakupayaan PH menunaikan janji manifesto Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dalam tempoh 100 hari gagal menarik sokongan rakyat yang menurut Syed Agil membuktikan pengundi kini rata-ratanya telah matang dalam menilai polisi negara serta tidak lagi mudah terpengaruh dengan mainan politik.

Katanya ia juga menunjukkan mereka masih mempunyai keyakinan tinggi terhadap PH.

Dalam pada itu, pemerhati politik menyifatkan takdir MCA sudah tersurat sejak awal kempen sekalipun cuba lari daripada dibayangi oleh Barisan Nasional dengan bertanding atas logo parti sendiri.

Nasib parti yang pada satu ketika dahulu mendukung kerajaan itu boleh dibaca oleh mata kasar apabila kempen dan ceramah yang diadakan hampir setiap malam gagal mendapat sambutan.

Kemunculan mengejut Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan pada satu ceramah MCA menjelang hari-hari terakhir kempen dilihat hanya mengeruhkan keadaan memandangkan MCA dan PAS sebelum ini tidak boleh bertentang mata dan sering berbalah khasnya dalam isu melibatkan wanita dan hukum hudud.

Syed Agil berpandangan ‘bantuan’ yang dihulurkan oleh PAS itu tidak membawa manfaat yang diharapkan memandangkang di Balakong ‘pertempuran’ adalah di antara DAP dan MCA.

“Selain itu, kemunculan PAS ini juga dilihat tidak disenangi oleh penyokong MCA dan seterusnya mungkin menyebabkan mereka memprotes dengan tidak mengundi," katanya.

Pada PRK hari ini, calon PH, Wong Siew Ki daripada DAP memperoleh 22,508 undi berbanding calon MCA Tan Chee Teong yang hanya mendapat 3,975 undi.

PRK DUN Balakong berkenaan diadakan berikutan kematian penyandangnya Eddie Ng Tien Chie dalam kemalangan jalan raya, 20 Julai lepas.

Pada PRU14 Mei lalu, Ng daripada DAP yang menggunakan logo PKR menewaskan calon Barisan Nasional Lim Chin Wah dan Mohamad Ibrahim Ghazali (PAS) dengan majoriti 35,538 undi.

-- BERNAMA

Friday, September 7, 2018

PENGUMUMAN RAFIZI BUKTI RAFIZI LEBIH RAPAT DENGAN ANWAR



KOTA BHARU: Satu kerusi parlimen yang dimenangi PKR pada pilihan raya umum lalu akan dikosongkan pada minggu depan untuk memberi laluan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim kembali ke parlimen.

Perkara itu diumumkan calon timbalan presiden PKR, Rafizi Ramli sambil menegaskan bekas timbalan perdana menteri itu akan kembali ke parlimen dalam masa terdekat.

"Saya nak beritahu, minggu depan akan ada satu kerusi parlimen dikosongkan untuk Anwar bertanding.

"Minggu depan Insya-Allah satu kerusi dikosongkan dan insya-Allah Anwar Ibrahim akan kembali ke parlimen," katanya ketika berceramah di program #Reformasi20Tahun di Kota Bharu, malam ini.

Rafizi berkata, beliau tidak kisah dengan segelintir anggota parlimen PKR yang tidak mahu memberi laluan untuk Anwar kembali ke parlimen kerana masih ramai yang sudi.

Bekas anggota parlimen Pandan itu berkata, jika pemimpin seperti penyandang Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin dan Timbalan Presiden Datuk Seri Azmin Ali enggan memberi laluan ia tidak menjadi masalah.




"Zuraida tak nak bagi (kerusi) tak apa, Azmin tak nak bagi tak apa. Ramai lagi orang lain yang sanggup beri laluan," katanya.

Tambah Rafizi, pihak mempunyai dua kepentingan yang perlu diutamakan dalam agenda PKR iaitu menjadikan Anwar sebagai presiden parti dan anggota parlimen serta perdana menteri kelapan.

"Kami duduk berbincang dengan Anwar, datuk seri jangan ambil mudah. Ingat orang luar dan dalam akan bagi ruang. Tidak cukup jadi ketua umum.

"Kita susun yang pertama pertandingan dan pemilihan kali ini Anwar jadi presiden parti," katanya.

Thursday, September 6, 2018

SYED SADDIQ TIDAK BENARKAN MPM TANGGALKAN CAP DAGANG DALAM BAHASA MANDARIN

MUAR, 6 Sept (Bernama) – Anggota Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tidak akan membenarkan cap dagang dalam bahasa Mandarin di kedai di bandar Muar ditanggalkan oleh majlis perbandaran kerana ia mempunyai nilai sejarah.

Menteri Belia dan Sukan itu berkata cap dagang itu yang telah wujud lebih separuh abad adalah sejarah Muar dan keindahan bandar ini terletak pada kepelbagaiannya yang perlu dilindungi sepenuhnya.

“Saya membantah bagi cap dagang dalam bahasa Mandarin itu ditanggalkan secara paksa. Kenapa hanya sekarang dicadangkan ia ditanggalkan, ini tidak masuk akal. Sebagai MP (Anggota Parlimen) Muar, saya tidak benarkan ini berlaku,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Semalam sebuah akhbar berbahasa Mandarin melaporkan beberapa pengusaha kedai di Jalan Sisi di sini diminta menanggalkan cap dagang dalam bahasa Mandarin mereka dalam tempoh dua minggu.

Akhbar itu melaporkan pegawai Majlis Perbandaran Muar yang .melakukan lawatan ke kedai berkenaan pada 4 Sept menyatakan saiz perkataan itu tidak menepati peraturan iklan ditetapkan majlis itu.

Wednesday, September 5, 2018

TINDAKAN HANAFIAH BERCANGGAH DENGAN SEKSYEN 3 PERKARA 145



KUALA LUMPUR: Keputusan menggugurkan kes rasuah Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, tanpa campur tangan Peguam Negara, Tommy Thomas, didakwa bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Bekas menteri, Tan Sri Dr Rais Yatim, mendakwa penjelasan Ketua Bahagian Perbicaraan dan Rayuan Jabatan Peguam Negara (AGC), Datuk Mohamad Hanafiah Zakaria, bahawa Tommy tidak terbabit dalam keputusan menggugurkan kes berkenaan, bertentangan dengan Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan

“Jika betul seperti kata Ketua Bahagian Perbicaraan dan Rayuan AGC bahawa Tommy Thomas selaku Peguam Negara tak terbabit dalam pemberhentian kes rasuah Lim Guan Eng dan rakannya, maka Perkara 145 dicabul.

“Ini kerana hanya Peguam Negara yang berkuasa menarik balik sesuatu kes jenayah,” katanya menerusi Twitter, hari ini.

Seksyen 3 Perkara 145 memperuntukkan Peguam Negara hendaklah mempunyai kuasa yang boleh dijalankan menurut budi bicaranya, untuk memulakan, menjalankan atau memberhentikan apa-apa prosiding bagi sesuatu kesalahan, selain prosiding di hadapan mahkamah Syariah, mahkamah anak negeri atau mahkamah tentera.

Isnin lalu, Mahkamah Tinggi Pulau Pinang melepas dan membebaskan Guan Eng, yang juga Setiausaha Agung DAP, daripada tuduhan rasuah berhubung pembelian sebuah lot tanah dan banglo, serta ahli perniagaan, Phang Li Koon daripada dakwaan bersubahat.

Susulan keputusan itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menzahirkan rasa terkejut dengan keputusan itu, selain menegaskan keputusan menarik balik kes berkenaan diputuskan Pejabat Peguam Negara.

Semalam, Mohamad Hanafiah dilaporkan berkata, keputusan tidak meneruskan pendakwaan dibuat tanpa pembabitan Tommy, sebaliknya beliau diberi tanggungjawab memutuskan representasi dikemukakan kedua-dua tertuduh pada 6 Julai lalu melalui pendekatan ‘fresh eye’ oleh jabatan berkenaan.

Mohamad Hanafiah berkata, AGC tidak meneruskan pendakwaan kes rasuah itu selepas mendapati bukti dikemukakan di mahkamah adalah lemah.

Tuesday, September 4, 2018

REEZAL MERICAN GESA PEGUAM NEGARA BUAT RAYUAN KES LIM GUAN ENG



KUALA LUMPUR: Datuk Sri Reezal Merican Naina Merican menggesa Peguam Negara, Tommy Thomas segera membuat rayuan terhadap keputusan membebaskan bekas ketua menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng atas dua pertuduhan rasuah.

Anggota Parlimen Kepala Batas itu berkata Jabatan Peguam Negara mempunyai tanggungjawab moral untuk memastikan kes melibatkan individu berprofil tinggi diadili sebaiknya di mahkamah terbuka.

"Kita khuatir dan bimbang, perkembangan terbaru ini hanya merosakkan imej dan kewibawaan Jabatan Peguam Negara," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sambil menuntut penjelasan peguam negara, Reezal berkata rakyat secara umumnya sudah mula membuat perbandingan kes itu dengan kes membabitkan bekas menteri besar Selangor, Khir Toyo.

"Isu kedudukan, kepentingan peribadi dan sebagainya mewajarkan kes melibatkan bekas ketua menteri Pulau Pinang ini dibicarakan semula di mahkamah.

"Kita tidak mahu imej Jabatan Peguam Negara, mahupun Peguam Negara yang baru dirosakkan dengan keputusan ini," katanya.

Semalam Timbalan Pendakwa Raya Mohd Masri Daud memohon mahkamah agar Lim dan ahli perniagaan, Phang Li Koon dilepaskan tanpa dibebaskan daripada dakwaan tersebut.

Bagaimanapun hakim Datuk Hadhariah Syed Ismail memutuskan untuk membebas dan melepaskan Lim serta Phang daripada tuduhan berkenaan.

Ketua Bahagian Perbicaraan dan Rayuan / Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Mohamad Hanafiah Zakaria hari ini berkata beliau adalah individu yang memutuskan untuk menggugurkan pertuduhan terhadap Lim.

Menurut Mohamad, beliau membuat kesimpulan itu daripada hasil pemeriksaan balas terhadap saksi-saksi pendakwaan, serta keterangan yang menyokong pertuduhan pertama dan pertuduhan kedua.

"Setelah membuat kesimpulan-kesimpulan tersebut, saya berpandangan bahawa saya mungkin tidak memenuhi tanggungjawab saya sebagai Timbalan Pendakwa Raya untuk membiarkan kes diteruskan setelah mengetahui bahawa kes terhadap Lim Guan Eng dan Phang Li Koon tidak akan berjaya pada akhir kes pendakwaan.

"Maka dengan itu, saya membuat keputusan supaya pihak pendakwaan “nolle prosequi” pertuduhan-pertuduhan terhadap kedua- dua tertuduh berdasarkan seksyen 254 Kanun Tatacara Jenayah," katanya.




Antara saksi yang dipanggil pihak pendakwa sebelum ini ialah Muhsin Latheef, atau lebih dikenali dengan nama penanya "Mamu Parpu", yang membuat laporan terhadap Lim kepada polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana didakwa membeli banglo dari Phang di bawah harga pasaran.

Bagaimanapun, semasa pemeriksaan balas, Muhsin berkata beliau telah membuat laporan berdasarkan video tetapi tidak pasti kesahihan dakwaan itu.

Monday, September 3, 2018

TOMMY THOMAS ADA KONFLIK KEPENTINGAN?

SHAH ALAM, 3 Sept (Bernama) -- Pelantikan Tommy Thomas sebagai Peguam Negara perlu dikaji semula kerana dikhuatiri wujudnya konflik kepentingan berikutan keputusan pembebasan Menteri Kewangan Lim Guan Eng daripada pertuduhan rasuah di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang hari ini.

Naib Presiden PAS, Idris Ahmad berkata ini kerana, sebelum dilantik sebagai Peguam Negara, Thomas pernah mewakili Lim dalam satu prosiding kes berkaitan pertuduhan rasuah itu.

"Justeru itu, kita (PAS) mendesak agar pihak bertanggungjawab menyiasat secara terperinci, kemungkinan wujudnya konflik kepentingan ataupun tidak," katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Terdahulu, Hakim Datuk Hadhariah Syed Ismail melepas dan membebaskan Lim yang juga bekas Ketua Menteri Pulau Pinang dan ahli perniagaan Phang Li Koon daripada pertuduhan rasuah berhubung pembelian sebuah banglo di bawah nilai pasaran.

Keputusan itu dibuat berikutan permohonan peguam Ramkarpal Singh yang mewakili Lim dan Datuk V. Sithambaram serta Hisyam Teh Poh Teik, yang mewakili Phang, supaya anak guam mereka dibebaskan sepenuhnya daripada pertuduhan tersebut

Sunday, September 2, 2018

KHALID ABDULLAH DALAM KENANGAN DAPAT RATING NOMBOR TIGA

Seramai 822 orang telah membaca berita "Pembantu Mat Sabu cemari usia 100 hari kerajaan Pakatan Harapan" yang disiarkan dalam blog Newajilpost pada 4 Ogos lalu. Terima kasih kepada semua pembaca.

10 rating tertinggi bagi bulan Ogos 2018 adalah seperti berikut:-

1. Pembantu Mat Sabu cemari usia 100 hari kerajaan Pakatan Harapan (4.8) - 822 hits
2. Dah tahu kena bayar pampasan RM400 bilion kenapa masukkan hapuskan tol dalam manifesto PH (13 Ogos)
3. Khalid Abdullah dalam kenangan (5 Ogos)
4.Apa motif Mahathir lantik Rahim Noor? (28 Ogos)
5. Mahathir beri amaran kepada Lim Guan Eng dan Azmin, go out kalau rasuah (15 Ogos)
6. Mengurangkan majoriti PKR sebanyak 6,638 undi satu kejayaan besar BN (4 Ogos)
7. Khidmat Daim masih diperlukan (15 Ogos)'
8. Lebih baik Anwar bertanding di PRK Sipitang jika Hafiz tak angkat sumpah (11 Ogos)
9. NGO bidas kenyataan Annuar Musa (7 Ogos)
10. 32 Senator BN luluskan SST demi rakyat (20 Ogos)

Saturday, September 1, 2018

ANWAR IMBAU SEJARAH PEMECATAN BELIAU SEBAGAI TPM 20 TAHUN LALU

KUALA LUMPUR, 1 Sept (Bernama) – Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan perseteruan beliau dengan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang pernah tercetus sebelum ini sebagai yang paling sengit dalam sejarah negara.

Namun katanya, takdir menemukan mereka semula dengan satu hasrat iaitu untuk menyelamatkan negara daripada keruntuhan.

“Sejarah menunjukkan perseteruan saya dengan Tun Mahathir paling sengit tetapi Allah takdirkan kita muafakat semula untuk kepentingan negara.

“Saya bersyukur walaupun deritanya lama. Kalau saya nyanyi di penjara semua lagu-lagu derita.. lagu kegemaran termasuk ‘Release Me’,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan penutupan Kongres Masa Depan Bumiputera dan Negara 2018 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengimbau tarikh 2 Sept 1998 yang mana esok genap 20 tahun beliau dipecat sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Sementara itu, Anwar berkata beliau belum membuat keputusan mengenai kerusi Parlimen yang akan ditandingi beliau dalam pilihan raya kecil (PRK).

Namun, beliau dijangka melakukan kemunculan semula sebelum sidang Parlimen pada Oktober ini.

“Saya dah bagi tahu Perdana Menteri saya nak tumpu urusan pembaharuan Parlimen.. jadi harapnya sebelum sidang Parlimen Oktober ini.. mungkin sebelum Azmin (Datuk Seri Mohamed Azmin Ali) bentang RMK agaknya,” katanya, sambil menambah ada empat kawasan cadangan yang akan dipertimbangkan.

Mengulas tindakan anaknya yang juga Naib Presiden PKR Nurul Izzah yang membantah pelantikan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahim Noor sebagai fasilitator baharu rundingan damai selatan Thailand, Anwar berkata beliau bebas menyuarakan pendapat.

“Dia muda masa tu dan kesan ayahnya dipukul setengah mati masa tu tentu beri kesan. Ia tak mudah. Ada orang kata ini soal personal tetapi tidak, ini bukan soal personal.

“Kalau anak anda dipukul setengah mati boleh anda jawab soal personal,” katanya.

Sebelum ini, Nurul Izzah yang juga Anggota Parlimen Permatang Pauh turut menyifatkan Rahim sebagai seorang penyerang ganas ke atas seorang lelaki yang tidak bersalah.

Terdahulu, ketika berucap merasmikan penutupan kongres itu, Anwar mengingatkan jemaah menteri untuk tidak mengulangi penyelewengan dan ketirisan yang berlaku dalam kerajaan terdahulu.

Katanya, sekarang adalah giliran pembangkang untuk memantau segala tindakan yang dilakukan kerajaan Pakatan Harapan.

“Jika serangan pembangkang itu tepat dan ada kecuaian menteri, saya akan turut serta dengan pembangkang untuk menyerang,” katanya.

-- BERNAMA