Tuesday, September 4, 2018

REEZAL MERICAN GESA PEGUAM NEGARA BUAT RAYUAN KES LIM GUAN ENG



KUALA LUMPUR: Datuk Sri Reezal Merican Naina Merican menggesa Peguam Negara, Tommy Thomas segera membuat rayuan terhadap keputusan membebaskan bekas ketua menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng atas dua pertuduhan rasuah.

Anggota Parlimen Kepala Batas itu berkata Jabatan Peguam Negara mempunyai tanggungjawab moral untuk memastikan kes melibatkan individu berprofil tinggi diadili sebaiknya di mahkamah terbuka.

"Kita khuatir dan bimbang, perkembangan terbaru ini hanya merosakkan imej dan kewibawaan Jabatan Peguam Negara," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sambil menuntut penjelasan peguam negara, Reezal berkata rakyat secara umumnya sudah mula membuat perbandingan kes itu dengan kes membabitkan bekas menteri besar Selangor, Khir Toyo.

"Isu kedudukan, kepentingan peribadi dan sebagainya mewajarkan kes melibatkan bekas ketua menteri Pulau Pinang ini dibicarakan semula di mahkamah.

"Kita tidak mahu imej Jabatan Peguam Negara, mahupun Peguam Negara yang baru dirosakkan dengan keputusan ini," katanya.

Semalam Timbalan Pendakwa Raya Mohd Masri Daud memohon mahkamah agar Lim dan ahli perniagaan, Phang Li Koon dilepaskan tanpa dibebaskan daripada dakwaan tersebut.

Bagaimanapun hakim Datuk Hadhariah Syed Ismail memutuskan untuk membebas dan melepaskan Lim serta Phang daripada tuduhan berkenaan.

Ketua Bahagian Perbicaraan dan Rayuan / Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Mohamad Hanafiah Zakaria hari ini berkata beliau adalah individu yang memutuskan untuk menggugurkan pertuduhan terhadap Lim.

Menurut Mohamad, beliau membuat kesimpulan itu daripada hasil pemeriksaan balas terhadap saksi-saksi pendakwaan, serta keterangan yang menyokong pertuduhan pertama dan pertuduhan kedua.

"Setelah membuat kesimpulan-kesimpulan tersebut, saya berpandangan bahawa saya mungkin tidak memenuhi tanggungjawab saya sebagai Timbalan Pendakwa Raya untuk membiarkan kes diteruskan setelah mengetahui bahawa kes terhadap Lim Guan Eng dan Phang Li Koon tidak akan berjaya pada akhir kes pendakwaan.

"Maka dengan itu, saya membuat keputusan supaya pihak pendakwaan “nolle prosequi” pertuduhan-pertuduhan terhadap kedua- dua tertuduh berdasarkan seksyen 254 Kanun Tatacara Jenayah," katanya.




Antara saksi yang dipanggil pihak pendakwa sebelum ini ialah Muhsin Latheef, atau lebih dikenali dengan nama penanya "Mamu Parpu", yang membuat laporan terhadap Lim kepada polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana didakwa membeli banglo dari Phang di bawah harga pasaran.

Bagaimanapun, semasa pemeriksaan balas, Muhsin berkata beliau telah membuat laporan berdasarkan video tetapi tidak pasti kesahihan dakwaan itu.

No comments:

Post a Comment