Monday, September 10, 2018

MCA WAJAR DIBUBAR

BANGI, 8 Sept (Bernama) -- Majoriti besar lebih 18,500 undi yang diraih oleh calon Pakatan Harapan (PH) yang julung kali bertanding atas logo sendiri pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong hari ini, dibayangi hakikat PRK itu mencatat jumlah peratusan keluar mengundi terendah dalam sejarah PRK negara setakat ini.

Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), hanya 43 peratus daripada 62,219 pengundi berdaftar keluar menunaikan tanggungjawab pada PRK itu hari ini dengan jumlah undi yang diterima SPR ialah sebanyak 26,483 undi.

Rekod peratusan keluar mengundi paling rendah sebelum ini dipegang PRK DUN Penanti di Pulau Pinang yang mencatatkan 46 peratus pada 2009.

Pelbagai faktor diutarakan antaranya cuti hujung minggu yang panjang menyebabkan ramai warga bercuti di luar daerah selain ulasan-ulasan biasa iaitu pemilih berpandangan undi mereka tidak akan mengubah senario politik negara di samping yakin parti yang disokong tetap akan menang sekalipun mereka tidak keluar mengundi.

Penganalisis politik Dr Syed Agil Syed Alsagoff daripada Universiti Putra Malaysia berpandangan isu itu tidak harus dipandang ringan oleh SPR.

"Apapun faktor dan alasan yang diberikan, saya berpendapat bahawa penilaian harus diadakan dan SPR harus melakukan sesuatu untuk mengatasi masalah ini pada PRK-PRK lain.

"Begitu juga dengan parti-parti politik, mereka juga harus berusaha memikat pengundi untuk betul-betul keluar mengundi," katanya kepada Bernama.

Kebimbangan itu berasas kerana selain PRK DUN Balakong, PRK DUN Seri Setia yang diadakan serentak hari ini juga mencatatkan peratusan keluar mengundi rendah pada 44 peratus sementara PRK DUN Sungai Kandis yang diadakan pada 4 Ogos lalu merekodkan 49.4 peratus.

Mengulas lanjut, Syed Agil bagaimanapun menjangkakan peratusan keluar mengundi rendah itu tidak mempunyai implikasi jangka panjang terhadap kerajaan PH.

Katanya ini berdasarkan kepada keputusan ketiga-tiga PRK terbabit yang memihak kepada PH setakat ini.

Malah, strategi MCA menjaja ketidakupayaan PH menunaikan janji manifesto Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dalam tempoh 100 hari gagal menarik sokongan rakyat yang menurut Syed Agil membuktikan pengundi kini rata-ratanya telah matang dalam menilai polisi negara serta tidak lagi mudah terpengaruh dengan mainan politik.

Katanya ia juga menunjukkan mereka masih mempunyai keyakinan tinggi terhadap PH.

Dalam pada itu, pemerhati politik menyifatkan takdir MCA sudah tersurat sejak awal kempen sekalipun cuba lari daripada dibayangi oleh Barisan Nasional dengan bertanding atas logo parti sendiri.

Nasib parti yang pada satu ketika dahulu mendukung kerajaan itu boleh dibaca oleh mata kasar apabila kempen dan ceramah yang diadakan hampir setiap malam gagal mendapat sambutan.

Kemunculan mengejut Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan pada satu ceramah MCA menjelang hari-hari terakhir kempen dilihat hanya mengeruhkan keadaan memandangkan MCA dan PAS sebelum ini tidak boleh bertentang mata dan sering berbalah khasnya dalam isu melibatkan wanita dan hukum hudud.

Syed Agil berpandangan ‘bantuan’ yang dihulurkan oleh PAS itu tidak membawa manfaat yang diharapkan memandangkang di Balakong ‘pertempuran’ adalah di antara DAP dan MCA.

“Selain itu, kemunculan PAS ini juga dilihat tidak disenangi oleh penyokong MCA dan seterusnya mungkin menyebabkan mereka memprotes dengan tidak mengundi," katanya.

Pada PRK hari ini, calon PH, Wong Siew Ki daripada DAP memperoleh 22,508 undi berbanding calon MCA Tan Chee Teong yang hanya mendapat 3,975 undi.

PRK DUN Balakong berkenaan diadakan berikutan kematian penyandangnya Eddie Ng Tien Chie dalam kemalangan jalan raya, 20 Julai lepas.

Pada PRU14 Mei lalu, Ng daripada DAP yang menggunakan logo PKR menewaskan calon Barisan Nasional Lim Chin Wah dan Mohamad Ibrahim Ghazali (PAS) dengan majoriti 35,538 undi.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment