Thursday, August 8, 2019

PERANAN TUDM BESAR TENTANG KOMUNIS

ALOR SETAR, 9 Ogos (Bernama) -- Setiap kali menjelang Hari Kebangsaan, kita sering disajikan dengan pelbagai kisah pejuang semasa era penentangan komunis, kebiasaannya kalangan anggota mahupun pegawai Tentera Darat Malaysia (TDM) atau Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Kali ini Bernama mengetengahkan kisah getir yang ditempuh bekas juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Mejar (B) Dr Nor Ibrahim Sulaiman, 70, yang berkongsi pengalaman berharga dalam kamus hidupnya, semasa berhadapan dengan ancaman komunis.

“Peranan TUDM juga sangat besar, malah saya sebagai bekas juruterbang helikopter Nuri, sebenarnya menghadapi ancaman lebih kritikal kerana ‘kami diburu, bukan pemburu’,” katanya kepada Bernama di sini.

Beliau berkata tidak seperti anggota TDM, sebagai juruterbang helikopter yang sering keluar masuk ke kawasan operasi untuk mengangkut pelbagai keperluan anggota, ‘kelibatnya’ sentiasa diintai komunis dan menjadi sasaran peluru pengganas.

“Komunis ni dia tunggu saja helikopter datang, kemudian mereka akan serang ketika kami ‘terapung’ di udara untuk ambil anggota yang meninggal atau cedera dan bila diserang, saya tidak boleh buat apa-apa, bukan senang nak bertempur bila tengah pegang stereng pesawat,” katanya.

Nor Ibrahim yang berasal dari Kuala Kangsar, Perak berkata beliau juga pernah menempuh pengalaman menerbangkan Nuri yang satu daripada generatornya sudah tidak berfungsi akibat ditembak pengganas komunis.

“Saya tidak mahu tinggalkan helikopter itu di kawasan yang tidak selamat, jadi saya cekalkan hati, terbangkan Nuri dan alhamdulillah saya selamat tiba ke pangkalan dan berada di sini untuk menceritakan kisah ini kepada kamu semua,” katanya.

Beliau berkata sejurus tiba di pangkalan, helikopter yang ditembak akan segera diperbaiki, setiap lubang kesan peluru akan ditampal dan setelah selesai dan dipastikan selamat, ia akan terbang semula untuk melaksanakan tanggungjawab menghantar bekalan atau anggota ke kawasan operasi.

“Tugas kami sangat penting, Nuri ni umpama ‘nyawa’ kepada anggota di kawasan operasi, kamilah yang akan hantar bekalan makanan, bawa keluar masuk anggota yang cedera atau meninggal,” katanya.

Menceritakan pengalamannya, pemegang Ijazah Kedoktoran dalam kajian khusus berkaitan Nuri itu berkata, antara yang paling tidak dapat dilupakannya adalah semasa satu konvoi Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) diserang hendap komunis di satu jalan berhampiran Gubir di Sik, yang mengakibatkan lima wira negara gugur.

Nor Ibrahim berkata, selepas serangan pada April 1975 itu, beliau yang ketika itu baru memegang jawatan pembantu juruterbang, diarah pergi ke lokasi serang hendap itu untuk membantu mengeluarkan mayat dan anggota yang cedera.

“Bila sampai ke lokasi, kami tidak boleh mendarat pun sebab banyak jerangkap samar di situ, jadi kami hanya terapung di udara, di bawah saya nampak ramai yang cedera dan mayat sudah diikat pada tali untuk ditarik naik ke helikopter.

“Keadaan agak sukar untuk menaikkan mayat pada masa itu, saya peluk satu mayat, penuh darah dia di badan saya. Mayat itu kawan saya Pegawai Risik, Kapten Hardev Singh, sebelum kejadian saya sempat minum di Butterworth dengan mendiang dan dia cakap ‘jumpa anda di Gubir’.

“Bila di Gubir, memang betul saya ‘jumpa mendiang’… selepas kejadian itu isterinya ada beritahu saya terdapat 18 lubang pada badan mendiang,” katanya yang mengenang peristiwa itu sebagai pencetus baginya untuk berkongsi kisah-kisah di blog Jottings of Xnuripilot.

Beliau, yang juga seorang daripada hanya 32 penerima Pingat Tentera Udara (PTU) itu berkata, walaupun tidak mahir menggunakan komputer, beliau tetap bersemangat untuk menulis kisah perjuangan terdahulu agar generasi kini tahu bahawa komunis langsung tidak boleh diiktiraf sebagai pejuang kemerdekaan.

“Bagi saya orang muda kurang patriotik bukan 100 peratus salah mereka, tapi tiada orang nak cerita tentang sejarah ini dan sebenarnya ramai veteran askar berminat nak bercerita tapi tiada platform, nak tunggu hari Merdeka baru nak panggil.

“Seeloknya perkara seperti ini perlu didedahkan sepanjang tahun, jemputlah orang seperti saya untuk bercerita terutama di sekolah, jabatan kerajaan atau institusi pengajian,” katanya yang sentiasa bersemangat untuk berkongsi kisah kekejaman komunis dan mahu semua tahu bahawa mempelajari sejarah itu sangat penting.

-- BERNAMA

Wednesday, August 7, 2019

KAMI TIDAK MINTA DR MAHATHIR JADI PM SAMPAI UMUR 100 TAHUN

PUTRAJAYA, 7 Ogos (Bernama) -- Bekas menteri Tan Sri Rafidah Aziz hari ini berkata semua orang hendaklah berhenti bercakap mengenai peralihan kuasa perdana menteri dan sebaliknya memberi tumpuan kepada pembangunan sosio-ekonomi.

Rafidah, anggota Majlis Tindakan Ekonomi Negara (M TEN) berkata rakyat tidak harus terlalu asyik menumpukan perhatian kepada isu bila Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad akan menyerahkan kuasa kepada penggantinya.

"Hidup kita berada dalam ketentuan Ilahi ... jadi jangan bercakap tentang dua atau tiga tahun, teruskan apa yang dilaksanakan kerana dasar perlu melampaui satu tahun, dua tahun ... itu adalah dasar yang kita teruskan untuk generasi akan datang dan selepas itu.

"Sudah tentu, Dr Mahathir ada berkata beliau tidak mahu menjadi PM untuk selama-lamanya. Kami tidak meminta anda (menjadi PM) sehingga anda berumur 100 tahun, Kami cuma berkata tidak bercakap tentang hal itu, teruskan (pentadbiran), " kata beliau dalam ucaptama pada Wacana Perdana Siri ke-21 bertajuk" Faktor-Faktor Menghalang Kemajuan Ekonomi Malaysia dan Bagaimana untuk Menanganinya ", di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini hari ini.

Ketika diminta oleh pemberita untuk memberi komen, Rafidah berkata, "Saya tidak berminat untuk membicarakan apa-apa perkara yang tidak berkaitan, saya lebih prihatin terhadap kesejahteraan negara. Jika anda mula bercakap mengenai semua perkara ini, anda akan mengalih perhatian daripada isu teras iaitu meneruskan pembangunan negara ini.

“Kita telah keluar dari masalah serius melibatkan kredibiliti, imej, keberhutangan dan sistem yang terhakis, "katanya.

Beliau percaya kebanyakan rakyat Malaysia mahu kerajaan meneruskan pembangunan walau dengan apapun untuk membawa kemajuan dan pembangunan sosial ekonomi.

“Usaha ini sedang berjalan tetapi anda terganggu dengan masalah di beberapa kementerian. Oleh itu, adalah penting kita tidak terganggu,” kata beliau.

Dalam ucapannya, Rafidah juga mempersoalkan tentang perlunya membangunkan kereta terbang negara yang pertama seperti dicadangkan oleh kerajaan.

“Okey untuk membuat kereta terbang sebagai hobi, teruskan. tetapi jangan jadikannya sebagai projek nasional. Kita tidak mempunyai basikal untuk diberikan kepada pelajar di Sabah dan Sarawak; mereka terpaksa berjalan kaki berbatu-batu setiap hari.

"Ia juga tidak begitu mudah untuk membuat kereta dan terbang. Jika ia benar-benar boleh dilaksanakan, andakah anda fikir Malaysia akan menjadi yang pertama melakukannya, orang Jerman akan melakukannya, rakyat Jepun, rakyat China mungkin melakukannya. Bukan semudah itu. Hendak menerbangkan dron pun (di Malaysia), kita memerlukan lesen, " katanya.

Selepas wacana itu, Rafidah melancarkan penerbitan Yayasan Kepimpinan Perdana (PLF), "Revisiting Atas Angin: A Review on Malay Imagination of Rum Ferringghi and Pengajah", yang dihasilkan oleh Profesor Datuk Dr Ahmad Murad Merican sebagai sebahagian daripada Felo Presiden Kehormat Residen di Yayasan Kepimpinan Perdana.

-- BERNAMA