Wednesday, October 31, 2018

DASAR KEBANGSAAN INDUSTRI 4.0 GARIS 13 STRATEGI



KUALA LUMPUR: Dasar Kebangsaan mengenai Industri 4.0 atau dikenali Industry4WRD yang dilancarkan hari ini menggariskan 13 strategi meluas yang akan mentransformasikan landskap industri perkilangan dalam dekad seterusnya.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Darell Leiking, berkata pelaksanaan Industri 4.0 dipacu oleh tiga faktor peralihan iaitu Orang, Proses dan Teknologi.

Beliau berkata, menerusi lima pemangkin strategik, F.I.R.S.T, pelan tindakan sasaran dibangunkan untuk menangani pembiayaan, infrastruktur, peraturan, kemahiran dan bakat serta teknologi berkaitan industri berkenaan.

Katanya, beberapa langkah penting dikenalpasti dalam dasar termasuk mengukuhkan sambungan digital, meningkatkan kemampuan tenaga kerja sedia ada dan membangunkan kemahiran dan bakat baharu, mempertingkatkan data integriti dan standard, memperhebatkan penyelidikan, inovasi serta program dan aktiviti pembangunan teknologi.

" Ia bukan saja dasar yang kementerian bangunkan. Langkah pertama untuk merealisasikan dasar ialah memahami pengilang kita dari segi Industri 4.0.

"Untuk menubuhkan asas pengilang kita, kami membangunkan Garis Panduan Penilaian Kesediaan Industri4WRD Malaysia yang membolehkan perniagaan menilai mereka berada di mana, apakah jurang semasa yang wujud dalam barisan perkilangan dan bagaimana mereka melangkah ke dalam Industri 4.0 menerusi campur tangan sasaran penilai berpengalaman," katanya.

Beliau berkata demikian pada pelancaran dasar itu di sini, hari ini. Pelancaran dasar itu disempurnakan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Leiking berkata, Majlis Industry4WRD terdiri daripada pegawai kerajaan, peserta industri dan ahli akademik akan memantau pelaksanaan, pemantauan dan menguruskan pelan tindakan di bawah dasar itu.

Beliau berkata, usaha itu akan mempertingkatkan daya saing negara dan produktiviti dalam perjalanan negara menjadi negara maju pada masa depan.

Tuesday, October 30, 2018

AMBRIN NAFI DAKWAAN AHLI PARLIMEN DAP LAPORAN ASAL 1MDB DIPINDA

KUALA LUMPUR, 30 Okt (Bernama) – Bekas Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang berkata tiada sebarang pindaan dibuat terhadap laporan asal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang disediakan oleh beliau.

"Tiada sebarang pindaan. Saya tidak tahu apa yang Wong Kah Woh (gambar) maksudkan," katanya merujuk kepada timbalan pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) itu yang semalam mendakwa laporan Ketua Audit Negara berkenaan 1MDB telah dipinda atas arahan individu tertentu.

Ambrin, yang kini mempengerusikan jawatankuasa siasatan tadbir urus, perolehan dan kewangan, berkata beliau mempunyai kawalan sepenuhnya ke atas laporannya.

"Ia adalah laporan saya, saya mempunyai kawalan penuh ke atas laporan saya. Sebab itu saya perlu diberi peluang untuk menjelaskan kepada PAC,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di luar Sidang Kemuncak Pencegahan Rasuah 2018 di sini, hari ini.

Ketika membahaskan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke- 11 (RMK-11) di Dewan Rakyat semalam, Wong mendakwa pindaan telah dibuat semasa kerajaan terdahulu, dan menurutnya beberapa agensi termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Pejabat Peguam Negara dan Bank Negara turut ‘dilumpuhkan’ untuk menyiasat isu berkenaan ketika itu

Monday, October 29, 2018

SUARA ANWAR KEMBALI BERGEMA DI DEWAN RAKYAT

KUALA LUMPUR, 29 Okt (Bernama) -- Suara Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini kembali kedengaran di Dewan Rakyat apabila beliau mengambil bahagian dalam sesi perbahasan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-11 (RMK-11).

Ia perbahasan kali pertama disertai Anwar sejak mengangkat sumpah sebagai anggota Dewan Rakyat pada 15 Okt lepas susulan kemenangannya pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson, 13 Okt lalu dengan majoriti besar 23,560 undi.

Ketika sesi perbahasan tersebut, Anwar membangkitkan keperluan mendesak untuk kerajaan menolak budaya rasuah sepenuhnya dalam memastikan tadbir urus dan jentera kerajaan bersifat lebih telus serta menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) mengambil langkah sepatutnya dengan mengkaji semula perudangan, penguatkuasaan dan integriti pegawai kerajaan bagi mengelak penularan rasuah secara lebih berkesan.

“Saya menggesa menteri-menteri dan jabatan-jabatan kerajaan memulakan dengan memastikan seluruh jentera kerajaan memahami gesaan Perdana Menteri (Tun Dr Mahathir Mohamad) yang juga merupakan gesaan rakyat keseluruhannya yang sudah muak dengan sistem bobrok dan mahu perubahan menyeluruh dalam negara kita.

“Saya setuju gesaan Perdana Menteri bahawa soal rompakan harta rakyat, tidak boleh dibiarkan, seperti saya sering bicara sebelum ini bahawa saya boleh memaafkan kezaliman yang dilakukan secara peribadi ke atas saya, tetapi saya tidak ada mandat dan kuasa untuk memaafkan rompakan harta rakyat yang dibuatkan oleh mana-mana pemimpin sekalipun,” katanya sambil mendapat tepukan anggota Parlimen lain.

Beliau turut menyokong komitmen kerajaan untuk membantu golongan miskin dan mengurangkan jurang mereka yang berpendapatan rendah dan tinggi tanpa mengetepikan hak dan keistimewan orang Melayu dan Bumiputera.

Anwar turut menyarankan penubuhan beberapa jawatankuasa pemilih bagi Parlimen untuk memastikan transformasi terhadap dewan tersebut dapat dilakukan segera.

Beliau turut menekankan keperluan menjadikan tadbir urus kerajaan bukan sebagai percaturan dalam kalangan elit sahaja, sebaliknya mengambil kira pandangan menyeluruh rakyat dan menekankan kepentingan rakyat dan negara mengatasi kepentingan individu dan kelompok yang kecil.

PRK Parlimen Port Dickson diadakan selepas penyandang kerusi berkenaan, Datuk Danyal Balagopal Abdullah, 68, mengosongkan kerusi pada 12 Sept lalu untuk memberi laluan kepada Anwar yang baru-baru ini menang tanpa bertanding jawatan presiden PKR, bertanding dan kembali ke Dewan Rakyat.

Kali terakhir Anwar bertanding ialah pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) pada 2013 bagi kerusi Parlimen Permatang Pauh yang menyaksikan beliau menewaskan Mazlan Ismail (BN) dan Abdullah Zawawi Samsudin (Bebas) dengan majoriti 11,721 undi.

Kelayakan beliau sebagai anggota Parlimen Permatang Pauh bagaimanapun terlucut selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman penjara lima tahun apabila rayuannya terhadap hukuman penjara pada Februari 2015 ditolak.

Bagaimanapun, beliau diberikan pembebasan serta-merta selepas mendapat perkenan pengampunan penuh Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V pada 16 Mei lalu, tujuh hari selepas Pakatan Harapan diberi mandat memerintah susulan PRU14.

-- BERNAMA

Sunday, October 28, 2018

BERI PELUANG MAHATHIR PIMPIN NEGARA SATU PENGGAL



KOTA BHARU 27 Okt. - Tun Dr. Mahathir Mohamad perlu diberi peluang untuk terus memegang jawatan Perdana Menteri sehingga habis penggal iaitu selama lima tahun, bukan dua tahun sebagaimana dijanjikan sebelum ini.

Setiausaha Politik Perdana Menteri, Muhammad Zahid Md. Arip. berkata, usaha menyusun dan memulihkan pentadbiran negara yang sedang dilakukan Dr. Mahathir ketika ini rumit dan tidak boleh disempurnakan dalam tempoh dua tahun.

Walau bagaimanapun kata beliau, Dr. Mahathir diyakini akan tetap mengotakan janji beliau untuk menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim melainkan Presiden PKR itu sendiri memujuk beliau untuk kekal lebih lama.

"Saya fikir kalau Tun Dr. Mahathir masih sihat dan mampu, bagi peluang beliau selesaikan hal pentadbiran negara dalam tempoh satu penggal, iaitu kira-kira lima tahun. Nak pulih negara bukan boleh setahun dua. Biarlah beliau lengkapkan dulu.

"Datuk Seri Anwar sendiri pun ada sebut dua tiga kali, nak pulih (negara) ni bukan senang, nasib baik aku tak jadi Perdana Menteri. Saya penuh yakin dan percaya beliau cukup matang dan amat sabar, patut tidak ada masalah untuk beliau tunggu (lebih lama).

"Memang Tun dah berkali-kali sebut beliau sudah berjanji dan akan tunaikan janji. Tetapi, jika Anwar boleh pujuk, Tun, anda habiskan sahaja sepenggal, patut no problem, yang penting tidak ada yang jadi batu api," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Persidangan Tahunan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Kota Bharu, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Muhammad Zahid mengakui kenyataannya itu boleh mengundang salah faham banyak pihak kerana beliau adalah Setiausaha Politik Perdana Menteri namun cadangan tersebut adalah pandangan peribadi beliau semata-mata.

Dalam perkembangan lain, beliau memberitahu, Dr. Mahathir tidak terkejut apabila Menteri Luar Arab Saudi menafikan wang RM2.6 bilion yang dimasukkan dalam akaun Datuk Seri Najib Tun Razak adalah derma keluarga diraja negara itu.

"Dalam pertemuan dengan Tun semalam, Menteri Luar itu turut melahirkan kekesalan apabila keluarga diraja Arab Saudi dikaitkan sebagai penderma yang memasukkan duit ke dalam akaun Najib. Tun tidak terkejut, sebab beliau sebenarnya sudah tahu cuma nak dengar sendiri dari Arab Saudi," katanya.

Saturday, October 27, 2018

40 AHLI PARLIMEN MAHU KELUAR UMNO KERANA KECEWA ZAHID ENGGAN BERCUTI?

JOHOR BAHRU, 27 Okt (Bernama) -- Kira-kira 40 anggota Parlimen dari UMNO dikatakan berkemungkinan akan meninggalkan parti itu dan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Anggota Majlis Tertinggi Bersatu, Datuk A. Kadir Jasin berkata kesemua mereka dikatakan berpotensi berbuat demikian kerana sudah beberapa kali berjumpa dengan Pengerusi Bersatu,Tun Dr Mahathir Mohamad, Presiden Bersatu Tan Sri Muhyididn Yassin serta para kepimpinan tertinggi parti itu sama ada secara perseorangan atau berkumpulan.

“Buat masa ini, belum ada sesiapa yang hampir sampai peringkat Datuk Mustapa (Anggota Parlimen Jeli Datuk Seri Mustapa Mohamed yang menyertai Bersatu) walaupun mereka telah berjumpa dengan Tun Dr Mahathir, Tan Sri Muhyiddin dan pemimpin tertinggi Bersatu.

“Mereka menggambarkan mereka terbuka kepada memikirkan untuk keluar UMNO dan masuk Bersatu tetapi masalahnya mereka juga terpaksa memikirkan apa yang akan berlaku selepas itu kerana ada antara mereka mempunyai isu atau terdedah kepada siasatan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Bersatu Bahagian Tebrau, di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Bersatu Bahagian Tebrau Mazlan Bujang.

A.Kadir berkata selain itu, isu siapa yang akan mewarisi harta UMNO turut menjadi perkara yang difikirkan para anggota Parlimen berkenaan memandangkan UMNO belum diisytiharkan sebagai sebuah parti muflis.

Ditanya pemberita adakah tujuan mereka menyertai Bersatu disebabkan untuk menyelamatkan diri, A.Kadir berkata tiada jaminan untuk mereka tidak disiasat setelah menyertai Bersatu.

“Hal itu (selamatkan diri) payah hendak cakap… tetapi mana mungkin Bersatu atau kerajaan melindungi. Kalau ada bukti kesalahan… saya rasa mungkin terlintas di fikiran tetapi tidak boleh dikata itu syaratnya… tiada jaminan,” katanya.

Hari ini, Muhyiddin yang juga Menteri Dalam Negeri mendedahkan beberapa Anggota Parlimen UMNO yang lain ada berjumpa dengannya, namun, tidak membuat apa-apa keputusan.

Ketika ditanya berapa ramai pemimpin UMNO berjumpa dengan beliau, Muhyiddin hanya menghitung jari-jarinya tanpa mengulas lanjut mengenai perkara itu.

Malam tadi, Mustapa yang juga bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri pula, menyertai Bersatu selepas keluar dari UMNO pada 18 Sept lepas.

Beliau menyerahkan borang keanggotaan kepada Tun Dr Mahathir selepas mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu.

-- BERNAMA

Friday, October 26, 2018

ZAHID ENGGAN BERCUTI

KUALA TERENGGANU, 26 Okt (Bernama) -- Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan beliau akan terus menerajui parti itu walaupun terdapat gesaan supaya beliau bercuti seketika daripada menjalankan tugas presiden.

Ahmad Zahid, yang kini berdepan 45 tuduhan rasuah dan pecah amanah, berkata kedudukan beliau hanya boleh diputuskan menerusi Perhimpunan Agung UMNO (PAU), bukannya melalui cadangan atau peraturan yang tidak mengikut perlembagaan parti.

“Saya ambil keputusan untuk terus galas tugas Presiden UMNO bersama-sama timbalan, naib dan setiausaha serta kepimpinan sayap," katanya pada sidang media selepas mengadakan pertemuan khas bersama kepimpinan tertinggi UMNO Terengganu di sini hari ini.

Saya harap keadilan di dalam penentuan hala tuju politik kami dapat diterjemahkan dalam bentuk kesatupaduan dalam kalangan kita (UMNO) dan mandat yang kita lakukan biarlah (sehingga) tamat penggal pemilihan," katanya.

Semalam, Pergerakan Pemuda UMNO diketuai Datuk Asyraf Wajdi Dusuki dilaporkan meminta Ahmad Zahid untuk mempertimbangkan cadangan supaya beliau bercuti daripada menjalankan tugas presiden parti sehingga kesnya selesai di mahkamah

Thursday, October 25, 2018

PEMUDA UMNO GESA ZAHID BERCUTI

KUALA LUMPUR, 25 Okt (Bernama) -- Pemuda UMNO hari ini menggesa presiden parti Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi agar dapat mempertimbangkan untuk bercuti buat seketika daripada menjalankan tugas sehingga kes di mahkamah selesai.

Ketua Pemuda UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi berkata gesaan itu agar Ahmad Zahid diberikan peluang untuk memfokuskan usaha membersihkan nama di mahkamah.

“Bagi Pemuda, rehat daripada menjalankan tugas sebagai presiden bukanlah bermakna Ahmad Zahid di anggap sudah bersalah.

“Pemuda tetap berpendirian, selagi tidak disabitkan hukuman, beliau berhak dilayani sebagai seorang yang tidak bersalah berasaskan prinsip Islam dan perundangan,” katanya dalam sidang media selepas selesai mempengerusikan mesyuarat bulanan selama tiga jam di sini hari ini.

Ditanya individu yang sesuai untuk memangku jawatan presiden jika cadangan agar Ahmad Zahid berehat diterima, Asyraf berkata perkara itu akan diputuskan Mesyuarat Tertinggi UMNO kelak.

Asyraf juga menafikan laporan sebuah portal kononnya Pemuda UMNO bermesyuarat hari ini untuk mendesak presiden dan bekas presiden meninggalkan parti berikutan kes mahkamah yang sedang dihadapi

Wednesday, October 24, 2018

UMNO LEMAH TAPI SEDANG DIRAWAT

SEREMBAN, 24 Okt (Bernama) -- UMNO waktu ini masih wujud, berfungsi dan bergerak sebagai parti politik terbesar di Malaysia, kata Timbalan Presidennya Datuk Seri Mohamad Hasan.

Mengakui bahawa UMNO berada dalam keadaan yang lemah dan susut pengaruhnya, bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu mendakwa UMNO secara hakikatnya mempunyai lebih ramai anggota, pengundi serta lebih banyak kerusi.

“Kecuali beberapa anggota Parlimen UMNO yang meninggalkan parti, tidak berlaku gerakan besar-besaran meninggalkan UMNO. Perhimpunan Agung UMNO yang lepas telah mengambil keputusan untuk merawat, memulih dan membangunkan semula UMNO sebagai gerakan kebaikan untuk bangsa Melayu dan Malaysia.

“Walaupun diakui ada beberapa pemimpin UMNO sebelum ini yang melakukan perhitungan yang tersasar, janganlah kita menghukum jutaan orang Melayu yang bernaung di bawah UMNO. Mereka adalah ahli biasa, yang tinggal di seluruh pelusuk tanah air dan tidak melakukan apa jua kesalahan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada Isnin lepas bahawa UMNO sudah tiada lagi dan perjuangan UMNO kini adalah untuk mengekalkan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai pencuri terbesar.....

Tuesday, October 23, 2018

ADA JUGA ORANG PERCAYA DIMP DIBERI DENGAN HARGA RM5,000

SHAH ALAM, 23 Okt (Bernama) -- Seorang ahli perniagaan didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memperdaya seorang lelaki dengan menyerahkan watikah pengurniaan darjah kebesaran negeri Pahang yang palsu membabitkan kerugian RM5,000, Ogos lepas.

Tertuduh, Wan Yon Ann, 34, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Rini Triany Muhamad Ali.

Wan didakwa memperdaya Tan Wai Khan, 40, seorang ahli perniagaan, untuk mempercayai bahawa watikah pengurniaan Darjah Kebesaran Indera Mahkota Pahang (D.I.M.P) yang diserahkan kepadanya adalah tulen sehingga mendorong mangsa menyerahkan wang tunai RM5,000 kepada tertuduh.

Dia melakukan perbuatan tersebut di sebuah rumah di Jalan BRP 7/3B, Bandar Rahman Putra, Sungai Buloh, dekat sini kira-kira pukul 9.30 malam, 18 Ogos lepas.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum setahun dan tidak lebih 10 tahun, sebatan serta denda, jika sabit kesalahan

Monday, October 22, 2018

RAKYAT MEMANG MAHU ANWAR JADI PM TAPI OLEH KERANA MASA ITU ANWAR DALAM PENJARA TERPAKSA UMUM NAMA MAHATHIR





SHAH ALAM, 22 Okt (Bernama) -- Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sekali lagi menegaskan beliau tetap berpegang kepada janji bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengambil alih kepimpinan negara selepas beliau berundur kelak.

Bagaimanapun beliau menyerahkan kepada rakyat untuk menentukan siapa individu yang layak menjadi penggantinya.

“Saya tidak dapat tidak akan pergi, tentu akan ada pengganti…kalau orang ramai nak Datuk Seri Anwar Ibrahim (sebagai perdana menteri) mereka berhak dapat dia. Saya tidak boleh jamin (bakal pengganti menjadi perdana menteri yang baik) macam saya dulu pilih Abdullah (Tun Abdullah Ahmad Badawi) saya ingat dia baik tapi tengoklah apa dia buat.

“Begitu juga Najib (Datuk Seri Najib Tun Razak) anak Tun Abdul Razak, tetapi tengoklah…tetapi setakat ini, janji saya selepas saya letak jawatan Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengambil alih, terpulang pada rakyat untuk tentukan,” katanya pada program Bicara Minda di Dewan Karangkraf di sini, hari ini.

Turut hadir isteri beliau, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.

"Ada mirip pemikiran sosialisme, ada liberalisme. Jadi saya terpaksa terjemahkan sesuatu perkara ini untuk disesuaikan dengan pelbagai aliran pemikiran yang ada,” katanya.

Dr Mahathir turut menarik perhatian bahawa ketika beliau menjadi perdana menteri pada 1981, keadaan kerajaan serta negara berada dalam keadaan tersusun, di mana ketika itu beliau hanya membuat keputusan dan jentera kerajaan akan membuat kerja.

Namun, beliau berkata sebaliknya berlaku ketika ini apabila kerajaan yang ditinggalkan pentadbiran terdahulu sangat teruk.

Perdana menteri juga menyifatkan dakwaan bahawa PH adalah anti Islam serta pendukung liberal dibuat oleh musuh kerajaan.

Menyentuh mengenai kebebasan media, Dr Mahathir berkata media kini lebih bebas berbanding ketika pentadbiran kerajaan terdahulu.

Perdana menteri turut menegaskan beliau bukan seorang pendendam kerana jika berperasaan sedemikian, sudah tentu beliau tidak boleh bekerjasama dengan banyak pihak.


“Saya (kini) bekerjasama dengan orang yang dulu panggil saya ‘mahazalim’ ‘mahafiraun’ itu pun saya berbaik dengan mereka,” katanya.

Dalam perkembangan lain, ditanya sama ada negara mampu mencapai Wawasan 2020 iaitu menjadi negara maju menjelang tahun 2020, perdana menteri berkata proses pembangunan negara akan mengambil masa meskipun kerajaan mempunyai cara untuk mempercepatkannya.

Ini kerana, menurut beliau, negara telah kehilangan masa antara 13 dan 14 tahun berikutan kegagalan kerajaan sebelum ini melaksanakan usaha bagi mencapai wawasan itu, sebaliknya bertindak mengubah dan meminda dasar sedia ada.

“Maka itu kita tidak boleh capai matlamat yang kita susun, jadi sekarang kita nak kembali dengan tambahan industri baru, pendekatan baru, kecekapan lebih tinggi. Dengan itu mungkin kita dapat capai Wawasan 2020 tetapi mungkin pada tahun 2025,” katanya.

-- BERNAMA

Sunday, October 21, 2018

DARELL AKAN KELUAR WARISAN JIKA ADA BUKTI WARISAN BERI IC KEPADA PATI



KOTA KINABALU: Timbalan Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Darell Leiking berkata beliau akan keluar daripada parti itu sekiranya ada bukti bahawa Parti Warisan Sabah (WARISAN) memberi kad pengenalan (IC) kepada pendatang tanpa izin di Sabah.

Sambil menyatakan letih dan bosan dengan tuduhan yang dibuat terhadap parti itu, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu menegaskan Warisan tidak melakukan aktiviti seperti itu untuk memberi pengesahan sebagai rakyat negara ini kepada pendatang tanpa izin, justeru, menawarkan bantuannya kepada sesiapa sahaja untuk membebaskan Sabah daripada masalah yang berlarutan sejak sekian lama.

“Kami tidak pernah beri IC (kepada pendatang tanpa izin). WARISAN mahu membersihkan Sabah daripada pendatang tanpa izin.

“Kepada penyokong apa jua gabungan (pembangkang) dan orang tidak waras yang merasakan kami (WARISAN) memberi IC kepada pendatang tanpa izin, seperti anda, saya juga mahu menyelamatkan Sabah. Saya mahu membantu Sabah,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan karnival kerjaya dan pendidikan di Penampang, Sabah hari ini.

Leiking, yang juga Anggota Parlimen Penampang, mengakui bahawa beliau kecewa dengan tuduhan berterusan yang dilemparkan terhadap parti itu, tambahan pula mereka yang begitu aktif dalam menyalahkan WARISAN adalah daripada komuniti Kadazandusun beliau sendiri.

“Mereka berulangkali menyatakannya (menyalahkan WARISAN) seolah-olah kami melakukan sesuatu yang memusnahkan komuniti kami. Ia memang bodoh.

“Jika anda ada bukti (bahawa WARISAN memberi IC kepada pendatang asing), saya mahu bekerjasama dengan anda. Saya akan jadi orang pertama untuk berganding bahu bersama anda sebab nampaknya anda ada bukti,” katanya.

Leiking berkata kerajaan baharu sedang berusaha untuk memperbetulkan masalah itu yang didakwanya diwujudkan oleh kerajaan sebelum ini dan menggesa orang ramai supaya tidak menyerang WARISAN kerana kesalahan kerajaan terdahulu.




Bagaimanapun, beliau mengalu-alukan kritikan sekiranya kerajaan baharu gagal melaksanakan janjinya untuk membersihkan Sabah daripada pendatang tanpa izin.

“Hentam kami (kerajaan baharu) atas kegagalan kami untuk melaksanakan tugas kami. Hentam kami atas kegagalan kami untuk membawa kebaikan kepada Sabah.

“Tetapi janganlah hentam kami dengan pembohongan sebab penduduk Sabah mesti berhenti daripada berfikir seperti itu. Kita lebih baik daripada itu,” katanya.

- Bernama

Saturday, October 20, 2018

JEMAAH PENASIHAT UMNO AKAN BERMESYUARAT DALAM TEMPOH TERDEKAT


KUALA LUMPUR, 20 Okt (Bernama) -- Jemaah Penasihat UMNO akan bermesyuarat dalam tempoh terdekat untuk membincangkan soal parti dan kedudukan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai Presiden parti.

Pengerusinya Tengku Razaleigh Hamzah berkata hasil mesyuarat akan dibentangkan kepada Majlis Tertinggi UMNO untuk tindakan selanjutnya.

“Berdasarkan apa yang berlaku baru-baru ini (pendakwaan ke atas Ahmad Zahid)… sudah pasti Jemaah Penasihat UMNO akan mengadakan mesyuarat kerana ia memberi kesan (kepada parti),” katanya pada sidang media selepas merasmikan pelancaran buku ‘The End Of UMNO? Post GE-14: Where is UMNO headed after GE14?’ oleh Bridget Welsh, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan undang-undang yang sedang dihadapi Ahmad Zahid.

Semalam, bekas timbalan perdana menteri itu didakwa dengan 45 pertuduhan di Mahkamah Sesyen di sini.

Mengulas lanjut, Tengku Razaleigh yang juga Anggota Parlimen Gua Musang, berkata UMNO perlu mengadakan pemilihan semula bagi jawatan presiden sekiranya Ahmad Zahid terpaksa melepaskan jawatannya.

MAT YAKOB SETUJU INI PENGGAL TERAKHIR BELIAU SEBAGAI MB

KOTA BHARU, 20 Okt (Bernama) -- Kelantan bersetuju dengan saranan kerajaan persekutuan untuk mengehadkan jawatan menteri besar kepada dua penggal.

Menteri Besarnya Datuk Ahmad Yakob berkata apa yang penting, tempoh yang diberikan itu digunakan dengan sebaik mungkin untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

"Bagi saya tidak ada masalah, nak dua penggalkah, satu penggalkah...yang penting kita dapat menggunakan jawatan ini untuk berkhidmat kepada rakyat. Kita rasa puas hati, alhamdulillah...cukup. Kita nak berkhidmat kepada rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Kesyukuran Sambutan 28 Tahun Membangun Bersama Islam di Dataran Warisan di Stadium Sultan Muhammad ke-IV di sini, hari ini yang turut dihadiri Timbalannya Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dan kepimpinan kerajaan negeri yang lain.

Khamis lepas, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ketika membentangkan usul mengenai Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11) dilaporkan sebagai berkata tempoh perkhidmatan jawatan Perdana Menteri, Menteri Besar dan Ketua Menteri akan dihadkan kepada dua penggal sebagai langkah segera yang dilaksanakan bagi mereformasikan sistem politik

Thursday, October 18, 2018

ZAMAN DATUK HARUN DITUDUH PECAH AMANAH PEMUDA UMNO BERARAK MANA PEMUDA UMNO BILA ZAHID DITUDUH PECAH AMANAH?



KUALA LUMPUR: Berikut merupakan kronologi siasatan terhadap Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang membawa kepada pendakwaan terhadap salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram melibatkan sebuah yayasan:

2 Julai:

Ahmad Zahid ke Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi memberi keterangan berhubung 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

3 Julai:

Ahmad Zahid ke Ibu Pejabat SPRM dipercayai bagi membantu siasatan kes dana Yayasan Akal Budi.

10 Okt:

Ahmad Zahid memberi keterangan kali kedua kepada SPRM dipercayai bagi membantu siasatan kes dana Yayasan Akal Budi.

Anak Ahmad Zahid iaitu Datuk Nurulhidayah memberi keterangan kepada SPRM juga dipercayai bagi membantu siasatan kes dana Yayasan Akal Budi.

11 Okt:

Ahmad Zahid memberi keterangan kali ketiga kepada SPRM bagi membantu siasatan kes dana Yayasan Akal Budi.

Menantu Ahmad Zahid Datuk Saiful Nizam Mohd Yusoff memberi keterangan kepada SPRM bagi membantu siasatan kes dana Yayasan Akal Budi.

12 Okt:

Ahmad Zahid memberi keterangan kali keempat selama lebih tujuh jam kepada SPRM dipercayai bagi membantu siasatan kes dana Yayasan Akal Budi.

18 Okt:

Ahmad Zahid ditahan SPRM berhubung salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram melibatkan dana Yayasan Akal Budi.

Ahmad Zahid menolak cadangan peguamnya untuk membuat permohonan kebenaran untuk diikat jamin supaya tidak ditahan di lokap SPRM.




19 Okt:

Ahmad Zahid menghadapi 45 pertuduhan di bawah Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini membenarkan beliau diikat jamin RM2 juta bagi kesemua pertuduhan itu.

- Bernama

MAHATHIR BERSARA PM SELEPAS DUA PENGGAL PADA TAHUN 2028?

KUALA LUMPUR, 18 Okt (Bernama) – Tempoh perkhidmatan jawatan Perdana Menteri, Menteri Besar dan Ketua Menteri akan dihadkan kepada dua penggal sebagai langkah segera yang dilaksanakan bagi mereformasikan sistem politik, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dr Mahathir ketika membentangkan usul mengenai Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11) 2016-2020: Keutamaan dan Penekanan Baharu berkata selain itu, Perdana Menteri juga tidak dibenarkan untuk memegang porfolio lain.

Langkah tersebut merupakan sebahagian daripada keutamaan dan penekanan baharu dalam mereformasi tadbir urus ke arah meningkatkan ketelusan dan kecekapan perkhidmatan awam.

Dr Mahathir berkata peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya juga diasingkan supaya diurus oleh dua individu yang berlainan untuk mempertingkatkan mekanisme semak dan imbang pada semua peringkat.

Bagi menambah baik sistem pilihan raya pula, Perdana Menteri berkata had umur mengundi akan diturunkan kepada 18 tahun dan undang-undang berkaitan pembiayaan politik akan diperkenalkan.

“Penambahbaikan sistem pilihan raya akan dilaksana dengan membersihkan daftar pemilih, menambah baik proses pengundian pos dan menyediakan akses yang adil kepada media,” katanya.

Katanya kuasa autonomi Parlimen akan dipertingkat dengan memperkenalkan semula Akta Perkhidmatan Parlimen 1963.

“Sistem jawatankuasa pemilih akan diwujudkan. Jawatankuasa ini akan memperaku pelantikan jawatan utama di SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia), SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya), Jabatan Audit Negara dan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman. Suruhanjaya tertentu seperti SPRM dan SPR akan juga bertanggungjawab secara langsung kepada Parlimen,” katanya.

Dr Mahathir berkata hubungan antara Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan kerajaan tempatan akan ditambah baik dengan mengembalikan semula semangat federalisme.

Dalam soal integriti dan akauntabiliti, Dr Mahathir berkata Ombusdman Malaysia akan ditubuhkan untuk menyiasat dan melaporkan secara bebas aduan terhadap agensi kerajaan manakala (SPRM) akan ditransformasi sebagai badan bebas sepenuhnya.

“Akta SPRM 2009 akan dikaji secara menyeluruh. Undang-undang pencegahan rasuah juga akan diperkukuh dengan mengkaji semula Akta Perlindungan Saksi 2009 dan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010,” katanya.

Dr Mahathir berkata selain itu, prosedur perolehan kerajaan akan ditambah baik dengan memperkenalkan rangka kerja perundangan berkaitan yang lebih komprehensif dan berkesan serta menguatkuasakan pelaksanaan tender terbuka, selain mengkaji semula rangka kerja projek perkongsian awam-swasta bagi mengoptimumkan sumber.

Dalam memperkukuhkan penyampaian perkhidmatan awam pula, beliau berkata satu pasukan petugas khas akan ditubuhkan untuk menilai peranan dan fungsi pelbagai entiti termasuk badan berkanun dan syarikat milik kerajaan.

Selain itu, Perdana Menteri berkata jentera perkhidmatan awam akan diperkemas ke arah meningkatkan kecekapan dan produktiviti melalui adaptasi model kecemerlangan perniagaan sebagai instrumen analisis prestasi kementerian dan agensi.

“Pihak berkuasa tempatan (PBT), sebagai pihak yang paling hampir dengan rakyat akan diperkasa selaras dengan keperluan rakyat dan perkembangan teknologi. Ini akan dilaksanakan melalui penarafan PBT berdasarkan tahap kecemerlangan penyampaian perkhidmatan.

“Mandat yang diberikan oleh rakyat adalah untuk kita melakukan perubahan. Maka reformasi tadbir urus menjadi keutamaan. Kita telah melakukannya dengan menukar pemimpin institusi kritikal seperti institusi kehakiman, Jabatan Peguam Negara, SPRM dan SPR. Tadbir urus kerajaan perlu diperbaiki. Ketelusan akan ditingkatkan bagi mencegah rasuah dan membasmi salah guna kuasa,” katanya.

-- BERNAMA

Wednesday, October 17, 2018

MAJLIS TERTINGGI UMNO AKAN TENTUKAN KEDUDUKAN ZAHID HAMIDI

KUALA LUMPUR, 17 Okt (Bernama) -- Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO akan membincangkan kedudukan presiden parti itu, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi susulan dakwaan bekas timbalan perdana menteri itu terlibat dalam kes penyelewengan dana sebuah yayasan.

Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata beliau mendapat maklumat berhubung desas-desus Ahmad Zahid yang merupakan anggota Parlimen Bagan Datuk akan didakwa menerusi laporan di media sosial namun tidak dapat mengesahkan lagi kebenarannya.

“Saya ada baca mengenainya tapi masih belum pasti lagi. Kita akan panggil mesyuarat MT UMNO dan akan buat keputusan di sana (pada mesyuarat itu).... kita tunggu dan lihat, jika ada pengesahan dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Ahmad Zahid,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Sementara itu, Anggota Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah yang turut senada dengan Mahdzir berkata keputusan mengenai kedudukan Ahmad Zahid wajar ditentukan menerusi mesyuarat MT UMNO.

“MT UMNO wajar timbang segala perkara yang berbangkit dari tindakan SPRM yang dikatakan kemungkinan akan mendakwa Ahmad Zahid.," katanya.

Tuesday, October 16, 2018

BIRO POLITIK PKR BINCANG DAKWAAN RAFIZI

KUALA LUMPUR, 16 Okt (Bernama) – Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) PKR diminta menyiasat dakwaan calon timbalan presiden parti itu Rafizi Ramli berhubung politik wang berlaku secara berleluasa di enam negeri yang sudah mengadakan pemilihan.

Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata beliau tidak maklum berhubung perkara yang dibangkitkan Rafizi itu, namun siasatan perlu dilakukan.

“Kita akan siasat. Oleh sebab wartawan beritahu saya, saya kini maklum,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Rafizi dilaporkan berkata politik wang digunakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab untuk mempengaruhi anggota muda PKR yang tidak melalui zaman sukar parti itu.

Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim pula berkata dakwaan Rafizi itu akan dibincangkan pada mesyuarat Biro Politik PKR, malam ini.

"Tanya dia (Rafizi) butiran dulu. Kita akan bincang malam ni. Kita ada (mesyuarat) biro politik malam ni," katanya.

-- BERNAMA

Monday, October 15, 2018

SEMPATKAH ANWAR JADI PM?

KUALA LUMPUR, 15 Okt (Bernama) -- Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata beliau gembira Datuk Seri Anwar Ibrahim kembali ke Dewan Rakyat selepas menang pada pilhan raya kecil Parlimen Port Dickson pada Sabtu lalu.

“Kita memang telah menjangka beliau akan kembali, kita tahu beliau akan menang....sudah tentu saya gembira. Beliau dari parti yang sama,” kata Perdana Menteri pada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Anwar mengalahkan enam calon lain termasuk calon PAS Mohd Nazari Mokhtar dan lima calon Bebas termasuk bekas menteri besar Negeri Sembilan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad dan bekas pembantu beliau, Mohd Saiful Bukhari Azlan dengan memperoleh majoriti undi lebih besar sebanyak 23,560 undi majoriti.

Anwar mengangkat sumpah jawatan sebagai anggota Dewan Rakyat di hadapan Speaker Datuk Mohamad Ariff Md Yusof sebaik sahaja Dewan Rakyat memulakan sidang mesyuarat kedua penggal pertama Parlimen ke-14.


Ulasan saya, adakah Dr Mahathir akan menyerahkan jawatan PM kepada Anwar pada bulan Mei 2020? Ini yang membimbangkan ramai penyokong PKR yang bimbang Anwar dimainkan Dr Mahathir buat kali kedua.


Ahli parlimen Kapar, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid pernah mendakwa kononnya Tun Daim Zainuddin merancang untuk menaikkan Datuk Seri Azmin Ali sebagai PM dan bukannya Anwar Ibrahim.


Adakah dakwaan ini benar? Apakah mesej yang ditunjukkan oleh para pengundi Port Dickson kepada Dr Mahathir? Majoriti yang besar 31,000 undi menunjukkan Anwar walaupun orang luar diterima oleh orang Negeri Sembilan sedangkan tiga PRK sebelum ini PRK Sungai Kandis, PRK Seri Setia dan PRK Balakong majoriti yang dimenangi PH merosot.

Selepas tiga tahun, Datuk Seri Anwar Ibrahim akhir­nya kembali semula ke Parlimen.


Jika sebelum ini beliau berperanan sebagai Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat, ‘kepula­ngan’ Presiden PKR itu kali ini pula dengan harapan besar melunaskan cita-cita tertangguh untuk menjadi Perdana Menteri.


Kemenangan bergaya di Parlimen Port Dickson sudah tentu meletakkan Anwar di landasan yang betul untuk merealisasikan hasratnya itu.

Namun, banyak pihak berpandangan bukan mudah untuk Anwar menggapai cita-cita tersebut kerana pelbagai ranjau dan cabaran dijangka ditempuhi.

Ramai skeptikal de­ngan peralihan kuasa yang diuar-uar bakal berlaku sekurang-kurangnya dalam tempoh dua tahun ini, lebih-lebih lagi mengambil kira individu yang berjanji memberikan jawatan itu kepada Anwar pernah memecat beliau daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri kira-kira 20 tahun lalu.

Selain itu, Anwar, sebagaimana pemain politik lain, bukan hanya mempunyai musuh daripada luar, tetapi dalam parti dan pentadbiran kerajaan sendiri.

Tidak boleh dinafikan wujud ‘duri dalam daging’ yang tidak senang dengan kemenangan Anwar di Port Dickson terutama ‘jaminan’ yang diberikan untuk mengambil alih jawatan nombor satu negara.

Dalam erti kata lain, Anwar mungkin menang dengan majoriti besar di Port Dickson, namun itu tidak menjamin beliau akan mendapat laluan mudah menjadi Perdana Menteri.

Pandangan itu diakui oleh penganalisis sosiopolitik Universiti Malaya (UM), Prof. Madya Dr. Awang Azman Awang Pawi yang percaya Anwar terdedah dengan pelbagai bentuk sabo­taj dalam tempoh dua tahun ini, khususnya dalam Pakatan Harapan (PH) sendiri.

Asasnya, kata Awang Azman ialah kerana yang berada di tampuk kekuasaan ketika ini sedar, jika Anwar naik sebagai Perdana Menteri, beliau sudah tentu akan membawa bersama barisan kepemimpinan ba­haru, sesuai dengan ideologi pentadbirannya.

“Ini lazim berlaku dalam mana-mana situasi politik. Justeru, sukar untuk mengatakan Anwar sudah pasti menjadi Perdana Menteri kerana beliau tentunya akan berhadapan dengan pelbagai ‘sera­ngan’ dalam tempoh dua tahun ini daripada luar dan dalam PH,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Sebab itulah kemenangan besar Anwar di Port Dickson belum tentu menjamin Anwar dapat memenuhi cita-citanya jadi PM yang kelapan.

Sunday, October 14, 2018

TAKKAN AZMIN BEKAS MB KALAH DI SELANGOR



SHAH ALAM: Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mendahului Rafizi Ramli dalam saingan merebut jawatan timbalan presiden PKR selepas anggota parti itu mengundi dalam pusingan pertama pemilihan di Selangor.

Menurut keputusan tidak rasmi, Azmin menerima 9,337 undi kepada 8,563 undi Rafizi selepas sembilan bahagian di Selangor pergi ke pemilihan hari ini.

Bahagian-bahagian yang mengundi hari ini ialah Sabah Bernam, Sungai Besar, Hulu Selangor, Serdang, Kelana Jaya, Subang, Kapar, Kota Raja dan Sepang.

Walaupun Azmin bekas pengerusi PKR Selangor namun beliau berhadapan cabaran sengit di negerinya itu.

Rafizi berjaya menang pemilihan di cabang Hulu Selangor, Kelana Jaya dan Kapar.

Sementara itu, cabang seperti Sabak Bernam dan Serdang menyokong kuat Azmin yang menyebabkan beliau sedit selesa di hadapan dengan kelebihan 747 undi.

Susulan keputusan tidak rasmi ini, jumlah undi yang diperolehi Azmin keseluruhannya adalah sebanyak 28,972 undi dan Rafizi pula meraih 28,225 undi.

Sebelum ini, Azmin cuma mendahuli Rafizi dengan satu undi sahaja. Rafizi juga pernah berada di hadapan saingan dengan 27 undi pada Selasa lalu selepas keputusan pemilihan di Kelantan.

Bagi pertandingan naib presiden PKR, yang menawarkan empat pemenang bagi jawatan itu, Nurul Izzah Anwar mendahului di Selangor (8,063 undi), diikuti Xavier Jayakumar (6,763 undi), Zuraida Kamaruddin (6,699 undi) dan S Kesavan (5,321 undi).

Berada di belakang empat teratas di Selangor pada pusingan pertama ini ialah Tian Chua (5,283), Shamsul Iskandar (5,070), William Leong (4,835), Datuk Johari Abdul (4,381), K Vasantha (3,391), Balasubramaniam (1,605), Michael Tamil (1,596) dan Azan Ismail (1,186).

Bagi jumlah keseluruhan, empat calon teratas ialah Nurul Izzah (31,599 undi), Zuraida (24,650), Xavier Jayakumar (19,926) dan Tian Chua (19,250).

Mengekori di belakang mereka dari segi undi keseluruhan ialah Shamsul Iskandar (18,725), Johari Abdul (15,843), Leong (15,700), Kesavan (14,695), Vasantha (8,898), Azan (5,719), Balasubramaniam (4,330) dan Michael (3,639).

Bagi saingan ketua pemuda AMK, sekutu Azmin, Afif Bahardin (1,876 undi) dan Hilman Idham (2,318) yang bertanding timbalan ketua AMK mendahului perlumbaan pusingan pertama di Selangor ini.

Saingan pasukan Afif ialah Akmal Nasir (1,725 undi) dan Najwan Halimi (465) manakala penentang Hilman ialah Raymond Ahuar (906) dan Naqiuddin Nazrin (445).

Dari segi jumlah keseluruhan, Afif mendahului dengan 6,607 undi berbanding Akmal yang mendapat 6,421 undi dan Najwan dengan 1,581 undi.

Sementara itu, Hilman mendahului dengan 8,300 undi berbanding 3,680 undian kepada Ahuar dan Naqiuddin yang memperolehi 1,559 undi.

Dalam perlumbaan ketua Wanita PKR, sekutu Azmin, Haniza Talha dan Daroyah Alwi juga mendapat undi paling banyak pada pusingan pertama pemilihan di Selangor ini.

Haniza mendapat 3,696 undi berbanding Fuziah Salleh dengan 2,746 undi manakala Daroyah mendapat 3,757 undi berbanding Rodziah Ismail yang mendapat 2,570 undi pada pusingan pemilihan kali ini.

Untuk jumlah keseluruhan, Haniza kini mendahului dengan 11,072 undi berbanding 8,702 undi yang diterima Fuziah sementara Daroyah mendapat 11,120 undi berbanding Rodziah yang memperolehi 7,750 undi.

Pengundian di Selangor akan berlangsung selama tiga hujung minggu kerana jumlah pemilih yang besar di negeri itu, yang terdiri daripada sekitar satu pertiga daripada jumlah anggota PKR.

Enam lagi cabang di Selangor akan menjalankan pemilihan pada 21 Oktober akan datang ini pada pusingan kedua pemilihan manakala enam lagi cabang akan mengundi pada pusingan ketiga yang dijadulkan 28 Oktober hadapan.

Keputusan bagi pusingan pertama pemilihan di Selangor masih belum diselesaikan, sementara menunggu pengesahan "undi-undi yang meragukan".

Keraguan ini merujuk kepada pengundi yang namanya tidak tertera dalam senarai daftar pemilih PKR.

Undi mereka dikira secara berasingan dan mesti melalui proses pengesahan untuk menentukan jika mereka benar-benar anggota PKR yang layak mengundi.

Sehingga kini, negeri-negeri lain yang telah menjalankan pemilihan ialah Pulau Pinang, Johor, Kelantan, Terengganu, Pahang dan Wilayah Persekutuan. Keputusan untuk tiga negeri pertama dalam senarai juga telah dimuktamadkan.

Dengan kesimpulan pusingan pertama pengundian di Selangor, masih terdapat 62 peratus suara yang masih belum membuat pilihan sehingga 10 November ini.

Ini termasuklah pemilihan di Melaka, Negeri Sembilan, Perlis, Kedah, Perak, Sabah dan Sarawak.

Saturday, October 13, 2018

KERAJAAN TERENGGANU SEDIA TIMBANG WUJUDKAN PUSAT KHAS UNTUK PESALAH SYARIAH



KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri mengambil sedia menimbang cadangan Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu bagi mewujudkan pusat khusus untuk menempatkan pesalah syariah menjalani hukuman secara berasingan daripada pesalah sivil di penjara.

Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata sehubungan itu kerajaan negeri akan mengadakan perbincangan lanjut bagi menilai kesan baik dan buruk cadangan berkenaan.

“Saya memandang serius dan kerajaan negeri akan berbincang buruk baiknya sama ada ia dalam ruang lingkup kerajaan negeri atau ada membabitkan peruntukan tertentu kerajaan Pusat.

“Ini semua akan kita lihat secara menyeluruh. Kita tidak mengejar waktu dan akan dibincangkan bila tiba masa sesuai,” katanya kepada pemberita selepas melepaskan peserta Hari Sukan Negara Peringkat Terengganu 2018 di Dataran Batu Buruk di sini, hari ini.

Sebelum ini, Hakim Syarie Terengganu, Kamalruazmi Ismail, mencadangkan supaya diwujudkan pusat khusus untuk menempatkan pesalah syariah menjalani hukuman secara berasingan daripada pesalah sivil di penjara.

Ia bertujuan memberi pemulihan akhlak dan akidah kepada pesalah syariah serta mengelakkan mereka ditempatkan di penjara sama dengan pesalah jenayah berat.

Rabu lalu, seorang janda menjadi individu keempat di negeri ini yang dijatuhi hukuman sebatan syariah oleh Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu, di sini, selepas mengaku salah atas pertuduhan persediaan melacurkan diri.

Mahkamah juga memerintahkan wanita berusia 45 tahun itu disebat sebanyak empat kali dan menjalani pemulihan selama enam bulan di Pusat Perlindungan Wanita Baitul Ehsan, Sabak Bernam, Selangor.

Friday, October 12, 2018

DAPATKAH ANWAR MENGATASI MAJORITI DANYAL BALAGOPAL ABDULLAH SEBANYAK 17,710 UNDI?

PORT DICKSON, 12 Okt (Bernama) – Esok menjadi penentu kepada pertembungan tujuh penjuru Pilihan Raya Kecil (Port Dickson) namun Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat telah pun 'menang’ sebelum keputusan diumumkan.

Sumber terdekat Anwar berkata persepsi dan sokongan rakyat Port Dickson terhadap pemimpin berusia 71 tahun itu sangat positif sepanjang 12 hari berkempen dan sudah pasti boleh mengekalkan kerusi PKR di Parlimen Port Dickson atas nama gabungan Pakatan Harapan (PH) namun isunya ialah majoriti undi yang bakal diperoleh.

"Beliau seorang yang akan diangkat menjadi Perdana Menteri kelapan… kalau majoritinya setakat 200 ke 300 tidak elok untuk imej beliau,” kata sumber berkenaan kepada Bernama, di sini.

Pandangan itu disokong kuat Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Tanjung, M. Ravi yang menyifatkan kerja keras mereka pada minggu terakhir ini bukanlah untuk meletakkan Anwar yang disifatkannya telah pun menang, sebaliknya untuk meningkatkan majoriti bekas Timbalan Perdana Menteri itu.

"Menang memang sudah menang, sekarang ini kita bekerja keras untuk meningkatkan lagi majoriti Datuk Seri (Anwar). Sudah tiga hari saya menghubungi semua pengundi luar untuk balik mengundi dan setengah daripadanya telah pun menyatakan persetujuan untuk pulang mengundi,” katanya dengan yakin.

Mengakui masih terdapat kawasan hitam dan kelabu, Ravi yang juga Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan berkata kebanyakan mereka tidak dapat menerima Anwar selain berasa penat dan malas untuk mengundi kali kedua selepas yang pertama pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) , 9 Mei lepas.

Thursday, October 11, 2018

GRADUAN UCAM DISERU LAKUKAN ANJAKAN PARADIGMA

SERDANG: Para graduan Kolej Universiti Agrosains Malaysia (UCAM) diseru  melakukan anjakan paradigma dalam industri pertanian masa kini.

Menurut Naib Canselor UCAM, Prof Datuk Dr Faridah Hanam Mohd Rashid, kita tidak boleh lagi mengadaptasi cara lama  dan konvensional.

"Demi masa depan negara khususnya soal keterjaminan makanan, kita harus memikirkan persoalan yang serius ini," katanya ketika berucap di majlis konvokesyen kali ke 17 UCAM di Dewan Besar, UPM pagi tadi.

Katanya lagi, para graduan UCAM diajar dalam pengetahuan diagnostik dan praktikal yang membolehkan mereka menimba pengalaman di lapangan sekaligus akan meningkatkan tahap keyakinan mereka untuk menghadapi masyarakat luar.

Hari ini seramai 730 orang graduan menerima ijazah sarjana muda, diploma dan sijil dan tahun ini  merupakan tahun pertama bagi penerima ijazah sarjana muda pengurusan langskap dan sarjana muda teknologi perniagaan dengan kerjasama UniKL.

"Sejak beroperasi pada tahun 2000,UCAM telah melahirkan lebih 10,000 orang graduan dan 85 peratus graduan mendapat pekerjaan.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Ketua Pengarah RISDA, Datuk Wan Ahmad Shabri Zainuddin Wan Mohamad.

Dr Faridah berkata pertanian adalah perniagaan dan graduan tidak sepatutnya menjadi job seeker tetapi job creator kerana industri pertanian mampu membuka peluang pekerjaan kepada para graduan.

Katanya lagi, UCAM akan terus memainkan peranan penting untuk membangunkan ,modal insan anak-anak pekebun kecil RISDA.

Wednesday, October 10, 2018

AHLI UMNO BEBAS MENGUNDI YANG MEREKA SUKA

PORT DICKSON, 10 Okt (Bernama) -- Anggota UMNO Bahagian Port Dickson diseru menjalankan tanggungjawab mereka sebagai pemilih mengundi Sabtu ini pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson.

Ketua UMNO bahagian berkenaan Mohd Faizal Ramli dalam kenyataan di sini, hari ini berkata undi mereka penting bagi menentukan siapakah calon yang akan dipilih menjadi wakil rakyat kawasan berkenaan.

“Selaras dengan kenyataan sebelum ini bahawa Barisan Nasional dan UMNO tidak menghalang mana-mana pengundi berdaftar di Parlimen Port Dickson untuk keluar mengundi dan mengundi calon yang mereka suka.

“Oleh yang demikian, saya menyeru dan memohon sokongan daripada semua orang Melayu khususnya ahli-ahli UMNO di Parlimen Port Dickson untuk menjalankan tanggungjawab kita sebagai warganegara Malaysia bersama-sama keluar mengundi pada 13 Okt nanti. Undi kita adalah penting dan saya penuh yakin dan percaya bahawa kita akan membuat pilihan tepat demi agama, bangsa dan negara,” katanya.

PRK Parlimen Port Dickson menyaksikan pertandingan tujuh penjuru melibatkan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, calon PAS Lt. Kol (B) Mohd Nazari Mokhtar dan lima calon Bebas termasuk bekas menteri besar Negeri Sembilan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad serta bekas pembantu peribadi Anwar, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Kerusi Parlimen Port Dickson dikosongkan oleh Datuk Danyal Balagopal Abdullah, pada 12 Sept lepas, bagi membolehkan Anwar yang baru-baru ini menang tanpa bertanding jawatan Presiden PKR, bertanding dan kembali ke Dewan Rakyat..

Tuesday, October 9, 2018

WAN AZIZAH TOLAK JADI PM KERANA BERPEGANG KEPADA JANJI


JAKARTA, 9 Okt (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengakui pernah ditawarkan menjadi Perdana Menteri selepas Pakatan Harapan (PH) memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 9 Mei lepas.

Pertama kali berkongsi pengalaman berkenaan kepada kira-kira 200 rakyat Malaysia di Indonesia sempena lawatan kerja pertamanya ke negara itu, Dr Wan Azizah berkata Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V memberi tawaran itu memandangkan beliau ialah Presiden PKR, yang simbolnya digunakan semua parti dalam PH pada PRU14.

“Bagaimanapun, saya menolak tawaran itu kerana kita berpegang kepada janji bahawa Tun Dr Mahathir Mohamad akan menjadi Perdana Menteri dan saya menjadi Timbalan Perdana Menteri,” katanya ketika berucap pada acara itu di Kedutaan Besar Malaysia di sini malam ini.

Mengakui PH tidak menyangka dapat menumbangkan Barisan Nasional (BN) yang memerintah selama 60 tahun, Dr Wan Azizah melahirkan rasa syukur pertukaran kerajaan selepas PRU14 dapat dijalankan secara demokratik dan aman.

Beliau, bagaimanapun berkata PH turut tidak menyangka kerajaan diambil alih, ditinggalkan dalam keadaan jumlah hutang begitu besar dan sistem yang parah.

Justeru, walaupun beberapa janji dalam manifesto PH pada PRU14 belum dapat ditunaikan, beliau memohon agar rakyat Malaysia supaya bersabar sebelum kerajaan membawa perubahan yang diinginkan rakyat.

Menjawab soalan daripada seorang diaspora Malaysia sama ada kerajaan akan menilai menteri-menteri baharu dan menukar mereka yang tidak menunjukkan prestasi baik, Dr Wan Azizah berkata masih terlalu awal untuk membuat penilaian memandangkan baharu lima bulan PH mengambil alih pentadbiran kerajaan.

“Beri kami sedikit masa kerana kami masih dalam ‘learning curve’ (keluk pembelajaran),” katanya sambil turut mengakui Perdana Menteri memberi amaran keras kepada jemaah menteri setiap kali mempengerusikan mesyuarat Kabinet supaya jangan sesekali terlibat dengan rasuah.

Menurutnya, hanya segelintir anggota jemaah menteri mempunyai pengalaman luas dalam urusan pentadbiran kerajaan iaitu Dr Mahathir dan Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin, manakala Menteri Kewangan Lim Guan Eng dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berpengalaman dalam pentadbiran kerajaan negeri.

Dr Wan Azizah turut berkongsi kebanggaannya menjadi wanita pertama mempengerusikan mesyuarat Kabinet baru-baru ini, berikutan ketiadaan Dr Mahathir yang mengadakan lawatan ke luar negara.

Dr Wan Azizah mengadakan lawatan kerja sehari ke Indonesia pada Selasa, lawatan pertamanya ke negara ini selepas dilantik sebagai timbalan perdana menteri pada 21 Mei lepas.

-- BERNAMA

Monday, October 8, 2018

ISMAIL ALI GARANG TETAPI PENYAYANG

KUALA LUMPUR, 8 Okt (Bernama) – Walaupun dikenali ramai sebagai seorang yang amat tegas dan garang, tetapi, Gabenor Bank Negara Malaysia pertama Allahyarham Tun Ismail Ali sebenarnya adalah seorang insan yang berjiwa penyayang, berhemah tinggi dan budiman.

Dalam penghormatan kepada abangnya itu melalui buku berjudul “Tun Ismail Ali - Paragon of Trust and Integrity”, isteri Perdana Menteri, Tun Dr Siti Hasmah Ali, mendedahkan sisi lain mengenai Ismail yang jarang diketahui umum.

Menurut beliau, sikap Ismail yang tegas dan tabah sebenarnya terbentuk hasil daripada asuhan keluarga.

“Saya ingin memberi jaminan kepada sesiapa sahaja yang pernah menjadi mangsa beliau bahawa apa yang dilakukan Ismail semasa beliau menyandang jawatan itu bertitik tolak daripada asuhan yang diterimanya dalam keluarga kami.

“Ibu bapa kami bersikap sangat tegas dan itulah yang membentuk keperibadiannya. Beliau terus memupuk keperibadian sendiri ketika melanjutkan pelajaran di England dan tinggal di sana untuk sekian lama,” kata Dr Siti Hasmah pada majlis pelancaran buku tulisan beliau itu di Sasana Kijang, di sini hari ini.

Buku bertujuan meraikan ulang tahun kelahiran ke-100 Ismail itu dilancarkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dr Siti Hasmah menceritakan bagaimana, apabila beliau lulus daripada kolej perubatan di Singapura pada 1955, Ismail, yang beliau panggil “Abang Ngah”, mengutuskan sepucuk telegaram kepadanya hanya dengan mesej bertulis: “Akhirnya, kita ada seorang doktor di dalam rumah".

Isteri Perdana Menteri itu juga berkongsi dengan pembaca satu lagi peristiwa menarik apabila beliau dipanggil menghadap Ismail secara mengejut di pejabatnya di Bank Negara.

“Belum pun saya sempat duduk, beliau bertanya: "Hasmah, Mahathir ambil duit dari mana untuk bina rumah itu? Saya tergamam, tetapi menjelaskan kepada beliau bahawa kami telah jual rumah kami di Alor Setar, dan oleh kerana Mahathir kini berkhidmat dengan kerajaan, maka beliau mendapat pinjaman kerajaan untuk membina rumah baharu itu.

"Berpuas hati dengan penjelasan itu, beliau sekadar menyebut, “Mmm". Lihatlah. Saya hanya dilepaskan dengan perkataan "Mmm” saja,” kata beliau.

Buku berkenaan mengandungi tiga bahagian yang menceritakan mengenai kehidupan Ismail pada zaman kanak-kanak, semasa Perang Dunia Kedua dan semasa beliau menyandang jawatan Gabenor Bank Negara hinggalah beliau dijemput menghadap Ilahi pada 1998 ketika berusia 79 tahun.

Dalam buku setebal 211 halaman ini, Dr Siti Hasmah juga menceritakan akan kegemaran Ismail terhadap cerut dan kesepian yang dialaminya selepas kematian isteri beliau, Toh Puan Maimunah Abdul Latif, pada 1996.

“Saya berani memberi jaminan bahawa walaupun beliau seorang yang tegas serta amat garang, namun dilubuk hatinya tersemat rasa kasih sayang terhadap anda semua. Beliau mahu agar Bank Negara diurus dengan sewajarnya dan menjadi bank terbaik di dunia seperti bank pusat di negara lain,” jelas beliau.

Lahir pada 1918, Ismail adalah anak kedua daripada 10 adik-beradik. Beliau memulakan alam persekolahan di Victoria Institution, Kuala Lumpur sebelum melanjutkan pengajian di Cambrigde University dengan mendapat Queen's Scholarship.

Apabila Perang Dunia Kedua tercetus pada 1939, beliau bertugas sebagai penyampai dan pengulas berita di Bahagian Melayu BBC di London.

Pada 1946, Ismail pulang ke tanah air dan menyandang pelbagai jawatan dalam perkhidmatan awam, sebelum dilantik menjadi Gabenor Bank Negara pada 1962 bagi menggantikan Tan Sri W.H Wilcock, seorang warga Australia.

Ismail bersara pada 1980.

-- BERNAMA

Sunday, October 7, 2018

ANWAR SUDAH TERIMA HUKUMAN, TAK PERLU UNGKIT LAGI ISU LAMA SAIFUL



PETALING JAYA: Calon bebas Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson Saiful Bukhari Azlan berkata dia tidak mempunyai pilihan kecuali menjawab kes liwat membabitkan dirinya dengan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Saiful sebelum ini berkata dia tidak mahu menggunakan isu itu dalam kempennya.

Bekas pembantu peribadi Anwar itu menjelaskan, beliau hanya menjawab soalan yang diajukan oleh pengundi semasa sesi soal jawab pada program ceramah kelompok Kampung Teluk Pelanduk, Port Dickson malam tadi.

“Saya tak bangkitkan dalam ceramah. Namun dalam sesi Q&A (soalan dan jawapan) salah seorang bertanya, jadi saya tak ada pilihan, kena jawablah,” katanya kepada FMT hari ini.

Anwar sebelum ini dijatuhi hukuman penjara 5 tahun atas kesalahan meliwat Saiful apabila panel hakim Mahkamah Persekutuan pada Februari 2015 mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan.

PRK Port Dickson akan diadakan 13 Oktober ini berikutan peletakan jawatan penyandangnya, Datuk Danyal Balagopal Abdullah untuk memberi laluan kepada Anwar kembali ke Parlimen.


Ulasan saya, Saiful mungkir janji kerana dia pernah berkata tak akan gunakan isu liwat untuk menagih simpati pengundi Port Dickson.


Kalaulah benar Anwar meliwat Saiful, Anwar sudah didapati bersalah oleh mahkamah dan telah menjalani hukuman selama lima tahun. Maka tak perlulah Saiful membangkitkan isu tersebut kerana Anwar sudah menerima hukuman yang setimpal.


Justru itu beliau tidak perlu mengungkitkan isu peribadi dalam PRK Port Dickson kerana rakyat Port Dickson mahu memilih wakil rakyat yang berkaliber di antara tujuh calon yang bertanding.

Saturday, October 6, 2018

KALAU ANWAR TAK BELA RAKYAT PORT DICKSON, BERITAHU SAYA KATA DAIM

PORT DICKSON, 6 Okt (Bernama) -- Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan Tun Daim Zainuddin hari ini membuat kejutan apabila hadir ke Port Dickson dan berkempen untuk calon Pakatan Harapan (PH) Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau yang juga bekas menteri kewangan menyertai Anwar pada majlis minum petang bersama komuniti nelayan di Kampung Telok Kemang di sini yang turut disertai Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Ketika berucap pada majlis itu, Daim menggesa pengundi tempatan memberikan sokongan kepada Anwar kerana Ketua Umum PKR itu akan membantu menyelesaikan masalah di kawasan itu.

Beliau juga secara berseloroh berkata jika bakal perdana menteri itu tidak boleh menyelesaikan masalah di situ, pengundi di kawasan tersebut boleh memaklumkan kepadanya.

"Tujuan kita pilih dia untuk adalah untuk selesaikan masalah, sekarang ini dia (digelar) Yang Berbahagia tapi bila kita pilih dia jadi perdana menteri nanti dia jadi Yang Amat Berhormat, jadi kita pilihlah bakal Yang Amat Berhormat, kalau esok dia tidak bela bagi tau saya, dengan syaratlah saya masih hidup," kata Daim yang disambut dengan ketawa daripada semua yang hadir

Friday, October 5, 2018

KEMPEN MAHATHIR DI PD DIJANGKA PERATUS KELUAR MENGUNDI MENINGKAT

PORT DICKSON, 5 Okt (Bernama) - Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau gembira apabila dimaklumkan bahawa Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad akan berkunjung ke Port Dickson bagi berkempen untuknya dalam pilihan raya kecil di sini.

Anwar yang juga calon Pakatan Harapan (PH) berkata kesudian Dr Mahathir itu adalah satu petanda baik, bukan hanya untuk dirinya tetapi juga untuk seluruh rakyat Port Dickson.

“Ia penting sebab Tun Dr Mahathir ini sebagai perdana menteri daripada dulu saya ingat, saya sebagai timbalan perdana menteri, dia tidak pergi berkempen pilihan raya kecil.

“Kalau ada pilihan raya kecil dia serah kepada orang bawahannya daripada timbalan perdana menteri sehingga pemimpin bawah yang akan pergi kempen dan dia tumpu (kepada negara),” katanya ketika berucap pada majlis Sembang Santai Usahawan Desa dan Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia, di sini hari ini.

Anwar berkata, kehadiran Dr Mahathir itu dilihat akan memberi semangat kepada pengundi Port Dickson untuk menyokong calon PH dan berharap pemimpin utama negara itu dapat memberi jaminan untuk membantu mereka.

Thursday, October 4, 2018

PENGORBANAN ANGGOTA BOMBA TERUS DIKENANG

PUTRAJAYA, 4 Okt (Bernama) -- Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin bersama warga kementeriannya hari ini menzahirkan rasa dukacita dan simpati kepada anggota keluarga serta waris kepada enam anggota bomba yang terkorban dalam operasi mencari dan menyelamat di Puchong malam tadi.

Dalam kenyataan hari ini, beliau berkata anggota-anggota daripada Pasukan Penyelamat Di Air Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang terkorban telah menjalankan tanggungjawab mereka dengan amanah, setia dan memaparkan komitmen yang tinggi dalam usaha untuk mencari dan menyelamat mangsa lemas.

"Pengorbanan Mohd Fatah Hashim, 34; Izatul Akma Wan Ibrahim, 32; Mazlan Omarbaki, 25; Yahya Ali, 24; Adnan Othman, 33, dan Muhammad Hifdzul Malik Shaari, 25 akan terus dikenang dan jasa mereka akan diabadikan di dalam sejarah Malaysia," katanya.

Katanya kementerian akan turut memastikan nasib keluarga dan waris wira-wira negara itu akan dibela terutamanya dari segi kebajikan bagi meneruskan kelangsungan hidup mereka.

Kesemua anggota bomba terbabit lemas ketika melakukan operasi mencari dan menyelamat seorang remaja yang terjatuh ke dalam lombong di Taman Putra Perdana, Puchong pada 9.15 malam tadi.

Kesemua jenazah mangsa disembahyangkan di Balai Bomba dan Penyelamat Seksyen 15, Shah Alam pagi tadi dan selamat dibawa ke kampung halaman masing-masing.....

Wednesday, October 3, 2018

AZAN ISMAIL TOLAK TAWARAN RM5 JUTA KERANA YAKIN DENGAN PERJUANGAN ANWAR

KUALA TERENGGANU: Pengerusi PKR Cabang Kuala Terengganu, Azan Ismail pernah ditawarkan wang sebanyak RM5 juta untuk melompat ke parti Barisan Nasional (BN).

Namun beliau menolak tawaran tersebut kerana yakin dengan kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketika itu beliau adalah ahli parlimen Indera Mahkota sedangkan rakan-rakan yang lain seperti Datuk Seri Zahrain Hashim (Bayan Lepas), Datuk Zulkifli Nordin (Kulim Bandar Baharu) keluar dari PKR setelah menemui bekas Setiausaha Politik Anwar, Datuk Dr Ibrahim Saad.

Pertemuan yang berlaku di One World Hotel, Damansara Utama itu akhirnya disiarkan oleh akhbar Utusan Malaysia yang mana Azan yang tidak menandatangani surat keluar dari PKR telah menyaman akhbar tersebut sebanyak RM25 juta.

Utusan menyelesaikan saman tersebut di luar mahkamah dengan tidak menyebut jumlah yang dibayar kepada Azan. Ini menunjukkan Azan yang berjuang mempertahankan Anwar sejak zaman reformasi adalah seorang pejuang yang kental.

Beliau aktif dalam GPMS dan rapat dengan Anwar ketika beliau menjadi TPM pada tahun 1998. Sebagai pegawai kumpulan A yang bekerja dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), beliau tidak boleh aktif dalam politik. Namun demikian pemecatan Anwar dari Umno mendorong beliau menyertai PKR secara aktif.

Pada tahun 2008, Azan ditawarkan bertanding di parlimen Indera Mahkota dan beliau menang bersama Fuziah Salleh di parlimen Kuantan. PKR mencatat sejarah kerana ada ahli parlimen dari Pahang.

Pada tahun 2012, Anwar mengarahkan Azan kembali ke negeri kelahirannya Terengganu untuk mengembangkan PKR. Pada PRU 2013, beliau menang di DUN Bandar dan elaun ADUN tidak sebanyak elaun ahli parlimen tetapi beliau tetap mengorbankan wang sendiri untuk mengembangkan PKR di seluruh Terengganu.

Pada PRU lalu beliau tewas di DUN Bandar tetapi beliau tidak harus disalahkan kerana tsunami melanda Terengganu dan Kelantan yang menolak calon-calon Pakatan Harapan sebaliknya rakyat kedua negeri itu tetap memilih PAS.

Andainya beliau pentingkan diri lebih baik beliau kekal bertanding di Indera Mahkota tetapi di atas arahan Anwar beliau kembali ke negeri asal mengembangkan PKR.

Kini PKR menerajui kerajaan pusat maka makin ramai orang yang berminat dengan jawatan Ketua Cabang PKR Kuala Terengganu. Azan mempertahankan jawatan bukan untuk kepentingan diri sendiri untuk meneruskan perjuangan reformasi yang membara sejak 20 tahun lalu.

Oleh itu beliau mengajak semua ahli PKR Cabang Kuala Terengganu berganding bahu dengan beliau meneruskan reformasi supaya Pakatan Harapan dapat menawan Terengganu pada PRU akan datang.

Dalam pemilihan PKR esok, beliau bukan sahaja mempertahankan jawatan Ketua Cabang PKR Kuala Terengganu malah beliau juga turut menawarkan diri bertanding jawatan Naib Presiden PKR.

Tuesday, October 2, 2018

ANAK SOLEH BILA BANTU CALON BEBAS SEPATUTNYA KENA PECAT DARI UMNO



KUALA LUMPUR: Ketua Pemuda Umno Bahagian Port Dickson, Mohd Najib Mohd Isa selamat daripada tindakan disiplin Umno, maklum Setiausaha Agung parti itu, Tan Sri Annuar Musa.

Sinar Harian melaporkan Annuar berkata tiada alasan Umno berbuat demikian memandangkan Mohd Najib hanya memberi sokongan kepada bapanya, Tan Sri Mohd Isa Samad secara peribadi.

"Tidak ada (tindakan), dia (bantu bapanya) atas (kapasiti) peribadi," katanya, petik laporan Sinar Harian.

Mohd Najib ialah anak sulung kepada bekas naib presiden Umno, Isa Samad yang bertanding atas sebagai calon bebas pada pilihan raya kecil Port Dickson.

Pada 28 September lalu, Isa yang juga bekas menteri besar Negeri Sembilan dan bekas ketua Umno Bahagian Teluk Kemang (kini Port Dickson), telah mengumumkan keluar parti kerana mahu bertanding sebagai calon bebas.

BN dan Umno membuat keputusan memboikot pilihan raya itu.

Mohd Najib berkata tindakan membantu bapanya itu dibuat sebagai melaksanakan tanggungjawab sebagai anak yang soleh.




"Saya anak yang soleh. Saya nak bantu ayah saya menang pilihan raya, itu saja. Hal lain saya tak fikir," katanya ketika ditemui dalam satu program tertutup bersama bapanya semalam.

Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Mohamad Hasan ketika Persidangan Agung Umno pada 30 September lalu menegaskan jentera Umno Bahagian Telok Kemang tidak boleh mengambil bahagian dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson.

"Sebagai jentera di bahagian, mereka tidak boleh mengambil bahagian kerana kita memboikot PRK tersebut atas asas kita tidak suka cara PRK itu diadakan.

"Itu sebab kita kena betul-betul faham perkataan boikot," katanya.

RATING TERTINGGI BAGI BULAN SEPTEMBER 2018

"Tindakan Hanafiah bercanggah dengan Seksyen 3 Perkara 145" yang disiarkan pada 5 September dalam blog Newajil Post mendapat rating tertinggi bagi bulan September dengan 133 hits.

10 rating tertinggi bagi bulan tersebut adalah:-

1. Tindakan Hanafiah bercanggah dengan Seksyen 3 Perkara 145 (5/9) - 133 hits
2. Syed Saddiq tidak benarkan MPM tanggalkan cap dagang dalam Bahasa Mandarin (6/9)
3. Reezal Merican gesa Peguam Negara rayu kes Lim Guan Eng (4/9)
4. Pengumuman Rafizi bukti Rafizi lebih rapat dengan Anwar (7/9)
5. Anwar imbau sejarah pemecatan beliau sebagai TPM 20 tahun lalu (1/9)
6. Khairy nak jadi PM kena masuk PH (26/9)
7. Pengunduran Tok Pa, pengakhiran Umno (18/9)
8. Bung Mokhtar yakin ramai lagi MP akan keluar Umno (19/9)
9. Kosongkan kerusi untuk Anwar bukan satu pengkhianatan (12/9)
10. Khairy meroyan lagi (29/9)

Monday, October 1, 2018

HUJUNG BULAN INI AHLI PARLIMEN UMNO TINGGAL EMPAT ORANG SAHAJA

KUALA TERENGGANU, 1 Okt (Bernama) – Anggota Parlimen Gombak, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menjangkakan jumlah anggota Parlimen daripada UMNO akan semakin menyusut menjelang akhir bulan ini.

Berucap pada Pidato Malaysia Baru sempena pemilihan PKR di sini malam ini, beliau berkata daripada 49 anggota Parlimen UMNO ketika ini, akan tinggal 'tiga, empat kerat sahaja'.

"Keadilan (PKR) hari ini adalah blok terbesar di Parlimen. PKR ada 51 anggota Parlimen, DAP mempunyai 42 anggota Parlimen, UMNO ada 49 orang. Esok mungkin 40 orang, kemudian 20 orang dan hujung bulan ini tinggal tiga empat kerat sahaja," katanya.

Beliau yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi, ketika ditemui media selepas program itu, menjelaskan bahawa kenyataan itu adalah berdasarkan penilaiannya terhadap Perhimpunan Agung UMNO yang baru berakhir, yang kelihatan lemah tanpa pendirian tegas dalam menentukan hala tuju parti tersebut.

Dalam mengajak anggota PKR menyokongnya dalam pemilihan PKR yang berlangsung Jumaat ini di Terengganu, Mohamed Azmin yang bertanding jawatan timbalan presiden berkata sekiranya diberi mandat beliau akan memberi sepenuh perhatian dalam memberi kebajikan kepada rakyat serta mengatur strategi menawan negeri itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 nanti.

Mengenai tindakan pencabarnya Rafizi Ramli yang kadang kala melontarkan pelbagai dakwaan yang bagaikan mempertikai kesetiaannya terhadap Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mohamed Azmin berkata Rafizi perlu meneliti bagaimana perjuangannya (Azmin) sejak 1998 yang melalui pelbagai ranjau dalam mempertahankan Anwar