Tuesday, October 16, 2018

BIRO POLITIK PKR BINCANG DAKWAAN RAFIZI

KUALA LUMPUR, 16 Okt (Bernama) – Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) PKR diminta menyiasat dakwaan calon timbalan presiden parti itu Rafizi Ramli berhubung politik wang berlaku secara berleluasa di enam negeri yang sudah mengadakan pemilihan.

Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata beliau tidak maklum berhubung perkara yang dibangkitkan Rafizi itu, namun siasatan perlu dilakukan.

“Kita akan siasat. Oleh sebab wartawan beritahu saya, saya kini maklum,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Rafizi dilaporkan berkata politik wang digunakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab untuk mempengaruhi anggota muda PKR yang tidak melalui zaman sukar parti itu.

Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim pula berkata dakwaan Rafizi itu akan dibincangkan pada mesyuarat Biro Politik PKR, malam ini.

"Tanya dia (Rafizi) butiran dulu. Kita akan bincang malam ni. Kita ada (mesyuarat) biro politik malam ni," katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment