Wednesday, October 3, 2018

AZAN ISMAIL TOLAK TAWARAN RM5 JUTA KERANA YAKIN DENGAN PERJUANGAN ANWAR

KUALA TERENGGANU: Pengerusi PKR Cabang Kuala Terengganu, Azan Ismail pernah ditawarkan wang sebanyak RM5 juta untuk melompat ke parti Barisan Nasional (BN).

Namun beliau menolak tawaran tersebut kerana yakin dengan kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketika itu beliau adalah ahli parlimen Indera Mahkota sedangkan rakan-rakan yang lain seperti Datuk Seri Zahrain Hashim (Bayan Lepas), Datuk Zulkifli Nordin (Kulim Bandar Baharu) keluar dari PKR setelah menemui bekas Setiausaha Politik Anwar, Datuk Dr Ibrahim Saad.

Pertemuan yang berlaku di One World Hotel, Damansara Utama itu akhirnya disiarkan oleh akhbar Utusan Malaysia yang mana Azan yang tidak menandatangani surat keluar dari PKR telah menyaman akhbar tersebut sebanyak RM25 juta.

Utusan menyelesaikan saman tersebut di luar mahkamah dengan tidak menyebut jumlah yang dibayar kepada Azan. Ini menunjukkan Azan yang berjuang mempertahankan Anwar sejak zaman reformasi adalah seorang pejuang yang kental.

Beliau aktif dalam GPMS dan rapat dengan Anwar ketika beliau menjadi TPM pada tahun 1998. Sebagai pegawai kumpulan A yang bekerja dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), beliau tidak boleh aktif dalam politik. Namun demikian pemecatan Anwar dari Umno mendorong beliau menyertai PKR secara aktif.

Pada tahun 2008, Azan ditawarkan bertanding di parlimen Indera Mahkota dan beliau menang bersama Fuziah Salleh di parlimen Kuantan. PKR mencatat sejarah kerana ada ahli parlimen dari Pahang.

Pada tahun 2012, Anwar mengarahkan Azan kembali ke negeri kelahirannya Terengganu untuk mengembangkan PKR. Pada PRU 2013, beliau menang di DUN Bandar dan elaun ADUN tidak sebanyak elaun ahli parlimen tetapi beliau tetap mengorbankan wang sendiri untuk mengembangkan PKR di seluruh Terengganu.

Pada PRU lalu beliau tewas di DUN Bandar tetapi beliau tidak harus disalahkan kerana tsunami melanda Terengganu dan Kelantan yang menolak calon-calon Pakatan Harapan sebaliknya rakyat kedua negeri itu tetap memilih PAS.

Andainya beliau pentingkan diri lebih baik beliau kekal bertanding di Indera Mahkota tetapi di atas arahan Anwar beliau kembali ke negeri asal mengembangkan PKR.

Kini PKR menerajui kerajaan pusat maka makin ramai orang yang berminat dengan jawatan Ketua Cabang PKR Kuala Terengganu. Azan mempertahankan jawatan bukan untuk kepentingan diri sendiri untuk meneruskan perjuangan reformasi yang membara sejak 20 tahun lalu.

Oleh itu beliau mengajak semua ahli PKR Cabang Kuala Terengganu berganding bahu dengan beliau meneruskan reformasi supaya Pakatan Harapan dapat menawan Terengganu pada PRU akan datang.

Dalam pemilihan PKR esok, beliau bukan sahaja mempertahankan jawatan Ketua Cabang PKR Kuala Terengganu malah beliau juga turut menawarkan diri bertanding jawatan Naib Presiden PKR.

No comments:

Post a Comment