Monday, October 15, 2018

SEMPATKAH ANWAR JADI PM?

KUALA LUMPUR, 15 Okt (Bernama) -- Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata beliau gembira Datuk Seri Anwar Ibrahim kembali ke Dewan Rakyat selepas menang pada pilhan raya kecil Parlimen Port Dickson pada Sabtu lalu.

“Kita memang telah menjangka beliau akan kembali, kita tahu beliau akan menang....sudah tentu saya gembira. Beliau dari parti yang sama,” kata Perdana Menteri pada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Anwar mengalahkan enam calon lain termasuk calon PAS Mohd Nazari Mokhtar dan lima calon Bebas termasuk bekas menteri besar Negeri Sembilan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad dan bekas pembantu beliau, Mohd Saiful Bukhari Azlan dengan memperoleh majoriti undi lebih besar sebanyak 23,560 undi majoriti.

Anwar mengangkat sumpah jawatan sebagai anggota Dewan Rakyat di hadapan Speaker Datuk Mohamad Ariff Md Yusof sebaik sahaja Dewan Rakyat memulakan sidang mesyuarat kedua penggal pertama Parlimen ke-14.


Ulasan saya, adakah Dr Mahathir akan menyerahkan jawatan PM kepada Anwar pada bulan Mei 2020? Ini yang membimbangkan ramai penyokong PKR yang bimbang Anwar dimainkan Dr Mahathir buat kali kedua.


Ahli parlimen Kapar, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid pernah mendakwa kononnya Tun Daim Zainuddin merancang untuk menaikkan Datuk Seri Azmin Ali sebagai PM dan bukannya Anwar Ibrahim.


Adakah dakwaan ini benar? Apakah mesej yang ditunjukkan oleh para pengundi Port Dickson kepada Dr Mahathir? Majoriti yang besar 31,000 undi menunjukkan Anwar walaupun orang luar diterima oleh orang Negeri Sembilan sedangkan tiga PRK sebelum ini PRK Sungai Kandis, PRK Seri Setia dan PRK Balakong majoriti yang dimenangi PH merosot.

Selepas tiga tahun, Datuk Seri Anwar Ibrahim akhir­nya kembali semula ke Parlimen.


Jika sebelum ini beliau berperanan sebagai Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat, ‘kepula­ngan’ Presiden PKR itu kali ini pula dengan harapan besar melunaskan cita-cita tertangguh untuk menjadi Perdana Menteri.


Kemenangan bergaya di Parlimen Port Dickson sudah tentu meletakkan Anwar di landasan yang betul untuk merealisasikan hasratnya itu.

Namun, banyak pihak berpandangan bukan mudah untuk Anwar menggapai cita-cita tersebut kerana pelbagai ranjau dan cabaran dijangka ditempuhi.

Ramai skeptikal de­ngan peralihan kuasa yang diuar-uar bakal berlaku sekurang-kurangnya dalam tempoh dua tahun ini, lebih-lebih lagi mengambil kira individu yang berjanji memberikan jawatan itu kepada Anwar pernah memecat beliau daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri kira-kira 20 tahun lalu.

Selain itu, Anwar, sebagaimana pemain politik lain, bukan hanya mempunyai musuh daripada luar, tetapi dalam parti dan pentadbiran kerajaan sendiri.

Tidak boleh dinafikan wujud ‘duri dalam daging’ yang tidak senang dengan kemenangan Anwar di Port Dickson terutama ‘jaminan’ yang diberikan untuk mengambil alih jawatan nombor satu negara.

Dalam erti kata lain, Anwar mungkin menang dengan majoriti besar di Port Dickson, namun itu tidak menjamin beliau akan mendapat laluan mudah menjadi Perdana Menteri.

Pandangan itu diakui oleh penganalisis sosiopolitik Universiti Malaya (UM), Prof. Madya Dr. Awang Azman Awang Pawi yang percaya Anwar terdedah dengan pelbagai bentuk sabo­taj dalam tempoh dua tahun ini, khususnya dalam Pakatan Harapan (PH) sendiri.

Asasnya, kata Awang Azman ialah kerana yang berada di tampuk kekuasaan ketika ini sedar, jika Anwar naik sebagai Perdana Menteri, beliau sudah tentu akan membawa bersama barisan kepemimpinan ba­haru, sesuai dengan ideologi pentadbirannya.

“Ini lazim berlaku dalam mana-mana situasi politik. Justeru, sukar untuk mengatakan Anwar sudah pasti menjadi Perdana Menteri kerana beliau tentunya akan berhadapan dengan pelbagai ‘sera­ngan’ dalam tempoh dua tahun ini daripada luar dan dalam PH,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Sebab itulah kemenangan besar Anwar di Port Dickson belum tentu menjamin Anwar dapat memenuhi cita-citanya jadi PM yang kelapan.

No comments:

Post a Comment