Sunday, October 21, 2018

DARELL AKAN KELUAR WARISAN JIKA ADA BUKTI WARISAN BERI IC KEPADA PATI



KOTA KINABALU: Timbalan Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Darell Leiking berkata beliau akan keluar daripada parti itu sekiranya ada bukti bahawa Parti Warisan Sabah (WARISAN) memberi kad pengenalan (IC) kepada pendatang tanpa izin di Sabah.

Sambil menyatakan letih dan bosan dengan tuduhan yang dibuat terhadap parti itu, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu menegaskan Warisan tidak melakukan aktiviti seperti itu untuk memberi pengesahan sebagai rakyat negara ini kepada pendatang tanpa izin, justeru, menawarkan bantuannya kepada sesiapa sahaja untuk membebaskan Sabah daripada masalah yang berlarutan sejak sekian lama.

“Kami tidak pernah beri IC (kepada pendatang tanpa izin). WARISAN mahu membersihkan Sabah daripada pendatang tanpa izin.

“Kepada penyokong apa jua gabungan (pembangkang) dan orang tidak waras yang merasakan kami (WARISAN) memberi IC kepada pendatang tanpa izin, seperti anda, saya juga mahu menyelamatkan Sabah. Saya mahu membantu Sabah,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan karnival kerjaya dan pendidikan di Penampang, Sabah hari ini.

Leiking, yang juga Anggota Parlimen Penampang, mengakui bahawa beliau kecewa dengan tuduhan berterusan yang dilemparkan terhadap parti itu, tambahan pula mereka yang begitu aktif dalam menyalahkan WARISAN adalah daripada komuniti Kadazandusun beliau sendiri.

“Mereka berulangkali menyatakannya (menyalahkan WARISAN) seolah-olah kami melakukan sesuatu yang memusnahkan komuniti kami. Ia memang bodoh.

“Jika anda ada bukti (bahawa WARISAN memberi IC kepada pendatang asing), saya mahu bekerjasama dengan anda. Saya akan jadi orang pertama untuk berganding bahu bersama anda sebab nampaknya anda ada bukti,” katanya.

Leiking berkata kerajaan baharu sedang berusaha untuk memperbetulkan masalah itu yang didakwanya diwujudkan oleh kerajaan sebelum ini dan menggesa orang ramai supaya tidak menyerang WARISAN kerana kesalahan kerajaan terdahulu.




Bagaimanapun, beliau mengalu-alukan kritikan sekiranya kerajaan baharu gagal melaksanakan janjinya untuk membersihkan Sabah daripada pendatang tanpa izin.

“Hentam kami (kerajaan baharu) atas kegagalan kami untuk melaksanakan tugas kami. Hentam kami atas kegagalan kami untuk membawa kebaikan kepada Sabah.

“Tetapi janganlah hentam kami dengan pembohongan sebab penduduk Sabah mesti berhenti daripada berfikir seperti itu. Kita lebih baik daripada itu,” katanya.

- Bernama

No comments:

Post a Comment