Friday, May 31, 2019

FRANCISCA DINOBAT RATU UNDUK NGADAU PESTA KAAMATAN 2019

PENAMPANG, 31 Mei (Bernama) -- Penyertaan kali kedua dalam pertandingan Unduk Ngadau pada tahun ini telah membawa tuah kepada Francisca Ester Nain apabila dinobatkan sebagai Ratu Unduk Ngadau sempena sambutan Pesta Kaamatan di Dewan Hongkod Koisaan (KDCA), hari ini.

Gadis berusia 25 tahun yang berasal dari Kampung Melangkap, Kadamaian Kota Belud itu berkata kali pertama penyertaannya ialah pada 2017 namun hanya berjaya berada dalam 15 peserta akhir.

Katanya pada tahun ini beliau mewakili Bahagian Karambunai sebelum berjaya menewaskan tujuh peserta akhir seterusnya berjaya membawa pulang hadiah bernilai RM100,000.

"Saya cuba untuk kali kedua dan belajar dari kekurangan dalam pertandingan lalu. Tetapi itu tidak bermakna saya hebat, saya masih belajar lagi dan mungkin ini sudah rezeki," kata anak keenam daripada lapan orang adik beradik itu.

Hadiah disampaikan oleh isteri Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Wilfred Madius Tangau, Datin Seri Dr Jaina Sintian.

Kefasihan Francisca menjawab soalan pada sesi soal jawab menggunakan bahasa Dusun Tindal Kota Belud menarik perhatian para juri untuk memilih beliau seterusnya memenangi acara kemuncak Pesta Kaamatan pada edisi kali ini.

"Saya berharap dengan kemenangan ini akan dapat menarik belia khususnya generasi baharu untuk lebih menghargai kebudayaan Kadazandusun Murut untuk menggunakan bahasa ibunda sendiri," katanya yang bercadang meneruskan pengajian dalam bidang bahasa Kadazandusun Murut.

Sementara tempat kedua Unduk Ngadau dimenangi Annette Rabecca Januin mewakili Bahagian Pantai Manis, Papar dan membawa pulang hadiah bernilai RM70,000

Manakala tempat ketiga disandang oleh Leticia Casianus Bansin dari Bahagian Penampang yang membawa pulang hadiah bernilai RM50,000.

-- BERNAMA

Thursday, May 30, 2019

TEKUN RAI 32 ANAK YATIM

KUALA LUMPUR, 30 Mei ( Bernama) -- Kegembiraan jelas terpancar di wajah 32 anak yatim daripada Pusat Jagaan Amal Asyura, Sungai Buloh Selangor apabila menerima sumbangan daripada Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional untuk menyambut ketibaan Aidilfitri.

Pengerusinya Datuk Seri Muhamad Supardi Md Noor berkata sumbangan itu adalah cara bagi pihaknya berkongsi rezeki dan meraikan anak yatim agar nikmat berhari raya dapat dirasai mereka dengan gembira.

"Sumbangan ini adalah sebagai persiapan hari raya yang bakal tiba nanti. Melalui program tanggungjawab sosial koporat ini, TEKUN menyumbang duit raya RM100 kepada setiap seorang di samping RM3,000 kepada pusat penjagaan itu.

"Kita juga berharap sumbangan dan program berbuka puasa ini akan dapat merapatkan hubungan TEKUN Nasional dengan masyarakat khususnya mereka yang tidak bernasib baik," katanya kepada Bernama pada Majlis Iftar Ramadan TEKUN Nasional di sini, hari ini.

Bukan itu saja, sambutan Aidilfitri 11 warga kerja TEKUN Nasional kali ini juga bertambah meriah apabila terpilih menerima sumbangan berupa wang tunai.

"Mereka ini adalah warga kerja yang mempunyai anak ramai, sakit dan berstatus ibu tunggal yang bertugas di pelbagai jabatan dan pangkat di ibu pejabat TEKUN Nasional di sini. Ini adalah cara kita menghargai warga kerja kita dengan membantu mereka merayakan Aidilfitri dengan lebih meriah,"katanya.

-- BERNAMA

Wednesday, May 29, 2019

MAK CUN DORONG ERMA FATIMA JADI USAHAWAN

KUALA LUMPUR, 30 Mei (Bernama) -- Sebelum ini umum mengenali figura bernama Erma Fatima sebagai dramatis terkenal tanah air melalui drama-drama dan filem lakonannya, hingga melayakkan beliau bergelar artis paling popular sekitar tahun 90-an.

Melangkah ke alaf 2000 Erma mula berkecimpung dalam bidang pengarahan drama-drama Melayu yang mengisi slot di kaca televisyen, dan antara yang paling meninggalkan kesan adalah drama Mak Cun, kisah seorang wanita kampung yang gigih berusaha mencapai cita-cita sebagai seorang usahawan yang berjaya.

Bertitik-tolak dari karakter Mak Cun yang dihasilkan itu, Erma kini mengorak langkah ke bidang keusahawanan dengan membuka cabang perniagaan, memasarkan produk-produk keluaran Perusahaan Kecil dan Sederhan (PKS) seperti makanan dan barangan kraftangan, dan yang terbaharu Rumah Budaya 'Culture House' di Menara Kuala Lumpur.

"Kini saya dah jauh sikit dari dunia seni...sebelum ini pun saya dah pernah umum saya dah tak mahu bertanding dalam Anugerah Skrin atau terlibat dalam bidang pengarahan... sekarang jiwa saya lebih kepada nak bantu usahawan-usahawan kita.

"Semangat ini lahir dari drama Mak Cun...dari situ saya kenal peritnya nak jadi usahawan, nak cari duit...kini saya lebih seronok masuk ke kampung-kampung, beli produk mereka dan tolong jualkan, ia satu nikmat yang luar biasa," katanya ketika ditemui pemberita selepas perasmian Rumah Budaya oleh isteri Perdana Menteri, Tun Dr Siti Hasmah baru-baru ini.

Pembukaan Rumah Budaya di Menara Kuala Lumpur itu merupakan satu lagi platform untuk beliau memasarkan produk-produk PKS, selain kedai yang telah dibuka di Menara Alor Star, Kedah.

Katanya, Rumah Budaya itu juga menyediakan pakej menyediakan perkhidmatan menyewa lebih 100 helai kostum tradisional, melakukan aktiviti kebudayaan dan bermacam lagi khusus untuk para pelancong luar yang datang ke Menara itu.

“Ia akan menjadi satu pusat sehenti di mana para pelancong boleh mendapatkan khidmat sewaan pakaian tradisional, di samping mendapatkan barangan keluaran usahawan kita yang ditempatkan di rumah itu.

“Saya pasti ia akan menjadi tumpuan, kerana difahamkan kita menerima kedatangan kira-kira 3,000 orang pelancong ke Menara ini setiap hari…Insyaallah, kita akan buka beberapa lagi kedai seumpama ini di kawasan tumpuan pelancong lain, seperti di Matic (Pusat Pelancongan Malaysia), Central Market dan Taman Warisan di Putrajaya,” katanya.

Sebelum ini Erma turut melancarkan Mak Cun Mart di Ukay Perdana, yang mempunyai lebih 20 produk termasuk makanan, kecantikan dan fesyen hasil kolaborasinya bersama usahawan IKS.

Mak Cun Mart turut dibuka secara online menerusi www.makcunmart.com.my untuk pembelian atas talian.

Sempena bulan Ramadan ini dan kedatangan Aidilfitri tidak lama lagi, Mak Cun Mart turut memasarkan pelbagai jenis busana tradisional seperti baju kurung, baju kurung kedah, kebaya, kebarung dan jubah pada harga yang berpatutan.

Dalam pada itu katanya Rumah Budaya itu diwujudkan atas dasar tanggungjawabnya sebagai anak seni, untuk terus memelihara seni budaya Melayu dan adat resam, daripada terus ditelan zaman kerana melihat kepada generasi muda kini yang kurang mendapat pendedahan mengenainya.

“Kalau kita ke Korea atau Jepun kita nak cuba pakaian tradisional mereka...kita rasa seronok... saya lihat trend anak-anak muda sekarang, nak masuk kelas ballet, kelas Taekwondo, tapi budaya kita di mana

“Jadi kalau bukan kita yang jaga budaya kita sendiri, ia akan jauh dari kita, saya khuatir. Saya rasa sebagai orang yang berada dalam industri seni ini, tanggungjawab saya untuk memartabatkan budaya saya di mata orang-orang luar khususnya,” katanya.

-- BERNAMA

Tuesday, May 28, 2019

KHOO KAY KIM ENSIKLOPEDIA BERGERAK SEJARAH MALAYSIA

KUALA LUMPUR, 28 Mei (Bernama) -- Negara kehilangan tokoh sejarawan yang sarat menyimpan rentetan lipatan peristiwa penting sejak negara meniti kemerdekaan dengan perginya Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim.

Mendiang meninggal dunia pada usia 82 tahun akibat jangkitan paru-paru di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) di sini, kira-kira 10.13 pagi tadi, meninggalkan isteri Puan Sri Rathi Khoo, 75, serta tiga orang anak, Eddin, Rubin dan Mavin.

Ketokohan, ilmu serta pengalaman mendiang dalam bidang sejarah dan akademik merupakan sesuatu yang tidak dapat disangkal lagi apabila pendapat dan buah fikiran mendiang sering dijadikan sebagai rujukan oleh pelbagai pihak di dalam dan luar negara.

Misalnya, mungkin masih ada yang tidak mengetahui bahawa mendiang merupakan salah seorang daripada 12 anggota jawatankuasa khas yang menggubal Rukun Negara pada tahun 1970, iaitu selepas tragedi berdarah pada 13 Mei 1969.

Malah, Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah sendiri sebelum ini pernah menggelar mendiang sebagai 'ensiklopedia bergerak sejarah Malaysia' menerusi pengalamannya yang sentiasa dan tanpa jemu mendampingi rakyat negara ini.

Dilahirkan di Kampar, Perak pada 28 Mac 1937, mendiang yang merupakan anak sulung daripada tiga adik beradik memperoleh Ijazah Sarjana Muda Sastera (Kepujian) Sejarah pada 1960 dari Universiti Malaya, Singapura dan Sarjana Sastera dalam bidang itu dari universiti yang sama pada 1967.

Mendiang menjadi rakyat Malaysia pertama yang memperoleh Doktor Falsafah (Ph.D) dalam bidang sejarah dari Fakulti Sastera di Universiti Malaya, Kuala Lumpur pada 1974.

Mendiang turut dikenali dengan kelantangannya dalam bersuara terutamanya dalam mendukung penuh Perlembagaan Negara, antara lain, sering mempertahankan bahawa hak istimewa orang Melayu tidak boleh diubah dan diganggu.

"Rakyat Malaysia dari mana-mana kaum yang mempersoal atau mempertikaikan Perkara 153 dalam Perlembagaan negara yang mengiktiraf kedudukan dan hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera adalah buta sejarah dan tidak memahami Perlembagaan," kata mendiang, memetik laporan sebuah portal berita pada 2010.

Menariknya, bukan sahaja pakar dalam bidang sejarah, mendiang juga disegani dalam industri sukan negara, di mana mendiang merupakan seorang pengkritik sukan yang berani menyuarakan pendapatnya.

Mendiang banyak menghasilkan dan menyunting buku ilmiah seperti The Western Malay States: The Effects of Commercial Development on Malay Politics (1972); Pensejarahan Malaysia (1975); A History of Southeast Asia, South and East Asia: Essays and Documents (1977).

Di samping menjadi pensyarah, mendiang juga menerajui Jabatan Sejarah, Universiti Malaya sebanyak dua kali dan dilantik sebagai Dekan Fakulti Sastera dan Sains Sosial pada 1984 selain pernah menjawat jawatan sebagai Pengarah Pusat Sukan Universiti Malaya antara tahun 1994 hingga tahun 1996.

Mendiang dianugerahkan Profesor Emeritus dari Universiti Malaya pada 2001 atas sumbangan beliau kepada Jabatan Sejarah dan Fakulti Sastera dan Sains Sosial.

Pada tahun lepas, mendiang turut menerima Anugerah Pencapaian Akademik Luar Biasa Merdeka 2018 Petronas yang disampaikan Sultan Nazrin.

-- BERNAMA

Saturday, May 25, 2019

TAK PERNAH MIMPI JADI MB



JOHOR BAHRU, 24 Mei (Bernama) -- Sepanjang berkecimpung dalam bidang politik selama 44 tahun, Datuk Osman Sapian tidak pernah mengimpikan bahawa satu hari nanti beliau akan menjadi Menteri Besar Johor.





Beliau pernah menjadi Anggota Dewan Undangan Negeri Kempas selama tiga penggal ketika memegang tiket Barisan Nasional (BN) dari tahun 1999 sehingga awal 2013.



Dan setelah meninggalkan Umno dan bertanding di bawah tiket Pakatan Harapan pada Pilhanraya Umum ke-14 yang lepas, Osman membuat kejutan apabila dilantik sebagai Menteri Besar berikutan kekalahan Kerajaan BN di negeri kubu kuat Umno itu.



Kepimpinan Osman, 67, di Johor bagaimanapun hanya bertahan selama 11 bulan apabila beliau meletakkan jawatan pada 8 Mac lepas.



"Pada PRU 14, saya masa itu tak nak pun bertanding walaupun masa tu saya memegang jawatan Setiausaha Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) negeri," kata beliau dalam satu temubual eksklusif dengan Bernama di pejabatnya, baru-baru ini.



"(Ketika itu), saya nak pastikan supaya Pakatan Harapan dapat memenangi kerusi dan kalau boleh, dapat menukar kerajaan di peringkat negeri dan di peringkat persekutuan.



"Tetapi, pada ketika itu, kita parti baharu dan kekurangan pemimpin yang berkaliber dan berpengalaman serta sedikit sebanyak ada pengaruhlah, jadi saya diminta supaya memilih kerusi-kerusi untuk saya bertanding," kata beliau.



Hasratnya pada ketika itu, kalau PH menang di peringkat persekutuan, terpulanglah pada pucuk pimpinan nak letakkannya di mana.



"Setidak-tidaknya memegang apa-apa jawatan dalam mana-mana syarikat berkaitan kerajaan (GLC), saya terimalah ataupun nak jadi konsul general ke, sebagai kata orang tu menghargai… terpulanglah," tambah Osman.



Pada zaman mudanya, beliau mengidamkan jawatan seperti konsul atau konsul-jeneral Malaysia di luar negara kerana minatnya dalam mengeratkan hubungan dua hala.



"Walaupun saya pernah menjadi ADUN selama tiga penggal semasa bersama Umno dahulu, saya tidak pernah mimpikan jawatan Menteri Besar. Malah saya pun tidak pernah memegang jawatan Exco Kerajaan negeri pada masa itu," katanya.



Beliau menjelaskan setelah menyertai Bersatu, beliau banyak menumpukan sepenuh usaha menggerakkan parti di akar umbi bagi menghadapi PRU14.



"Bukannya mudah parti yang baharu ditubuhkan yang tiada sumber kewangan yang kukuh dengan segala kekurangan, tetapi akhirnya gabungan parti-parti di bawah PH berjaya menumbangkan Umno dan Barisan Nasional di kubu kuat Umno ini," katanya.



Cabaran berterusan buatnya apabila dia mengepalai barisan exco yang belum mempunyai pengalaman dalam Kerajaan Negeri.



"Kebanyakan exco tiada pengalaman, yang ada pengalaman jadi wakil rakyat tapi daripada pembangkang dan tidak pernah menjadi wakil rakyat kerajaan. Jadi, nak betulkan mereka dengan tiada pengalaman agak susah," kata beliau yang pernah memegang beberapa jawatan dalam GLC Johor.



"Jadi saya kena laksanakan tugas… macam mana beri ilmu pada mereka ini supaya mereka lebih memahami… it is a brand new government," tambah Osman.



Meskipun digelar MB Johor paling singkat mentadbir, beliau telahpun dalam sejarah negeri Johor, selain berupaya mencapai banyak kejayaan dalam masa 11 bulan pemerintahannya.



Sebagai MB, Osman telah melakukan sebaik mungkin untuk pembangunan negeri Johor dan kesejahteraan rakyatnya di samping mengukuhkan kedudukan kewangan negeri melalui pelbagai perancangan dengan sokongan dan kerjasama pentadbiran awam negeri.



Antaranya melaksanakan 10 janji 100 hari Pakatan Harapan Johor dan meneruskan inisiatif itu, merangka pelan pembangunan jangka panjang untuk Johor (Pelan Pembangunan Mampan Johor 2019-2030).



Selain itu, beliau bertanggungjawab dalam melupuskan hutang lapuk Kerajaan Negeri kepada Persekutuan sebanyak RM187 juta atau 57 peratus daripada jumlah keseluruhan.



"Dalam masa 100 hari, saya dapat laksanakan manifesto PH. Saya juga buat lawatan, bawa Exco-exco ke daerah-daerah jumpa Pegawai Daerah supaya mereka semua ada perhubungan yang rapat dan memudahkan kerja mereka… selain itu, dekat sebulan lebih, saya memikirkan hala tuju untuk PH di Johor.



"Dalam pada itu, kerja-kerja yang bertimbun ditinggalkan oleh kerajaan sebelum tu (harus diselesaikan). Selama setahun mereka tidak masuk pejabat sebab sibuk berkempen, saya terpaksa menguruskan.



"Pelbagai fail misalnya yang setahun tak diuruskan… orang nak ubah syarat, nak tukar nama, beli tanah, beli rumah… selama 17 bulan kerja (bertimbun)," kata Osman.



Ditanya mengenai perletakan jawatannya pada 8 April itu, bekas Menteri Besar itu berkata, beliau mengambil tempoh seminggu sebelum membuat keputusan melepaskan jawatan itu.



Meskipun enggan menyatakan secara khusus sebab musabab yang membawa kepada keputusannya itu, Osman berkata: "Itulah langkah terbaik, jika tidak ia akan menjejaskan lagi nama saya secara peribadi dan situasi politik di Johor."



Sambil berterima kasih kerana diberi peluang menduduki "kerusi panas" itu, ADUN Kempas turut menasihati penggantinya Datuk Dr Sahruddin Jamal agar menjalankan tugas sebaiknya.



-- BERNAMA

Thursday, May 23, 2019

BERI MASA DUA BULAN KEPADA MAPIM

KUALA LUMPUR: Kerajaan didakwa memperlekehkan institut memandu di negara ini apabila memberikan mereka tempoh hanya 10 hari untuk menyediakan modul pembelajaran kursus lesen kenderaan pengangkutan awam (PSV) utuk pemandu perkhidmatan e-kelui (e-hailing).

Presiden Majlis Piawaian dan Pemodenan Industri Memandu Malaysia (Mapim) Hanafi Mat Zin berkata tempoh yang diberikan itu terlalu singkat.

Katanya untuk membangunkan sistem dalam talian bagi pembelajaran buat calon pemegang lesen PSV perkhidmatan e-kelui, masa lebih panjang diperlukan.

"Kami memerlukan masa sekurang-kurangnya dua bulan,” katanya pada sidang media di Hulu Langat hari ini.

Sidang media itu diadakan sebagai cara Mapim mendesak kerajaan mengkaji semula kelulusan yang diberikan kepada syarikat e-kelui kerana tidak mengikut peraturan.

Mereka juga, kata Mapim, tidak mempunyai kelayakan untuk mengendalikan kursus tersebut.

Menurut Hanafi, tindakan kerajaan menyerahkan pengurusan lesen tersebut kepada syarikat yang bukan institut memandu juga dianggap melanggar peruntukan Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Katanya tindakan kerajaan itu tidak wajar kerana dibuat secara tiba-tiba.

Sedangkan, katanya, mereka sudah melakukan tugasan tersebut selama lebih 20 tahun.

“Kebanyakan mereka (syarikat pengurusan lesen) adalah syarikat sendirian berhad dan tidak dilesenkan mengikut keperluan undang-undang sedia ada," katanya.

Justeru kata Hanafi Kementerian Pengangkutan mestu menarik balik arahan tersebut supaya ia tidak melanggar mana-mana peraturan.

Pada 17 Mei lalu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, mengumumkan pihak kerajaan akan memberi kelonggaran kepada pemandu e-kelui untuk menjalani kursus dalam talian bagi mendapatkan lesen PSV sebelum 12 Julai.

Bagaimanapun, kebenaran itu diberi bersyarat iaitu pemandu e-kelui perlu menghabiskan kursus yang diperuntukkan iaitu selama 6 jam.

Wednesday, May 22, 2019

BUMI PAHANG MENANGIS SAMBUT KEPULANGAN SULTAN AHMAD SHAH

KUANTAN, 22 Mei (Bernama) -- Bumi Pahang seakan 'menangis' menyambut kepulangan Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah Al-Musta'in Billah ibni Almarhum Sultan Abu Bakar yang mangkat di ibu negara hari ini.

Sejak petang tadi, cuaca mendung, sebelum gerimis membasahi ruang udara Pangkalan Udara Kuantan di sini, semasa pesawat khas yang membawa jenazah almarhum dari Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang mendarat pada 7.25 petang.

Selain kerabat diraja, turut berada di pangkalan itu untuk menyambut ketibaan jenazah almarhum ialah Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Setiausaha Kerajaan negeri Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak dan Mufti Pahang Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman.

Turut kelihatan ialah bekas Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob, barisan anggota Mesyuarat Kerajaan Negeri dan wakil-wakil rakyat negeri ini.

Jenazah almarhum seterusnya dibawa ke Istana Abu Bakar di Pekan, dekat sini dengan van jenazah pada 7.50 petang dengan diiringi tujuh motosikal Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Tengku Arif Temenggong Pahang Tengku Abdul Fadh Mu'adzam Shah yang merupakan anakanda bongsu almarhum yang sebelum itu mengiring pergerakan jenazah dari Istana Negara dilihat turut menaiki van jenazah.

Sultan Ahmad Shah mangkat pada usia 88 tahun di Institut Jantung Negara (IJN) di Kuala Lumpur pada 8.50 pagi, dan akan dimakamkan di Makam Diraja di Pekan, selepas Zohor esok.

Baginda merupakan Sultan Pahang kelima dan ayahanda kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustaffa Billah Shah.

Sunday, May 19, 2019

GRAB LAKSANA KURSUS PSV PERCUMA TUTUP PERIUK NASI INSTITUT MEMANDU



    KUALA LUMPUR: Persatuan institut latihan memandu membantah keputusan kerajaan yang membenarkan syarikat e-hailing melaksanakan kursus lesen Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) secara atas talian.

    Pengerusi (Pro-tem) Jawatankuasa Bertindak (Gabungan) Pusat Latihan Memandu Malaysia, Hanafi Mat Zin, berkata kerajaan tidak berbincang dengan institut latihan memandu terlebih dahulu sebelum membuat keputusan itu.

    "Kami ada kemudahan mencukupi, litar latihan moden, bilik kuliah serta pengajar berpengalaman. Malah kami menghabiskan kos yang banyak untuk menambah baik sistem dan kemudahan, seperti kehendak pihak berkuasa.

    "Tiba-tiba mereka beri kebenaran kepada syarikat yang tiada pengalaman dalam melaksanakan program ini dan meminggirkan sekolah memandu," katanya kepada Malaysiakini hari ini.

    Hanafi berkata, pihaknya akan mengadakan mesyuarat pada 23 Mei ini untuk menentukan langkah seterusnya.

    Antara syarat yang ditetapkan kepada pemandu e-hailing ialah lesen SPV, pemeriksaan kesihatan, saringan rekod jenayah dan pemeriksaan kenderaan di Puspakom Sdn Bhd (Puspakom).

    Semalam, Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata syarikat e-hailing boleh mengadakan kursus PSV atas talian selagi mengikut modul yang telah ditetapkan kementeriannya.

    Menurut The Star, beliau berkata demikian sebagai mengulas rungutan Persatuan Pemandu Grab Malaysia yang mendakwa sekolah memandu tidak dapat mengendalikan jumlah besar pemandu yang mahu mendapatkan lesen PSV, selain kosnya yang tinggi.

    Kerajaan akan mula menguatkuasakan peraturan baru, termasuk lesen PSV, pada Julai ini.

    Saturday, May 18, 2019

    KESAVAN SERAH KEPADA POLIS SIASAT

    IPOH, 18 Mei (Bernama) -- Anggota Parlimen Sungai Siput, S. Kesavan menyerahkan kepada polis untuk melakukan siasatan berhubung dakwaan yang dihadapinya kerana melakukan gangguan seksual ke atas seorang wanita.

    Kesavan berkata, beliau akan memberi keterangan kepada pihak berkuasa dan memberi kerjasama sepenuhnya dalam siasatan yang bakal dijalankan termasuk menyerahkan bukti berkaitan kepada polis.

    Pada sidang media hari ini, Kesavan mengakui mengenali wanita itu sekitar tahun 2017 semasa mengendalikan kempen membantah pemindahan pengundi hantu ke kawasan Dewan Undangan Hutan Melintang semasa beliau menjadi ADUN kawasan itu.

    "Saya dihubungi oleh wanita terbabit yang pada ketika itu memaklumkan mahu membantu kempen saya bagi menghalang pemindahan pengundi hantu ke kawasan DUN Hutan Melintang.

    "Saya menerima tawaran bantuan itu dengan terbuka kerana dia mahu menjadi seorang sukarelawan yang mahu membantu kempen saya, seperti juga ramai sukarelawan parti yang lain," katanya.

    Jelas Kesavan, lama kelamaan, wanita itu mulai campur tangan dalam hal rumahtangga dan memburuk-burukkan isterinya.

    “Menjelang September 2018, saya mula menjadi kurang selesa dengan kelakuan wanita berkenaan yang mula berubah dari seorang yang mengaku mahu menjadi kawan, kepada seorang yang mula mempunyai perasaan terhadap saya.

    "Sejak beberapa bulan lepas, dia mula mengaku bahawa dia pembantu khas saya. Dia menelefon pegawai-pegawai kerajaan (termasuk Penolong Pegawai Daerah) dan memberi arahan bagi pihak saya, yang tidak disenangi pegawai-pegawai kerajaan," katanya.

    Menjelas lebih lanjut, Kesavan berkata kerana enggan memalukan wanita berkenaan yang sudah mempunyai suami dan dua anak, beliau tidak mahu membesarkan hal itu.

    Katanya, selepas berbincang dengan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli, beliau membuat satu laporan polis di Ibu Pejabat Polis Sungai Siput pada 4 Mei lepas.

    Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Supt Mohd Khaizam Ahmad Shahabudin ketika dihubungi hari ini mengesahkan menerima laporan itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan.

    -- BERNAMA

    Friday, May 17, 2019

    DATUK ROHAIZAT DITAHAN KERANA TIPU PELABUR



    KLANG - Polis berjaya membanteras kegiatan penipuan skim pelaburan yang dipercayai tidak wujud menerusi penahanan tiga suspek baru-baru ini.

    Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, pada 5 Mei lalu, pihaknya telah melakukan pemeriksaan di sebuah bilik hotel sekitar Bukit Tinggi, Klang dan menahan seorang suspek yang merupakan ejen kepada sindiket pelaburan tidak wujud dikenali sebagai World Strect Bcom (WSB) atau Pelaburan Jasman.

    Beliau berkata, selepas soal siasat dijalankan, suspek terlibat telah membawa polis ke rumah suspek kedua yang terletak di Kampung Baru Subang pada hari yang sama.

    "Ketika di sana, polis berjaya membuat tangkapan kedua ke atas suspek yang dikenali sebagai Datuk Rohaizat.

    "Dan menerusi soal siasat dia turut mendedahkan suspek utama skim pelaburan tersebut yang dikenali sebagai Adnan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan hari ini.


    Mengulas lanjut, Shamsul Amar berkata, pada 8 Mei polis telah menahan suspek utama terbabit di Kampung Pauh Kubur, Kelantan dengan berpandukan kepada maklumat yang diberikan sebelum ini.

    Beliau berkata, modus operandi yang digunakan oleh ejen pelaburan ini adalah dengan meminta mangsa untuk melabur sehingga RM1,000 dan dijanjikan pulangan sehingga RM1 bilion atas nama WSB untuk tempoh beberapa tahun.

    Polis turut merampas tiga buah kereta mewah bagi membantu siasatan.

    "Malah suspek juga turut mempamerkan barangan mewah bagi menarik perhatian dan meyakinkan mangsa-mangsa mereka," katanya.

    Dalam pada itu, Shamsul Amar berkata, menerusi semakan di Bank Negara Malaysia (BNM) juga mendapati WSB atau pelaburan Jasman itu tidak wujud dan tidak pernah didaftarkan.


    Beliau berkata, pihaknya turut merampas sejumlah 42 pelbagai jenis barangan untuk siasatan lanjut antaranya seperti kereta mewah, jam tangan mewah, wang tunai, beg tangan dan lain-lain lagi.

    "Jumlah kerugian adalah mencecah jutaan ringgit dan polis menganggarkan sekitar 2,000 orang mangsa telah ditipu sejak tahun 2016 lalu oleh skim pelaburan ini," katanya.


    Selain itu, Shamsul berkata, suspek pertama dan kedua ditahan reman sejak 6 Mei lalu sehingga hari ini manakala suspek ketiga pula ditahan sejak 11 Mei sehingga Rabu ini.




    Tambah beliau, polis juga kini sedang giat mengesan empat lagi ejen skim pelaburan tersebut bagi membantu siasatan berhubung kes tersebut.




    "Kesemua suspek akan didakwa selepas ini dan mana-mana mangsa yang melabur dalam pelaburan tidak wujud ini diminta untuk tampil bagi membuat laporan dan membantu siasatan polis," katanya.







    Sunday, May 12, 2019

    DAP MENANG KERANA KERJA KUAT SHAFIE APDAL



    SANDAKAN, 12 Mei (Bernama) -- Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng hari ini memberikan enam sebab DAP menang dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan.

    Menurutnya, DAP terkejut dengan kemenangan besar calonnya Vivian Wong dengan majoriti undi sebanyak 11,521, meskipun terdapat pengurangan yang ketara dalam peratusan keluar mengundi sebanyak 18 peratus daripada 72 peratus pada Pilihan Raya Umum Ke-14.

    “Pertama, keyakinan dan sokongan penuh daripada pengundi Sandakan untuk Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, yang telah bersama-sama turun berkempen dari rumah ke rumah selama berhari-hari dan berucap di dalam banyak ceramah DAP, termasuk 45 minit di ceramah kemuncak (grand finale) di dalam hujan lebat tanpa berpayung.



    “Ramai pengundi Sandakan, termasuk pengundi Melayu dan Muslim, tersentuh dengan semangat beliau untuk berkhidmat, membangunkan dan membawa perubahan untuk menjadikan Sabah lebih baik, lebih makmur dan bersih untuk semua tanpa mengira bangsa atau agama,” katanya dalam kenyataan di sini.



    Sebab kedua yang diberikan oleh Lim, yang juga Menteri Kewangan, ialah keyakinan dan sokongan penuh terhadap kepimpinan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Mohd Shafie sebagai pemimpin satu-satunya gabungan yang berkebolehan dan layak untuk menyatukan, mentadbir dan mewakili semua rakyat Malaysia secara geografi dan demografi.



    “Seperti dibuktikan keputusan PRK Sandakan, pembangkang tidak mampu menandingi kombinasi Warisan, DAP dan Pakatan Harapan dalam mengutamakan kesederhanaan dan menyatukan rakyat Malaysia dengan mewakili semua kaum, agama, dan kawasan.



    “Penolakan politik perkauman yang memecah-belah dan merosakkan, ekstremisme agama, dan korupsi pembangkang ini adalah hadiah terbaik sempena ulang tahun pertama Warisan dan PH memenangi kuasa di peringkat negeri dan kerajaan Persekutuan,” katanya.



    Sebab ketiga ialah sokongan untuk pembangunan berpaksikan rakyat berbanding kapitalisme kroni untuk menjadikan ekonomi Sandakan dinamik semula, manakala sebab keempat ialah penolakan korupsi dan kerajaan kleptokrasi untuk diganti dengan pentadbiran secara baik dan bersih, kata Lim.



    Beliau berkata rakyat sudah letih dan bosan dengan rasuah dan ini merupakan penolakan secara sepenuhnya anggota politik korup yang berkempen di Sandakan, seperti anggota Parlimen Kinabatangan dan mantan perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.



    Lim berkata sebab kelima kemenangan DAP itu ialah sokongan terhadap kerja baik yang dilakukan oleh mantan anggota Parlimen Sandakan Datuk Stephen Wong iaitu bapa Vivian; idealisme dan keutuhan prinsip DAP; dan Vivian sebagai calon yang baik dan melambangkan masa depan dan pemerkasaan wanita dan golongan muda.



    Sebab keenam yang diberikannya ialah jentera pilihan raya DAP dan mobilisasi pemimpin dan anggota, yang mendapat sokongan kuat daripada Warisan dan PH, membenarkan kempen yang menyeluruh diisi dengan tenaga, kepantasan, dan capaian pengundi yang meliputi keseluruhan kawasan parlimen.



    “DAP ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pemimpin dan anggota Warisan, PH, dan DAP yang telah meluangkan masa untuk memberi sokongan dan memungkinkan kemenangan besar yang bersejarah ini berlaku,” katanya.

    Sementara itu di KOTA KINABALU, Ketua Penyelaras Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah Datuk Hajiji Noor berkata kemenangan calon DAP itu membuktikan rakyat menyokong Parti Warisan Sabah, dan kerajaan PH secara umumnya.

    Beliau berkata kemenangan itu juga jelas menunjukkan pengundi di Parlimen Sandakan mahu Vivian Wong meneruskan agenda perjuangan mendiang bapanya Datuk Stephen Wong Tien Fatt yang menyandang kerusi berkenaan sebelum ini.

    “Bersatu Sabah mengucapkan tahniah kepada DAP khususnya Vivian Wong atas kemenangan bermakna ini. Keputusan telah dibuat oleh para pengundi Parlimen Sandakan, maka ia harus dihormati oleh semua pihak,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    "Kita juga berbangga kerana kawasan PDM yang majoriti pengundinya Bumiputera Islam, yang dahulunya calon PH tewas, tetapi kali ini dimenangi oleh PH, seperti di Sim-Sim serta Pulau Berhala, dan ini sekali gus membuktikan pengaruh UMNO merosot, sejak kemasukan Bersatu ke Sabah termasuk di Sandakan,” katanya.

    Di KUCHING, Pengerusi PH Sarawak Chong Chieng Jen pula berkata keputusan PRK itu merupakan satu pengiktirafan oleh penduduk Sandakan terhadap prestasi PH dan kerajaan Warisan sejak kira-kira setahun lepas.

    Beliau berkata walaupun jumlah peratus yang keluar mengundi hanya 54 peratus berbanding 73 peratus pilihan raya umum 2018 lepas, calon DAP menang dengan majoriti lebih besar 11,531 berbanding 10,098 pada pilihan raya lepas.

    “Secara ringkasnya penduduk Sandakan khususnya, penduduk Sabah secara umumnya berpuas hati dengan kerjasama baik antara kerajaan negeri PH/Warisan dengan kerajaan Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan.

    Malah menurut Timbalan Menteri Perdagangan Dalam negeri dan Hal Ehwal Pengguna itu, sejak setahun lepas kerjasama baik antara kerajaan Persekutuan dan Negeri di Sabah, memberikan banyak manfaat kepada penduduk Sabah.

    “Berbeza dengan Sarawak, di mana Gabungan Parti Sarawak (GPS) terus bermain dengan politik dalam semua perkara berkaitan dengan Negeri-Persekutuan, menjadikan banyak inisiatif baik oleh kerajaan Persekutuan terjejas, atau malah disabotaj. Natijahnya rakyat Sarawak dinafikan banyak manfaat daripada inisiatif kerajaan Persekutuan,” kata beliau yang juga Pengerusi DAP Sarawak.

    Di KUANTAN, Ketua Sekretariat PH Datuk Saifuddin Abdullah pula menyifatkan kejayaan di Sandakan sebagai suntikan semangat parti selepas tewas dalam tiga PRK berturut-turut.

    Dalam mengucapkan terima kasih kepada semua pengundi Sandakan, beliau bagaimanapun berkata kejayaan itu tidak boleh dianggap sebagai bukti mutlak kekuatan PH, menjadikan mereka perlu terus bekerja keras.

    "Kita bersyukur dengan kemenangan ini kerana ia memberi suntikan semangat kepada komponen dalam PH. Ia penting tetapi kita kena bekerja lebih kuat dan jangan anggap semuanya OK," kata beliau yang juga Menteri Luar kepada pemberita selepas menyampaikan Sumbangan Bantuan Parlimen Indera Mahkota di Kuantan, Pahang, hari ini.

    Pada majlis itu, Saifuddin menyampaikan bantuan berjumlah RM50,000 kepada 14 penerima antaranya kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah, sekolah Orang Kelainan Upaya (OKU) dan badan bukan kerajaan (NGO) dari sekitar Parlimen Indera Mahkota.

    Di BUTTERWORTH, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata kemenangan itu memberikan satu isyarat bahawa rakyat Sabah mahukan hak-hak mereka dikembalikan seperti asal, dengan kedudukan Sabah dan Sarawak pulih seperti mana dalam Perlembagaan Persekutuan berhubung Perjanjian Malaysia 1963 (MA 63).

    "Kerajaan dibawah pimpinan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad telah cuba membuat pindaan perlembagaan namun digagalkan oleh pihak pembangkang dalam parlimen," katanya selepas menghadir Majlis Berbuka Puasa dan penyampaian sumbangan kepada masjid dan surau di Masjid Jamek Kubang Buaya, hari ini.

    "PRK satu kemenangan yang mengejutkan kerana kami tidak sangka boleh menang begitu besar sungguh pun peratusan keluar undi turun 18 peratus tetapi majoriti kemenangan masih boleh naik hampir lapan peratus," kata Menteri Kewangan itu.

    -- BERNAMA

    Friday, May 10, 2019

    900 KES BUANG BAYI SEJAK 2013

    KUALA LUMPUR, 10 Mei (Bernama) -- Kira-kira 100,000 kes remaja perempuan hamil bawah umur 19 tahun dilaporkan sejak 2013 sehingga kini, kata Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Hannah Yeoh.

    Beliau berkata selain itu terdapat kira-kira 900 kes pembuangan bayi dilaporkan bagi tempoh sama.

    "Daripada 900 kes pembuangan bayi yang dilaporkan, hanya 30 peratus daripada jumlah bayi itu masih bernyawa. Justeru, kerajaan kini sedang giat melaksanakan pelbagai usaha bagi menangani masalah itu,” katanya.

    Bercakap kepada pemberita selepas menjadi tetamu program bual bicara 'The Nation' terbitan Bernama News Channel di Wisma Bernama di sini hari ini antaranya usaha itu ialah kerjasama dengan Kementerian Pendidikan menambah baik silibus pendidikan seksual di sekolah yang perlu diikuti sejak remaja berusia 13 tahun.

    "Pada masa ini ia dikenali sebagai Pendidikan Jasmani dan Kesihatan. Silibus bagi pendidikan seksual itu mula diajar kepada pelajar pada usia 15 tahun tetapi berdasarkan statistik Kementerian Kesihatan, gadis dan lelaki pada usia semuda 13 tahun sudah mula melakukan perkara yang tidak dingini,” katanya.

    Beliau berkata ibu bapa juga perlu memainkan peranan memantau aktiviti anak-anak mereka di luar dan di dalam rumah kerana mereka mempunyai akses kepada dunia luar melalui telefon pintar dan internet.

    Yeoh yang juga Anggota Parlimen Segambut berkata kementeriannya juga sedang mengenalpasti hotspot kes-kes yang berlaku dan menunggu dapatan pemetaan daripada pihak polis serta perkongsian data daripada beberapa kementerian lain agar langkah yang lebih berkesan dapat dilakukan.

    "Kita masih menunggu maklumat daripada polis kerana `mapping and data sharing' ini sangat penting untuk mengetahui di mana hotspot mereka sama ada di dalam atau luar bandar...jika di bandar adakah di kawasan perumahan kos rendah atau kos mewah," jelasnya.

    Dalam perkembangan lain, Yeoh berkata setakat ini sebanyak 191 nama disemak menerusi Sistem Semakan Pesalah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak Dalam Daftar Kanak-Kanak (eDKK) sejak sistem itu diperkenalkan bulan lepas.

    Katanya, perkhidmatan semakan secara percuma itu disediakan bagi memudahkan mana-mana individu atau organisasi yang menguruskan kanak-kanak menyemak rekod jenayah seksual pekerja atau bakal pekerja mereka seperti pengasuh atau guru taska.

    -- BERNAMA

    Thursday, May 9, 2019

    MAJLIS SENATOR MALAYSIA TOLAK CADANGAN BAWA BTS KE MALAYSIA

    KUALA LUMPUR, 9 Mei (Bernama) -- Majlis Senator Malaysia sebulat suara tidak bersetuju dengan cadangan Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang berhasrat membawa kumpulan penyanyi popular dari Korea Selatan iaitu BTS ke negara ini sempena Tahun Melawat Malaysia 2020.

    Presidennya, Datuk Seri Khairudin E.S Abd Samad berkata cadangan itu dilihat kurang bijak dalam mempromosikan kepelbagaian budaya tempatan termasuklah industri muzik kepada pelancong asing.

    "Dasar kita (kerajaan) sekarang adalah untuk memberi peluang pekerjaan kepada orang tempatan, maka, kita juga perlu menumpukan kepada artis-artis tempatan...jadi mengapa perlu bawa artis daripada luar negara kerana itu tidak wajar untuk promosi budaya kita sempena tahun melawat Malaysia.

    "Kita nak memperkenalkan negara kita, seharusnya kita mempelbagaikan lagi segalanya daripada penggiat-penggiat tempatan, termasuk artis-artis tempatan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri persidangan Dewan Negara, di sini hari ini.

    Tambahnya, perkara ini akan dikemukakan terus kepada pihak kementerian yang terlibat, terutamanya Kementerian Belia dan Sukan, dalam masa terdekat.

    April lepas, Syed Saddiq dilaporkan berkata dengan kedatangan BTS, ia mampu menarik lebih ramai pelancong asing dan dilihat sebagai satu pelaburan yang menguntungkan buat negara serta mengubah trend agar Malaysia menjadi pilihan destinasi konsert antarabangsa.

    -- BERNAMA

    Wednesday, May 8, 2019

    PENGGUNA JET PERIBADI ATAU HELIKOPTER DIKENAKAN LEVI PELEPASAN

    KUALA LUMPUR, 8 Mei (Bernama) -- Levi pelepasan dicadang dikenakan kepada mana-mana individu yang keluar dari negara sepertimana diumum dalam Belanjawan 2019, dicadang dikuat kuasa mulai 1 Julai ini, Dewan Negara diberitahu hari ini.

    Timbalan Menteri Kewangan Datuk Amiruddin Hamzah ketika membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Levi Pelepasan 2019 untuk bacaan kali kedua bagaimanapun menegaskan bahawa levi itu hanya akan dikenakan kepada mereka yang menggunakan pengangkutan udara sahaja.

    Beliau berkata ini termasuk melibatkan jet peribadi atau helikopter, sama ada secara sewa khas ataupun ‘chartered’.

    “Pengecualian akan dikenakan kepada orang yang meninggalkan Malaysia dengan berjalan kaki atau memandu sendiri kenderaan, seperti motosikal, kereta, (menaiki) bot, feri, memandu sendiri kapal terbang atau anak kapal ataupun krew kabin yang sedang bertugas.” katanya pada persidangan Dewan Negara, di sini hari ini, sebelum RUU berkenaan diluluskan dengan suara majoriti.

    Beliau berkata kadar levi dicadang adalah RM20 bagi mereka yang keluar ke negara ASEAN dan RM40 ke negara lain, namun terdapat cadangan agar kadar itu disemak agar lebih bersifat adil, umpamanya mengambil kira kelas penerbangan penumpang.

    “Sehubungan itu, kajian sedang dijalankan untuk tentukan kadar levi paling bersesuaian untuk dikenakan, dan cadangan kadar melalui kajian ini akan dikemukakan kepada jemaah menteri untuk kelulusan, sebaik diluluskan ia akan diwartakan,” katanya.

    Amiruddin berkata pengecualian levi pelepasan turut diberikan kepada bayi berusia 24 bulan ke bawah, dan penumpang transit tanpa mengira tempoh transit.

    Bagi pengecualian untuk mereka yang ke luar negara atas urusan agama, beliau berkata perbincangan lanjut akan dijalankan di peringkat jemaah menteri sebelum diputuskan.

    Sementara itu, Dewan Negara turut meluluskan RUU Sivil (Pindaan) 2018 yang mencadangkan supaya kategori pihak boleh membuat tuntutan ganti rugi bagi kehilangan pendapatan, kecederaan diri dan juga kesedihan diperluaskan antara lain membolehkan Orang Kelainan Upaya menuntut ganti rugi selepas kematian penanggung.

    Selain itu, RUU Cukai Jualan (Pindaan) 2019 yang juga diluluskan, yang memberi fokus kepada peruntukan penalti bagi sesuatu kesalahan bagi mana-mana orang yang mengelak cukai jualan ke atas barang bercukai diimport.

    Turut diluluskan RUU Cukai Perkhidmatan (Pindaan) 2019, yang antara lain akan memperkenalkan cukai perkhidmatan digital pada kadar enam peratus yang akan turut dikenakan ke atas syarikat luar negara yang menawarkan perkhidmatan digital dalam negara.

    Persidangan bersambung esok.

    -- BERNAMA

    Tuesday, May 7, 2019

    CERMIN SISI DAN CERMIN BELAKANG DIBENARKAN GELAP SEPENUHNYA

    PUTRAJAYA, 7 Mei (Bernama) -- Mulai esok (8 Mei), cermin sisi dan cermin belakang bahagian penumpang kenderaan persendirian dibenarkan gelap sepenuhnya, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook.

    Peraturan semasa cermin gelap bagi cermin bahagian tersebut ditetapkan pada kadar 30 peratus.

    Loke bagaimanapun berkata peraturan sedia ada bagi cermin hadapan dan cermin sisi bahagian pemandu kekal iaitu pada kadar 70 peratus dan 50 peratus.

    "Dengan ini, cermin sisi dan belakang untuk penumpang boleh hitam semua dengan syarat kenderaan itu dilengkapi dengan cermin pemantul kanan dan kiri (side mirrors). Tiada lagi sekatan.

    "Ramai yang minta kita longgarkan (peraturan) untuk berikan (cermin) lebih gelap supaya tahan haba dan kita ambil pertimbangaan itu. Tetapi kita tidak boleh kompromi dengan cermin hadapan dan sisi bahagian pemandu, kita kekalkan peraturan sedia," katanya selepas mesyuarat bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), di sini hari ini.

    Loke menegaskan penggunaan lapisan filem atau cermin yang lebih gelap di bahagian pemandu akan mengganggu kebolehan pemandu untuk melihat dan mengawal kenderaan dengan selamat.

    "Ini meningkatkan risiko berlakunya kemalangan terutamanya dalam keadaan waktu kurang cahaya sama ada disebabkan oleh hujan atau pemanduan di waktu malam,” katanya.

    Loke berkata pemilik kenderaan boleh memohon untuk menggunakan cermin yang lebih gelap untuk bahagian pemandu atas sebab yang khusus seperti faktor keselamatan dan kesihatan, dengan dikenakan fi perkhidmatan untuk setiap permohonan.

    “Bagi setiap permohonan yang dikemukakan atas faktor keselamatan akan dikenakan fi perkhidmatan sebanyak RM50. Setiap permohonan yang diluluskan pula akan dikenakan fi sebanyak RM5,000 untuk tempoh selama dua tahun,” katanya.

    Loke berkata individu yang telah diluluskan penggunaan cermin yang gelap perlu memohon semula apabila tempoh sah laku tamat dan dikenakan fi yang sama bagi setiap permohonan.

    Kenaan fi tersebut dijangka memberi kira-kira RM6 juta setahun kepada pendapatan kerajaan, katanya.

    "Permohonan pengecualian di atas faktor kesihatan hendaklah mendapat pengecualian bertulis daripada pakar perubatan kerajaan dan akan dikecualikan daripada sebarang kenaan fi,” kata Loke.

    Menurut Loke, kerajaan terdahulu meluluskan sebanyak 5,469 permohonan untuk cermin gelap daripada tahun 2011 hingga 2018 tanpa kenakan fi.

    “Saya tengok balik profil orang yang mendapat kelulusan, kebanyakannya adalah orang yang berkemampuan atas alasan faktor keselamatan. Jadi saya rasa golongan ini adalah golongan yang mampu, dan kalau dikenakan fi, ia mampu memberi pendapatan kepada kerajaan,” katanya.

    “Sekarang sesiapa yang ingin memohon atas faktor tertentu, dia boleh mohon dari JPJ,” katanya, sambil menambah satu jawatankuasa khas yang dipengerusikan Ketua Pengarah JPJ Datuk Shaharuddin Khalid akan ditubuhkan dan bermesyuarat setiap bulan untuk memproses permohonan cermin gelap.

    “Permohonan tersebut mesti ada beberapa syarat iaitu ada alasan yang diberikan, dan seterusnya permohonan akan dihantar kepada pihak polis untuk proses vetting. Kalau ada kes jenayah, ia akan terus ditolak, dan juga semua tunggakan saman mesti dibayar dahulu,” kata Loke.

    Ditanya tentang kenderaan yang telah dipasang cermin gelap, Loke berkata semua kenderaan yang bercermin gelap adalah haram dan mereka perlu membuat permohonan balik.

    "Terdapat kira-kira 20,000 yang diluluskan untuk tiga tahun sejak 2011 dan kebanyakannya telah melepasi tempoh. Oleh itu semua permit perlu dibaharui, jika tidak mereka akan disaman RM300 jika cermin gelap tidak lulus standard ditetapkan,” katanya.

    Loke berkata pindaan ke atas peraturan penggunaan lapisan filem atau cermin gelap digariskan dalam kaedah-kaedah kenderaan motor (Larangan Mengenai Jenis-Jenis Kaca Tertentu) 1991 dan ia juga selari dengan peraturan UN Regulation No 43: Uniform Provisions Concerning the Approval of Safety Glazing Materials and Their Installation on Vehicles.

    --BERNAMA

    Monday, May 6, 2019

    PM BERI 5 MARKAH DARIPADA 10 KEPADA MENTERI KABINETNYA

    PUTRAJAYA, 6 Mei (Bernama) -- Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mengulangi bahawa beliau tidak akan merombak kabinetnya dan memberi sokongan 100 peratus kepada pasukannya.

    "Mereka telah menunjukkan prestasi baik, tiada sebab untuk saya merombak kabinet," kata beliau.

    Bercakap pada sidang media khas sempena ulang tahun pertama kerajaan Pakatan Harapan, Perdana Menteri mengakui bahawa kebanyakan menterinya orang baru dan kurang berpengalaman ketika mereka mula-mula dilantik ke jawatan masing-masing.

    "Tambahan pula, mereka sangat takut dituduh melakukan kesalahan.

    "Ini menyebabkan mereka sukar hendak membuat keputusan tetapi mereka cepat belajar," kata Dr Mahathir.

    Apabila diminta memberi penilaian terhadap prestasi para menterinya, Dr Mahathir berkata beliau memberi mereka lima markah daripada 10 kerana beliau sangat konservatif.

    "Kadang-kadang mereka melakukan sesuatu perkara tanpa merujuk pandangan saya terlebih dahulu, itu tidak sepatutnya dilakukan. Ia menyebabkan timbul beberapa masalah kecil. Tapi mereka belajar...

    "Kadang-kadang mereka mendapat publisiti buruk daripada tindakan mereka itu, kemudian mereka datang berjumpa saya untuk bertanyakan apa yang patut dilakukan. Saya akan dengar apa yang mereka katakan dan memberikan penilaian,” kata beliau.

    Dr Mahathir berkata sebagai Perdana Menteri beliau cuba mengajar dan membimbing mereka dan beliau yakin mereka akan menunjukkan prestasi yang dapat menyamai orang berpengalaman jika mereka diberi masa.

    -- BERNAMA

    Sunday, May 5, 2019

    HUJAN TAK HALANG RAKYAT BERHIMPUN BERHAMPIRAN KOMPLEKS SOGO



    KUALA LUMPUR 4 Mei - Walaupun cuaca mendung dan menunjukkan tanda-tanda hendak hujan tidak menghalang hampir 5,000 peserta pelbagai peringkat umur untuk berhimpun pada Himpunan Pertahankan Kedaulatan Islam dan Perlembagaan berhampiran Kompleks Sogo di sini hari ini.


    Kesemua peserta dilihat bersabar menunggu pada perhimpunan itu dan sepakat mengenakan pakaian serba putih yang melambangkan kesucian Islam.

    Himpunan bermula dari Masjid Jamek Kuala Lumpur pada kira-kira pukul 1.30 tengah hari tadi dan para peserta turut menunaikan solat Zuhur secara berjemaah.

    Kemudiannya, perarakan bermula dari masjid berkenaan sehingga ke pekarangan Jalan Tuanku Abdul Rahman berhampiran Kompleks Sogo.

    Laungan takbir gema berkumandang di sepanjang perarakan diadakan serta diselangi slogan;

    Hidup hidup!, hidup Islam!, bangkit bangkit!, bangkit ummah!.

    Himpunan itu turut disertai Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki;Ketua Penerangan UMNO, Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah;dua Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dan Datuk Lokman Noor Adam serta Naib Ketua UMNO Bahagian Seputeh, Datuk Mohd. Razlan Rafii.

    Sementara dari Pas disertai Timbalan Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

    Himpunan Pertahankan Kedaulatan Islam dan Perlembagaan dianjurkan Gerakan Pembela Ummah.


    Kira-kira 1,000 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk dua parti politik iaitu Pas dan UMNO menunjukkan komitmen untuk menyertai perhimpunan tersebut.

    Saturday, May 4, 2019

    RAMAI TAK YAKIN DENGAN KREDIBILITI MAT SABU SEBAGAI MENTERI PERTAHANAN

    KUALA LUMPUR, 4 Mei (Bernama) -- Tatkala Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menamakan Mohamad Sabu sebagai Menteri Pertahanan, ada segelintir masyarakat pada mula-mulanya seakan tidak yakin dengan kredibiliti pemimpin itu kerana berasakan perwatakan beliau tidak sesuai dengan portfolio berkenaan.

    Apa tidaknya, figura yang lebih mesra dengan panggilan Mat Sabu itu cukup dikenali dengan lawak dan gelak tawanya, berlawanan dengan imej yang sering difikirkan untuk seorang Menteri Pertahanan; tegap, garang dan tegas.

    Namun, setahun sudah memegang jawatan berkenaan terbukti pelbagai inisiatif dan penambahbaikan tadbir urus kementerian itu dibawa beliau secara agresif, termasuklah mengarahkan penyiasatan terhadap projek serta perolehan aset yang mencurigakan.

    Mohamad, menjadikan Kementerian Pertahanan sebagai kementerian pertama disiasat oleh Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan yang diketuai oleh bekas Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang.

    Hasil siasatan jawatankuasa itu mendedahkan bahawa kerajaan mengalami kerugian lebih RM500 juta bagi urus niaga ‘land swap’ membabitkan tanah milik kementerian itu semasa pemerintahan Barisan Nasional dahulu.

    Kementerian Pertahanan di bawah pimpinan Mat Sabu juga ‘memecah rahsia’ Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) sebenarnya mengalami kerugian terkumpul menjangkau RM31.6 juta pada 2017, berbanding keuntungan RM259.99 juta seperti yang diumumkan sebelum ini.

    “LTAT sebenarnya rugi tetapi diisytihar untung kerana penjualan tanah yang berlaku pada 2017 belum lagi selesai dimasukkan ke akaun 2017… jadi kita ‘react’ terhadap laporan audit dengan membetulkannya,” katanya kepada media di Wisma Pertahanan baru-baru ini.

    Rombakan juga dibuat pada badan pengurusan yang menyaksikan bekas Ketua Pegawai Pelaburan (CIO) Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) Nik Amlizan Mohamed dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif LTAT menggantikan Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin yang meletakkan jawatan.

    Bagi memantapkan perolehan pertahanan, Mohamad berkata: “Ia akan dibuat mengikut keperluan dan kemampuan kewangan. Juga biarlah pakar dalam ATM menentukan jenis peralatan atau perolehan aset apa yang diperlukan atau mahu diperbaharui, bukannya anggota politik atau pihak tertentu.”

    Menurut Mohamad, buat pertama kalinya juga negara bakal menyediakan Kertas Putih Pertahanan, menggariskan hala tuju dan komitmen kerajaan khususnya Kementerian Pertahanan terhadap dasar pertahanan negara, yang akan dibentangkan di Parlimen Oktober depan.

    “Ini adalah projek yang tidak memakan belanja besar, yang kita rangka untuk sepuluh tahun ataupun lebih jauh dari itu… ia kini berada dalam peringkat ‘tuning’ akhir… kita sudah membuat dialog dan berkongsi fikiran dengan semua pihak berkaitan termasuklah mereka dalam industri pertahanan, cendekiawan dan pakar-pakar,” katanya.

    Menteri pertahanan itu berkata penglibatan pasukan pertahanan apabila berlaku bencana alam di dalam negara dan di luar negara turut terkandung dalam kertas putih itu

    Mohamad juga berkata selaras dengan dasar berkecuali Malaysia, Kementerian Pertahanan juga telah menarik balik penglibatan anggota tentera yang ditempatkan di negara Timur Tengah bagi mengelakkan negara tersepit dalam konflik rantau itu.

    Selain itu, katanya, amalan pengurniaan pangkat kehormat dan pemakaian seragam tentera di kalangan anggota politik serta selebriti dihentikan serta-merta bagi menghormati jasa dan pengorbanan tentera yang telah bersusah payah berkhidmat selain bagi mengelakkan nilai pangkat dan gelaran pasukan itu direndahkan.

    Kebajikan veteran ATM juga tidak pernah disisihkan. Buktinya, tambahan peruntukan hampir RM20 juta, daripada RM78.914 juta kepada RM98 juta disalurkan untuk Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) bagi urusan hal ehwal dan kebajikan veteran melalui Bajet 2019.

    Katanya, yang terbaharu, bantuan khas RM500,000 kepada Persatuan Bekas Tentera untuk diagihkan kepada yang berdaftar di bawah JHEV, selain memperkenalkan Bantuan Harapan Negara iaitu pemberian RM500 secara one-off kepada 159,368 orang veteran ATM berpencen dan tidak berpencen dalam kategori B40, menjelang Hari Raya Aidilfitri.

    Kejayaan setahun Kementerian Pertahanan juga dilengkapi dengan Pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2019 pada Mac lepas, yang menyaksikan nilai kontrak dan perjanjian persefahaman MoU ditandatangani mencapai RM4 billion dan menurut Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad adalah antara yang terbaik pernah dianjurkan.

    Ketika ditanya adakah beliau berpuas hati akan prestasi setahunnya, Mohamad berkata “Saya belum berpuas hati, banyak perkara lagi yang perlu ditingkatkan dan supaya kita dapat seboleh-bolehnya menggunakan wang kerajaan dan rakyat sebaik-baik mungkin untuk pertahanan dan keselamatan negara.”

    -- BERNAMA

    Friday, May 3, 2019

    PERANG POSTER DAN BENDERA PRK SANDAKAN HAMBAR

    SANDAKAN, 3 Mei (Bernama) -- Genap seminggu hari ini sejak kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan bermula namun 'perang' bendera antara calon bertanding kelihatan hambar.

    Tinjauan Bernama mendapati tidak banyak bahan kempen seperti poster, gegantung dan bendera yang dipasang.

    Hanya sesetengah kawasan sahaja dipenuhi bahan kempen daripada calon ataupun parti yang bertanding.

    Di Kampung Sim-Sim tinjauan mendapati hanya bendera dan poster daripada calon DAP, Vivian Wong Shir Yee dan Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Linda Tsen Thau Lin yang dipasang.

    Di kawasan lain ialah Bandar Letat yang menampilkan poster wajah calon Bebas, Chia Siew Yung.

    Penduduk Kampung Sim-Sim Rohani Mohd Ismail, 28, berkata pendekatan calon yang berkempen dari rumah ke rumah mungkin lebih berkesan mendekati pengundi.

    "Di sini (Sim-Sim)memang nampak banyak bendera kerana ini kawasan kampung dan semua calon berkempen dalam keadaan yang baik," katanya kepada Bernama.

    Dalam pada itu, ada yang berpendapat banyaknya bendera itu bukan penentu kepada kemenangan kepada setiap calon.

    Menurut Abdul Hamid Fattah, 40, undi adalah rahsia bagi setiap individu kerana negara mengamalkan sistem demokrasi.

    Beliau berkata siapa pun yang menang dalam PRK bagi Parlimen Sandakan, perkara utama yang perlu disediakan ialah membuka peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.

    "Kita tidak minta duit tetapi hanya sediakan peluang pekerjaan kerana ramai graduan institusi pengajian tidak mempunyai pekerjaan," katanya.

    PRK Parlimen Sandakan menyaksikan pertandingan lima penjuru antara calon DAP, PBS dan tiga calon Bebas termasuk bekas Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Sabah, Hamzah Abdullah dan bekas pembantu tadbir di Pusat Khidmat Parlimen Sandakan, Sulaiman Abdul Samat.

    Parlimen Sandakan mempunyai dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Tanjong Papat dan Elopura dengan jumlah 40,131 pemilih layak mengundi, termasuk 270 pengundi awal dan lima pengundi tidak hadir kerana berada di luar negara.

    Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian awal pada 7 Mei dan mengundi pada 11 Mei ini.

    -- BERNAMA

    Thursday, May 2, 2019

    HAMZAH DIINGATKAN JANGAN BABITKAN NAMA PARTI AMANAH

    SANDAKAN, 2 Mei (Bernama) -- Parti Amanah Negara (Amanah) tidak menghalang bekas pengasas Amanah Sabah, Hamzah Abdullah untuk bertanding sebagai calon Bebas pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sandakan selagi tidak membabitkan parti itu dalam kempennya, kata Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Abdul Samad hari ini.

    “Kita menghormati keputusannya (Hamzah) untuk keluar daripada Amanah dan bertanding sebagai calon Bebas. Itu adalah haknya.

    “Tetapi saya berharap Hamzah menentukan supaya nama Amanah tidak dibabitkan (dalam kempen Hamzah),” katanya kepada pemberita selepas melawat Taman Hutan Hujan Tropika Sandakan di sini.

    Pada Selasa lepas, Amanah Sabah membuat laporan polis terhadap Hamzah mendakwa melihat beberapa individu berkempen mengedarkan risalah calon Bebas itu memakai baju yang mempunyai logo parti Amanah di Pasar Kim Fung, Batu 4 di sini.

    Khalid, yang juga Menteri Wilayah Persekutuan, turut menegaskan parti itu menyokong calon DAP Vivian Wong Shir Yee pada PRK Sandakan dan tidak menganggap DAP sebagai musuh kepada umat Islam dan masyarakat Melayu.

    “Itu hanya mainan politik yang berlaku di Semenanjung. Kita berharap di Sabah tidak akan menjadi satu isu,” tambahnya.

    PRK Sandakan pada 11 Mei ini menyaksikan persaingan lima penjuru melibatkan Wong, Hamzah, calon Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Linda Tsen Thau Lin dan dua lagi calon Bebas – ahli perniagaan Chia Siew Yung dan bekas Pembantu Tadbir Pusat Khidmat Parlimen Sandakan, Sulaiman Samat.

    PRK Sandakan diadakan susulan kematian penyandang kerusi Parlimen Sandakan Datuk Stephen Wong Tien Fatt daripada DAP pada 28 Mac lepas.

    Terdahulu, Khalid menghadiri talkimat mengenai perkembangan pembangunan Taman Hutan Hujan Tropika Sandakan dan taman awam Ujana Elopura oleh Ketua Pengarah Jabatan Landskap Negara Rotina Mohd Daik.

    Menurut Khalid, kementeriannya akan berusaha mendapatkan peruntukan tambahan bagi membolehkan jabatan itu untuk terus menyumbang kepada usaha mengindahkan landskap negara.

    ”Saya rasa kawasan ini (taman hutan dan taman awam) perlu dipertahankan dan dijaga dan dibangunkan lagi untuk memberi manfaat kepada rakyat, terutama penduduk Sandakan,” katanya.

    Rotina berkata Taman Hutan Hujan Tropika Sandakan seluas 148.6 hektar dibangunkan oleh Jabatan Landskap Negara pada 2003 dengan kos RM1.9 juta dan pengurusannya diambil alih oleh Jabatan Perhutanan Sabah pada 2004 yang menyuntik RM3.3 juta untuk mengindahkan lagi dan menaik taraf kemudahan di taman itu.

    Beliau berkata taman awam Ujana Elopura berkeluasan 11.3 hektar dibangunkan dengan kos hampir RM3.4 juta pada 2016 dan pengurusannya diambil alih oleh Majlis Perbandaran Sandakan pada tahun berikutnya (2017).

    -- BERNAMA

    Wednesday, May 1, 2019

    BEKAS PENGASAS AMANAH SABAH MAHU KEKAL BEBAS BERSUARA

    SANDAKAN, 1 Mei (Bernama) -- Calon Bebas bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Sandakan, Hamzah Abdullah mahu bebas bersuara dalam memperjuangkan hak rakyat tanpa terikat dengan mana-mana parti politik.

    “Saya akan kekal bebas, saya tidak akan menyertai mana-mana parti.

    “Jika pengundi di Sandakan memilih saya, saya akan menggadaikan nyawa saya untuk mempertahankan hak rakyat,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

    Anggota perniagaan berumur 65 tahun itu turut sebak mengenangkan masalah rakyat yang belum diatasi, khususnya dari segi cabaran ekonomi, selama berkecimpung dalam arena politik.

    Hamzah berkata beliau telah berkecimpung dalam arena politik sejak lebih 30 tahun semasa dengan PAS dan kemudian, membantu mengasaskan Parti Amanah Negara (Amanah) di Sabah pada 2015, namun kini memilih untuk berkhidmat kepada rakyat tanpa parti.

    Menurutnya, beliau mahu bebas untuk bersuara di Parlimen jika dipilih menjadi wakil rakyat nanti agar kerajaan tahu masalah rakyat yang sebenar.

    Antara isu yang diperjuangkannya ialah masalah pengeluaran dokumen pengenalan diri kepada warganegara tulen, khususnya daripada kalangan masyarakat miskin dan pedalaman.

    Hamzah berhadapan persaingan lima penjuru pada PRK pada 11 Mei ini menentang calon DAP Vivian Wong Shir Yee, calon Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Linda Tsen Thau Lin dan dua lagi calon bebas – anggota perniagaan Chia Siew Yung dan bekas pembantu tadir Pusat Khidmat Parlimen Sandakan, Sulaiman Samat.

    PRK Sandakan diadakan susulan kematian penyandang kerusi Parlimen Sandakan Datuk Stephen Wong Tien Fatt daripada DAP pada 28 Mac lepas,

    -- BERNAMA