Tuesday, May 28, 2019

KHOO KAY KIM ENSIKLOPEDIA BERGERAK SEJARAH MALAYSIA

KUALA LUMPUR, 28 Mei (Bernama) -- Negara kehilangan tokoh sejarawan yang sarat menyimpan rentetan lipatan peristiwa penting sejak negara meniti kemerdekaan dengan perginya Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim.

Mendiang meninggal dunia pada usia 82 tahun akibat jangkitan paru-paru di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) di sini, kira-kira 10.13 pagi tadi, meninggalkan isteri Puan Sri Rathi Khoo, 75, serta tiga orang anak, Eddin, Rubin dan Mavin.

Ketokohan, ilmu serta pengalaman mendiang dalam bidang sejarah dan akademik merupakan sesuatu yang tidak dapat disangkal lagi apabila pendapat dan buah fikiran mendiang sering dijadikan sebagai rujukan oleh pelbagai pihak di dalam dan luar negara.

Misalnya, mungkin masih ada yang tidak mengetahui bahawa mendiang merupakan salah seorang daripada 12 anggota jawatankuasa khas yang menggubal Rukun Negara pada tahun 1970, iaitu selepas tragedi berdarah pada 13 Mei 1969.

Malah, Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah sendiri sebelum ini pernah menggelar mendiang sebagai 'ensiklopedia bergerak sejarah Malaysia' menerusi pengalamannya yang sentiasa dan tanpa jemu mendampingi rakyat negara ini.

Dilahirkan di Kampar, Perak pada 28 Mac 1937, mendiang yang merupakan anak sulung daripada tiga adik beradik memperoleh Ijazah Sarjana Muda Sastera (Kepujian) Sejarah pada 1960 dari Universiti Malaya, Singapura dan Sarjana Sastera dalam bidang itu dari universiti yang sama pada 1967.

Mendiang menjadi rakyat Malaysia pertama yang memperoleh Doktor Falsafah (Ph.D) dalam bidang sejarah dari Fakulti Sastera di Universiti Malaya, Kuala Lumpur pada 1974.

Mendiang turut dikenali dengan kelantangannya dalam bersuara terutamanya dalam mendukung penuh Perlembagaan Negara, antara lain, sering mempertahankan bahawa hak istimewa orang Melayu tidak boleh diubah dan diganggu.

"Rakyat Malaysia dari mana-mana kaum yang mempersoal atau mempertikaikan Perkara 153 dalam Perlembagaan negara yang mengiktiraf kedudukan dan hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera adalah buta sejarah dan tidak memahami Perlembagaan," kata mendiang, memetik laporan sebuah portal berita pada 2010.

Menariknya, bukan sahaja pakar dalam bidang sejarah, mendiang juga disegani dalam industri sukan negara, di mana mendiang merupakan seorang pengkritik sukan yang berani menyuarakan pendapatnya.

Mendiang banyak menghasilkan dan menyunting buku ilmiah seperti The Western Malay States: The Effects of Commercial Development on Malay Politics (1972); Pensejarahan Malaysia (1975); A History of Southeast Asia, South and East Asia: Essays and Documents (1977).

Di samping menjadi pensyarah, mendiang juga menerajui Jabatan Sejarah, Universiti Malaya sebanyak dua kali dan dilantik sebagai Dekan Fakulti Sastera dan Sains Sosial pada 1984 selain pernah menjawat jawatan sebagai Pengarah Pusat Sukan Universiti Malaya antara tahun 1994 hingga tahun 1996.

Mendiang dianugerahkan Profesor Emeritus dari Universiti Malaya pada 2001 atas sumbangan beliau kepada Jabatan Sejarah dan Fakulti Sastera dan Sains Sosial.

Pada tahun lepas, mendiang turut menerima Anugerah Pencapaian Akademik Luar Biasa Merdeka 2018 Petronas yang disampaikan Sultan Nazrin.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment