Saturday, February 4, 2017

PERLUKAH PULAU PINANG DIJADIKAN WILAYAH PERSEKUTUAN?

PUTRAJAYA, 4 Feb (Bernama)-- Hasrat Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor untuk menjadikan Pulau Pinang sebahagian Wilayah Persekutuan adalah bermatlamat untuk memastikan negeri itu mendapat limpahan pembangunan yang sama rata.

Tengku Adnan berkata idea yang dilontarkan beliau itu bukanlah berniat mahu meluaskan kuasa ke negeri itu, sebaliknya disebabkan keprihatinan beliau terhadap nasib Melayu di sana.

"Apa yang berlaku di Pulau Pinang kita tahu, dia (kerajaan negeri) tidak pedulikan orang Melayu," katanya kepada pemberita selepas Majlis Khatam al-Quran Wilayah Persekutuan 2017 di sini hari ini.

Beliau berkata sekiranya perkara itu dapat direalisasikan, kerajaan pusat akan memastikan bahawa cara pembangunan di Pulau Pinang adalah untuk semua dan bukanlah untuk satu-satu kaum sahaja.

"Kita akan mentadbir daripada peringkat kerajaan pusat seperti di Labuan yang mana kita telah laburkan lebih RM5 bilion sejak dari tarikh kita ambil alih dan kita akan pastikan bahawa cara pembangunan itu untuk semua dan sama rata," katanya.

"Saya hairan kenapa parti DAP meloncat-loncat dalam isu ini...barangkali mereka tahu yang kita tahu yang mereka tidak melaksana pentadbiran dengan baik di Pulau Pinang," katanya.

Namun, kata Tengku Adnan, semua itu hanyalah idea daripada beliau sendiri sebagai Menteri Wilayah Persekutuan dan perkara itu memerlukan kertas cadangan, referendum serta persetujuan di peringkat kepimpinan negara.

Jelasnya bukan sahaja di Pulau Pinang, tetapi idea yang sama turut dirasakan bersesuaian di Langkawi, Kedah; Pulau Tioman, Pahang dan sebahagian Melaka.

Ulasan saya, perlukah Pulau Pinang dijadikan Wilayah Persekutuan? Jika ia menjadi kenyataan ini bermakna BN sudah isytihar bahawa ia tak mampu menawan kembali negeri itu dari tangan DAP. Maka Pulau Pinang perlu dijadikan Wilayah Persekutuan seperti Kuala Lumpur.

Terpulang kepada rakyat Pulau Pinang sama ada bersetuju atau tidak kerana cadangan ini akan makan masa juga. Adakah selepas Kuala Lumpur dijadikan Wilayah Persekutuan nasib rakyat lebih terbela kerana alasanTengku Adnan supaya rakyat Pulau Pinang lebih terbela bila dijadikan Wilayah Persekutuan.

Apabila Pulau Pinang dijadikan Wilayah Persekutuan ini bermakna tidak ada lagi Dewan Undangan Negeri dan hanya ada kerusi parlimen dari Pulau Pinang. Pulau Pinang tidak ada Yang Dipertua Negeri dan Ketua Menteri lagi kerana ia di bawah Yang Dipertuan Agong dan Datuk Bandar. Adakah Dewan Bandaraya Pulau Pinang mampu mentadbir kawasan yang besar itu?

Cadangan ini mungkin tidak praktikal tetapi terpulanglah kepada rakyat Pulau Pinang. Jika pentadbiran di bawah Dewan Bandaraya lebih cekap dari pentadbiran kerajaan negeri sekarang apa salahnya rakyat Pulau Pinang memilih negeri itu dijadikan Wilayah Persekutuan.

No comments:

Post a Comment