Friday, December 30, 2016

KEENGGANAN MAHATHIR TERIMA ANWAR JADI PM PUNCA EZAM KELUAR BERSATU?



KUALA LUMPUR 30 Dis. – Selepas Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan bertindak keluar Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), bekas Ahli Dewan Negara, Datuk Mohamad Ezam Mohd. Nor pula dipercayai mengikut langkah sama.

MOHAMAD EZAM

Menurut laporan portal berita Free Malaysia Today (FMT), bekas Setiausaha Politik Datuk Seri Anwar Ibrahim itu bertindak sedemikian walaupun hanya menyertai parti berkenaan tidak sampai tiga bulan.

Kata laporan itu, Mohamad Ezam telah memaklumkan keputusan berkenaan kepada Setiausaha Agung PPBM dalam suratnya.

Portal berkenaan yang memetik sumber berkata, Mohamad Ezam yang dilihat rapat dengan Pengerusi PPBM, Tun Dr. Mahathir Mohamad kecewa dengan haluan parti yang baru-baru ini menyaksikan Anina Saadudin dilucutkan jawatan ketua sayap wanitanya, Srikandi.

“Sumber turut memberi­tahu FMT, lebih ramai aktivis PPBM yang menyertai parti serpihan UMNO itu akan mengikut jejak Mohamad Ezam dan Khairuddin.

“Sebab itu kini PPBM gagal menarik masuk ramai ahli baharu kerana parti ini kelihatan seolah-olah milik eksklusif individu tanpa bersikap inklusif,” katanya seperti dipetik di http://www.freemalaysiatoday.com, hari ini.

Walau bagaimanapun, usa­ha  untuk mendapatkan reaksi Mohamad Ezam dan mengesahkan perkara itu masih gagal.

Pada 28 Oktober lalu, Khai­rud­din mengumumkan keluar parti itu dengan memberi alasan kononnya untuk membolehkan beliau memberi tumpuan penuh terhadap kes mahkamah yang melibatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Tindakan beliau dan Mohamad Ezam itu ternyata memberi satu tamparan kepada PPBM yang belum pun berusia dua bulan sudah berdepan dengan masaalah keahlian.

Ulasan saya, tindakan Ezam mungkin ada kaitan dengan Dr Mahathir yang tidak mahu menerima Anwar Ibrahim sebagai calon PM Pakatan Harapan. Menurut Tunku Aziz, Dr Mahathir mahu Mukhriz sebagai calon PM jika pembangkang menang. Oleh itu Ezam yang dipasang oleh Anwar untuk menyertai Bersatu kecewa dengan keputusan Mahathir.

No comments:

Post a Comment