Monday, December 12, 2016

MAHATHIR YANG KELIRU



SHAH ALAM 10 Dis. - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) bukan setakat menolak nasihat Pas supaya tidak bekerjasama dengan DAP, malah menyifatkan nasihat itu tidak berasas selain menganggap Pas merupakan sebuah parti yang keliru.


Pengerusi PPBM, Tun Dr. Mahathir Mohamad sebaliknya terus dengan pendirian untuk bekerjasama dengan DAP bagi mencapai matlamatnya menumbangkan kerajaan yang dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Saya fikir Pas keliru, sekarang mereka mentadbir Selangor bersama PAN dan DAP sedangkan pada masa sama tidak mahu bersama mereka (PAN dan DAP).

“Mereka yang perlu menyatakan pendirian sama ada mahu bersendirian, bersama UMNO atau bersama pembangkang yang lain termasuk Amanah (PAN) dan DAP,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Konvensyen PAN di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) di sini hari ini.

Yang hadir sama pada konvensyen itu ialah Presiden PAN, Mohamad Sabu; Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar.

Pada 7 Disember lalu, Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Ahmad Yaakob dilapor menasihatkan PPBM supaya menjalinkan kerjasama dengan parti itu dan me­ninggalkan DAP.

Menurutnya, DAP hanya ingin mempergunakan pengaruh pemimpin PPBM khususnya Dr. Mahathir untuk meraih sokongan rakyat terutama orang Melayu semata-mata.

Malah jelas Ahmad, kerjasama antara PPBM dengan Pas adalah jauh lebih baik daripada mereka terus bersama DAP dan PAN.

Dalam pada itu, Mahathir ketika ditanya mengenai pendirian rasmi PPBM untuk menyertai pakatan harapan diketuai DAP bersama PKR dan PAN di bawah satu logo berkata, perkara itu akan dibincangkan melibatkan jawatankuasa kepimpinan parti dalam tempoh terdekat ini.

Walau bagaimanapun beliau menegaskan, mana-mana pihak yang cuba mewujudkan situasi pertandingan tiga penjuru atau lebih dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) merupakan penyokong kepada Barisan Nasional (BN)

Ulasan saya, Dr Mahathir yang keliru kerana kerajaan Selangor bukannya kerajaan Pakatan Harapan tetapi kerajaan Pakatan Rakyat. Maka PAS kekal dalam kerajaan Selangor kerana  mereka menang pada 2013 disebabkan oleh Pakatan Rakyat.

No comments:

Post a Comment