Monday, February 12, 2018

ARAB SAUDI PASTIKAN PERKHIDMATAN TERBAIK UNTUK TETAMU ALLAH



KUALA LUMPUR, 12 Feb (Bernama) -- Jemaah haji di seluruh dunia pasti menyedari kemajuan pembangunan yang berlaku sejak beberapa tahun lepas di Tanah Suci Makkah ketika menunaikan ibadah haji dan umrah.

Keadaan yang sama dapat dilihat di Masjid Nabawi di Madinah yang menyaksikan perluasan besar Masjid.

Ini adalah bukti keseriusan Arab Saudi menjalankan tanggungjawabnya dalam memastikan kepentingan para jemaah dijaga sebaik mungkin setiap tahun.

Sememangnya, kerajaan yang menempatkan dua kota suci Islam, Makkah dan Madinah, mempunyai rancangan untuk menampung sehingga 30 juta jemaah haji dan umrah pada tahun-tahun akan datang, berdasarkan Wawasan 2030 yang diperkenalkan Putera Mahkota Arab Saudi Mohammed bin Salman.

Apa yang pasti ialah Arab Saudi mengalu-alukan kedatangan jemaah dari seluruh dunia dan menegaskan bahawa tiada unsur politik dalam melaksanakan tanggungjawabnya yang berat terhadap umat Islam yang kini berjumlah lebih 1.8 bilion.






Arab Saudi, yang menganggap memberi khidmat kepada jemaah sebagai kewajipan Islam, menolak sebarang percubaan untuk mempolitikkan haji atau usaha ke arah pengantarabangsaan pentadbiran Haramain (Makkah dan Madinah) kerana negara itu berjaya menguruskan hal ehwal haji secara aman, profesional dan sempurna sejak beberapa dekad lepas.

"Kerajaan kepada Penjaga Dua Masjid Suci Raja Salman bin Abdulaziz Al Saud telah meluaskan usahanya untuk berkhidmat kepada jemaah haji dan umrah sebagai sebahagian daripada kewajipan Islam dan ia akan terus memberikan perkhidmatan sedemikian demi para tetamu Allah," kata sumber daripada Kementerian Penerangan Arab Saudi kepada Bernama.

Wawasan 2030 merangkumi pelan strategik dan komprehensif untuk membangunkan sektor itu bagi membolehkan lebih ramai umat Islam dapat menunaikan ibadah haji dan umrah. Lebih dua juta umat Islam dari seluruh dunia berkumpul di Arab Saudi setiap tahun untuk menunaikan haji.

Bagi Malaysia, kerajaan Arab Saudi telah memberi lampu hijau untuk menambah kuota haji Malaysia kepada 30,200 orang daripada 27,900, mulai musim haji 2017.

Pemerhati berkata perkembangan positif ini berpunca daripada hubungan erat antara Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Raja Salman yang membuat lawatan sulungnya ke Malaysia tahun lepas.

Najib juga sering menjadi tetamu kerajaan Arab Saudi... lawatan kerja terakhirnya ke sana adalah pada Januari lepas dan beliau diberikan keistimewaan memasuki Kaabah yang menjadi arah kiblat umat Islam ketika bersolat.

Bagi kerajaan Arab Saudi, tidak dinafikan bahawa membangunkan organisasi serta perkhidmatan haji dan umrah di negara itu adalah antara keutamaannya dan merupakan lanjutan kepada peranan bersejarah negara itu dalam memberi khidmat kepada umat Islam.

Membanteras keganasan dan menonjolkan nilai-nilai kesederhanaan Islam " inisiatif yang diperjuangkan oleh Putera Mahkota Mohammed yang mendapat maklum balas positif di Malaysia khususnya dan komuniti antarabangsa pada umumnya " adalah antara usaha utama Arab Saudi di arena antarabangsa.

Keazamaan Arab Saudi untuk meningkatkan sektor haji dan umrah sebahagiannya berpunca daripada kejayaannya dalam menguruskan jemaah umrah yang ramai, membolehkan hampir 6.5 juta jemaah dari seluruh dunia menunaikan ibadah mereka.

Kerajaan Arab Saudi telah memulakan apa yang disebut-sebut sebagai perluasan terbesar Masjidil Haram untuk meningkatkan kapasiti jemaah setiap tahun ... sesuatu yang diperlukan dengan segera.

Mencari penyelesaian kepada isu itu adalah fokus Raja Salman kerana baginda melakukan perluasan terbesar dalam sejarah masjid suci itu bagi menampung lebih 1.6 juta jemaah dalam keadaan biasa, dan jumlah jemaah haji dan umrah yang signifikan.

Selain pembangunan strategik kemudahan dan perkhidmatan tempat suci itu, Wawasan 2030 juga menyeru pembangunan rangkaian kereta api Haramain bertaraf dunia yang menghubungkan Makkah, Jeddah dan Madinah serta projek perumahan dan khemah untuk jemaah haji.

Di samping itu, ia juga sedang mengkaji penubuhan lapangan terbang moden yang besar untuk menerima lebih ramai pengunjung, serta sasaran untuk menyiapkan projek perluasan itu.

Kerajaan Arab Saudi juga melakukan yang terbaik dalam soal keselamatan jemaah haji dan umrah mereka kerana wawasan itu menyediakan pengurusan keselamatan yang aktif dalam melindungi jemaah.

Ia melihat perkara ini sebagai tugas asasnya dan setakat ini mereka berjaya menganjurkan musim haji yang aman selama bertahun-tahun.

"Arab Saudi berusaha keras dalam memperkuatkan keselamatannya, mempertahankan kestabilan dan memelihara kepentingan jemaah," kata sumber Arab Saudi itu.

Ternyata, persediaan teliti dan pelaksanaan yang berhati-hati menghasilkan kesilapan sifar semasa musim haji 2017.

Selain keselamatan, kerajaan itu juga prihatin dengan kesejahteraan jemaah haji dan umrah, dan ia dicerminkan menerusi wawasan itu.

Wawasan itu turut memfokuskan kepada memperluaskan perkhidmatan kesihatan dan perubatan untuk jemaah dengan menyediakan hospital dan pusat kesihatan bagi memberikan perkhidmatan terbaik sepanjang masa, selain perkhidmatan kumbahan, kebersihan dan pencahayaan di tapak suci itu dan Jambatan Jamrah.

Penelitian butiran yang terkandung dalam Wawasan 2030 itu akan membawa perubahan daripada kerja bermusim kepada sistem dan budaya kerja sepanjang tahun bagi meningkatkan perkhidmatan dan memenuhi objektifnya.

Raja Salman juga tidak mengambil mudah perkara ini kerana baginda telah mengarahkan semua agensi berkaitan untuk menggandakan usaha mereka dan menyediakan semua kemudahan bagi manfaat para jemaah.

Menurut sumber itu, Raja Salman secara peribadi memantau perkhidmatan sedia dan proses pembangunan berkaitan.

Turut sama-sama proaktif ialah Putera Mahkota Mohammed yang sentiasa mengawasi usaha untuk memperbaiki perkhidmatan haji dan umrah dengan tujuan menyediakan operasi haji dan umrah yang lancar dan berkualiti tinggi sambil memastikan jaminan keselamatan jemaah.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment