Friday, May 11, 2018

MUKHRIZ MENJADI MB BUAT KALI KEDUA

ALOR SETAR, 11 Mei (Bernama) -- Pakatan Harapan (PH) membentuk kerajaan negeri di Kedah dan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jitra Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir hari ini dilantik sebagai Menteri Besar Kedah yang ke-13.


Mukhriz, 53, yang juga pengerusi PH Kedah melafazkan sumpah memegang jawatan itu di hadapan Sultan Kedah Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah dalam majlis yang berlangsung di Balairung Seri Kecil, Istana Anak Bukit di sini.

Turut berangkat di istiadat itu ialah Sultanah Kedah, Sultanah Maliha Tengku Ariff dan Raja Muda Kedah Datuk Tengku Sarafuddin Badlishah Sultan Sallehuddin.

Berangkat sama Tunku Bendahara Kedah Tan Sri Tunku Abdul Hamid Thani Sultan Badlishah, Tunku Temenggong Kedah Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Almarhum Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Tunku Laksamana Kedah, Datuk Tunku Shazuddin Ariff Sultan Sallehuddin.

Isteri Mukhriz, Tok Puan Norzieta Zakaria serta pimpinan PH negeri hadir sama.

Pelantikan Mukhriz hari ini sekaligus menamatkan penantian rakyat Kedah selama beberapa hari apabila pembentukan kerajaan negeri Kedah sebelum ini tergantung selepas tiada mana-mana parti atau pakatan yang mendapat majoriti mudah yang diperlukan iaitu 19 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 pada 9 Mei.

Ini apabila PH menguasai 18 daripada 36 kerusi DUN, Barisan Nasional pula hanya memenangi tiga kerusi manakala PAS memperoleh 15 kerusi.

Mukhriz, pernah dilantik sebagai menteri besar Kedah pada Mei 2013 yang ketika itu beliau merupakan pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri selepas Barisan Nasional (BN) berjaya menguasai Kedah pada PRU13.

Anak kelima kepada Tun Dr Mahathir Mohamad yang baru dilantik sebagai perdana menteri ke-7 semalam itu bagaimanapun meletak jawatan sebagai menteri besar pada Februari 2016 setelah majoriti ADUN Kedah memutuskan hilang kepercayaan terhadap kepimpinan beliau.

Mukhriz kemudiannya menyertai bapanya dan beberapa bekas pemimpin UMNO yang lain untuk menubuhkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) setelah dipecat daripada UMNO pada Jun 2016 dan dilantik timbalan presiden parti itu.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment