Wednesday, November 7, 2018

KPLB ADA KAEDAH UNTUK BANTU TINGKATKAN PENDAPATAN PEKEBUN KECIL

PUTRAJAYA, 7 Nov (Bernama) -- Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) mempunyai kaedah untuk membantu meningkatkan pendapatan pekebun kecil ketika berdepan dengan cabaran penurunan harga komoditi getah dan kelapa sawit, kata Menterinya Datuk Seri Rina Mohd Harun.

Mengulas laporan mengenai keluhan golongan penoreh getah dan pekebun sawit yang terbeban akibat penurunan harga dan cuaca yang tidak menentu, beliau berkata kementeriannya mempunyai pelbagai program keusahawanan yang boleh disertai golongan tersebut yang berminat berbuat demikian.

Bercakap dalam taklimat media berkenaan Ekspo Inovasi dan Keusahawanan Desa (Inotekdesa) 2018 di kementeriannya di sini hari ini, Rina berkata beliau sedia berjumpa golongan berkenaan berhubung alternatif yang boleh ditawarkan untuk membantu walaupun golongan berkenaan tidak lagi di bawah kendalian kementeriannya.

"Isu berkaitan pendapatan penduduk luar bandar amat dekat dengan kita dan atas faktor itu, kementerian telah menyediakan program peningkatan pendapatan melalui bidang keusahawanan yang boleh diceburi mereka.

"Selain peluang perniagaan, inovasi dalam sektor kelapa sawit seperti pembuatan topi keledar serta produk biodiesel juga merupakan antara langkah awal yang akan diperkenal kementerian, sekali gus meningkatkan permintaan kepala sawit," katanya.

Rina juga yakin nasib para pekebun kecil akan diberi perhatian sewajarnya oleh Felcra Bhd dan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) yang kini diletakkan di bawah Kementerian Hal Ehwal Ekonomi.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment