Monday, May 1, 2017

GELIGA LIPAN



“Zaki, ada geliga lipan nak dijual di Kepong,” kata Ali.

“Apa tu geliga lipan?” tanya Zaki yang kurang mengerti.


“Geliga yang keluar dari lipan. Kalau kita pakai, kita nampak apa yang ada di hadapan kita,” terang Ali.

“Nampak apa?” soal Zaki lurus bendul.

“Kalau orang berjudi guna daun terup, khadam geliga lipan itu boleh beritahu kita apa daun terup yang ada di tangan kawan kita. Jadi kita menanglah,” kata Ali.

“Biar betul Ali,” kata Zaki.

Ali ajak Zaki ke Kampung Melayu Kepong tempat orang elit di hadapan simpang masuk ke FRIM. Tak sangka di atas bukit itu penuh dengan perumahan mewah. Macam di Duta Heights pula, kata Zaki dalam hati.

“Kita nak pergi ke rumah siapa Ali?” tanya Zaki.

“Ke rumah Tengku Ramlah. Dia bomoh diraja. Dia yang ada geliga lipan itu,” kata Ali.

“Kita kena uji dulu barang tu sebelum bawa pembeli. Bawa pembeli dah pun kena bayar. Bukannya percuma,” kata Zaki.
“Kita pergi tengok dulu,” jawab Ali.

Banglo Tengku Ramlah

Setelah puas masuk ke lorong itu dan ke lorong ini di atas bukit itu, maka terjumpalah banglo Tengku Ramlah.

“Assalamualaikum. Emak ada?” tanya Ali kepada seorang remaja umur 20an.

“Mualaikumusalam. Emak ada. Nanti saya panggil.Masuklah dahulu,” jawab remaja lelaki itu.

Ali dan Zaki duduk di atas kerusi di luar banglo itu. 10 minit kemudian Tengku Ramlah yang berusia 50an keluar dari rumah mendapatkan mereka berdua.

“Ali ke ini yang call Mak Ku tadi?” tanya Tengku Ramlah.


“Saya Ali, ini Zaki kawan saya,” jelas Ali.

“Barang tu ada. Kalau nak tengok boleh,” kata Tengku Ramlah sambil menyuruh anaknya ambil bungkusan kuning dalam almari di bilik tidurnya.

Lima minit kemudian anaknya bawa bungkusan yang dimaksudkan itu. Tengku Ramlah terus membuka bungkusan itu dan dalam bungkusan itu terdapat balang kecil. Dari balang kecil itu dikeluarkan sebiji batu halus.

`Geliga lipan’

“Inilah geliga lipan itu,” kata Tengku Ramlah sambil memberi peluang kepada Ali dan Zaki memegang batu kecil itu.

Ali merenung geliga lipan itu sambil memegangnya.

“Kita ada dua pilihan Mak Ku sama ada bawa pembeli itu ke mari atau kita pergi jumpa buyer di Sri Gombak,” beritahu Ali sambil memberi peluang kepada Zaki pula memegangnya.

“Biar pembeli datang ke marilah pasal Mak Ku sibuk berubat orang di rumah ini,” kata Tnegku Ramlah.

“Kalau begitu pagi esok jam 11 kami datang bawak buyer,” kata Ali.

Mereka beredar dari rumah Tengku Ramlah. Tengku Ramlah mahu RM1 juta sahaja. Harga geliga lipan yang sebenar ialah RM4 juta.

Maknanya mereka ada lebihan RM3 juta.

“Tapi siapa nak bayar RM500 kepada Haji Jurit?” tanya Zaki yang mengetahui bahawa Ali akan bawa Haji Jurit dari Bagan Datoh esok.

“Wak Kamarul yang nak bayar. Tak payah bimbang. Yang RM3 juta tu kita bahagilah tiga orang,” jelas Ali.

RM1 juta

Pagi esoknya jam 10 pagi Haji Jurit menunggu ketibaan Ali dan Zaki di Sri Gombak. Seperti biasa Haji Jurit membawa isteri mudanya yang berusia awal 30an sedangkan Haji Jurit sudah berumur 60an.

“Biar betul geliga lipan ini. Bila ayah uji barang tu okay, terus ayah bayar RM4 juta,” kata Haji Jurit.

“Tuan dia nak RM1 juta saja ayah,” kata Ali.

“Kalau begitu ayah bawa tunai RM1 juta sahaja nanti,” kata Haji Jurit sambil menyambung,” RM3 juta lagi kau orang ambil di Sri Gombak inilah”.

Tepat jam 11 pagi Haji Jurit, bininya, Ali, Zaki dan wak Kamarul tiba di banglo Tengku Ramlah. Selepas mereka minum kopi o yang dihidangkan Tengku Ramlah, maka bomoh diraja itu pun keluarkan balang kecil dan menyerahkannya kepada Haji Jurit.

Haji Jurit pun pegang geliga lipan itu.

“Cara ujinya macam ini kalau kita pegang geliga lipan ini, kalau nampak berapa batang rokok dalam kotak rokok ayah ini, ayah bayar harga yang Tengku mahu,” kata Haji Jurit.

Maka Tengku Ramlah pun pegang geliga lipannya. Hampir 10 minit, dia tak nampak apa-apa. Yang ada dalam kotak itu hanya dua batang rokok sahaja.

“Masa sudah habis. Maka geliga lipan ini tidak berhasil mencari rezeki. Nak buat macam mana, “ kata Haji Jurit.

Maka mereka pun beredar dari rumah Tengku Ramlah. Sepanjang jalan Wak Kamarul kutuk Ali kerana Ali kata sudah uji banyak kali geliga lipan itu memang sahih boleh nampak batang rokok dalam kotak rokok.

“Aku yang jadi mangsa,” kata Wak Kamarul yang kesal kerana wang sebanyak RM500 hangus begitu sahaja sebagai bayaran membawa Haji Jurit ke rumah tuan geliga lipan.

Wak Kamarul ingatkan dengan melabur RM500 dapat RM 1 juta hari itu rupanya wang RM500 itu lebur.

No comments:

Post a Comment