Wednesday, May 10, 2017

PEMIMPIN UMNO PERLU MENELADANI KESETIAAN GHAFAR BABA

MELAKA, 10 Mei (Bernama) -- Pemimpin-pemimpin UMNO perlu meneladani kesetiaan sepanjang hayat yang ditampilkan bekas Timbalan Perdana Menteri Allahyarham Tun Abdul Ghafar Baba kepada parti keramat orang Melayu itu, kata Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka Datuk Othman Muhamad.


Sepanjang 18 tahun berjuang bersama-sama Abdul Ghafar, yang juga bekas Ketua Menteri Melaka, katanya beliau mendapati Allahyarham adalah insan yang paling setia dalam parti ketika eranya.

Beliau berkata tanpa pangkat atau jawatan tinggi, Abdul Ghafar yang juga dikenali sebagai Che Ghafar tetap setia kepada perjuangan UMNO kerana mengetahui hanya parti itulah yang mampu memperjuangkan nasib orang Melayu terutamanya demi kehidupan lebih baik bagi generasi seterusnya.

"Che Ghafar pernah berkata yang UMNO adalah parti keramat, wadah perjuangannya mesti dipertahankan. Saya tidak jadi TPM (Timbalan Perdana Menteri) tidak apa�sebagai naib presiden, saya akan menjaga parti dengan lebih kuat lagi," katanya kepada Bernama di sini.

Abdul Ghafar, yang juga timbalan perdana menteri ke-6, dilahirkan pada 18 Feb 1925 di Kuala Pilah, Negeri Sembilan, dan menghabiskan 60 tahun hayatnya berhempas pulas berjuang dalam politik di Melaka, yang merupakan negeri asal ibu bapanya. Beliau meninggal dunia pada 23 April 2006.

Semasa menceritakan kenangannya bersama-sama Abdul Ghafar, Othman, 65, berkata perkara yang paling memberi kesan bagi dirinya adalah pada 1976 apabila Perdana Menteri Ketiga Tun Hussein Onn melantik Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai timbalannya, yang menimbulkan perasaan tidak senang dalam kalangan anggota UMNO Melaka ketika itu hingga ada yang mahu melakukan protes.

Menurutnya ketika itu anggota UMNO Melaka berpendapat Abdul Ghafar yang paling layak menjadi timbalan perdana menteri berdasarkan kedudukannya sebagai Naib Presiden UMNO paling kanan diikuti Tengku Razaleigh Hamzah dan Dr Mahathir.

Namun, katanya, Abdul Ghafar berpendapat perjuangan UMNO itu lebih penting daripada perjuangan individu.

"Che Ghafar dengan tegas menyelar tindakan pemimpin (UMNO) yang ingin membuat protes dan mempersoalkan perjuangan apa yang mereka lakukan ? Dirinya tak dapat jadi TPM hanya perkara kecil sedangkan merobohkan UMNO itu lebih besar kesannya.

"Katanya kepada kami sebagai manusia memang terasa, terkilan tetapi beliau (Hussein) adalah PM (Perdana Menteri) dan presiden parti, kena hormat beliau dan tidak boleh ikut kepentingan diri sendiri, kita kena jaga parti," kata Othman.

Katanya Abdul Ghafar yang juga guru lepasan Maktab Perguruan Sultan Idris, Tanjung Malim di Perak, bukan sahaja dapat menghentikan protes berkenaan malah berjaya memujuk pemimpin UMNO Melaka yang mengugut akan membubarkan cawangan masing-masing sebagai tindakan protes.

Menurutnya tindakan Abdul Ghafar meninggalkan kesan dalam jiwa pemimpin dan anggota UMNO termasuk dirinya dan menyifatkan kata-kata beliau supaya mengutamakan parti lebih daripada diri sendiri sebagai jawapan yang "cukup mahal" dalam memartabatkan UMNO sebagai parti yang memperjuangkan nasib orang Melayu.

Othman, yang memegang jawatan speaker DUN Melaka sejak April 2008, berkata kesetiaan Abdul Ghafar menjadi sanjungan anggota UMNO secara keseluruhannya yang menyaksikan beliau tidak pernah kalah dalam undi pemilihan jawatan Naib Presiden UMNO selama 22 tahun walaupun tidak memegang jawatan Kabinet.

"Beliau menjadi Naib Presiden (UMNO)...ada jawatan kerajaan atau tidak, beliau tetap menang. Ini kerana orang cukup hormatkan beliau kerana amat setia kepada parti. Beliau buktikan walaupun tiada dalam kabinet tetap setia sepanjang hayatnya (kepada parti)," katanya.

Othman berkata sifat Abdul Ghafar yang sentiasa hormat dan patuh kepada pemimpin parti, walaupun pemimpin berkenaan lebih muda daripadanya, telah membentuk dirinya menjadi seorang pemimpin yang berkesan.

"Ikutlah apa Che Ghafar kata...kalau nak parti selamat, kerajaan nak kekal pengikut mesti patuh kepada pemimpin dan setia kepada pemimpin," katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment