Sunday, December 17, 2017

JANGAN PERTIKAI SIAPA YANG DIPILIH CALON



OLEH ABDULLAH KARIM


KUALA LUMPUR: Ketua Umno Bahagian Penampang, Datuk John Ambrose menyokong penuh ucapan penggulungan Presiden Umno pada Perhimpunan Agung Umno (PAU 17) bahawa sesiapa sahaja dipilih sebagai calon semua pihak seharusnya tidak dipertikaikan.



Sebaliknya kata beliau sesiapa sahaja yang tidak terpilih, hendaklah diberi sokongan seratus peratus kepada calon tersebut demi mempastikan kawasan ditandingi beroleh kemenangan.



“Ucapan Datuk Seri Najib merupakan satu peringatan kepada kita semua bahawa jangan ada sesiapapun menolak calon yang telah dipilih oleh beliau. PM Najib amat tegas dalam hal ini dan sudah pasti beliau mahukan kemenangan. Sebab itu beliau cakap semua pihak kena sokong dan jangan ada yang menentang (calon) yang telah dipilih,” katanya.



Beliau berkata demikian ketika diminta pandangannya mengenai intipati ucapan penggulungan Datuk Seri Najib pada hari terakhir PAU Sabtu lepas.



Datuk Ambrose yang juga Pengerusi Yayasan Bumiputera Sabah berkata beliau akan menyokong sesiapa sahaja yang dipilih oleh pucuk pimpinan pada PRU kali kini.



Parlimen Penampang adalah kerusi mutlak Parti Bersatu Sabah (PBS) pimpinan Presidennya, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan.



Parlimen Penampang menjadi kosong apabila wakil rakyatnya, Ignitius Darell Leiking menyertai WARISAN yang diketuai oleh Datuk Seri Shafie Afdal.



Datuk Ambrose menegaskan beliau serta barisan kepimpinan Umno Bahagian Penampang akan menyokong siapa sahaja wakil dari rakan BN yang diletakkan di situ serta berjanji akan membantu sebaik mungkin bagi memenangi Penampang.





“Perdana Menteri ulang kali cakap, semua ahli kena turun padang bantu calon BN. Jadi kita kena dengarlah cakap PM kita dan bantulah supaya harapan Najib untuk lihat BN Sabah lebih banyak cipta kemenangan akan terlaksana,” katanya.

No comments:

Post a Comment