Tuesday, December 5, 2017

PUTERI TAKKAN TUTUP BILIK GERAKAN KALAU TAK TERPILIH CALON

KUALA LUMPUR, 6 Dis (Bernama) -- Puteri UMNO berjanji tidak akan merajuk jika wakil pergerakan itu tidak dipilih sebagai calon pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti.

Memberi jaminan itu kepada Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak, Ketua Puteri UMNO Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata Puteri UMNO akan terus bekerja untuk memastikan kemenangan Barisan Nasional (BN).

"Puteri tidak akan merajuk, Puteri tidak akan bergasak, Puteri janji tidak tutup bilik gerakan," katanya dalam ucapan dasar pada Perhimpunan Agung Pergerakan Puteri UMNO di sini hari ini.

Mas Ermieyati berkata menyedari PRU14 adalah getir dan ibu kepada segala pilihan raya, Puteri UMNO memasak janji dan wala terhadap pemimpin dan parti UMNO bagi memenangkan BN.

Justeru, katanya, Puteri UMNO tidak mendesak sebarang pemilihan calon cuma mengharapkan agar pemilihan calon turut mengambil kira wanita dan orang muda.

Yakin Presiden UMNO mempunyai metodologi tersendiri dalam memilih calon pada PRU14, Mas Ermieyati berharap calon yang terpilih memiliki sifat 'WLWC' iaitu 'Winnable, Likeable, Workable dan Capable'.

"Pilihlah yang terbaik dalam kalangan yang terbaik demi kemenangan dua pertiga majoriti BN pada pilihan raya umum akan datang," katanya.

Dalam ucapan lantangnya itu, Mas Ermieyati turut mengingatkan anggota Puteri UMNO untuk sentiasa sederap selangkah dan memasang kekuda bagi menangkis serangan sumbang pakatan pembangkang yang licik dengan pelbagai dakyah.

"Kini kita sudah pun berada pada Disember 2017, ini bermakna kaki kita setiap hari melangkah mendekati medan tempur PRU14... ini akan menjadi salah satu medan pertempuran paling penting dalam memastikan survival perjuangan agama, bangsa dan negara.

"Masa depan kita sangat berkait rapat dengan keputusan PRU14, jangan sesekali alpa daripada memikirkan kenyataan ini," katanya.

Keanggotaan Puteri UMNO kini berjumlah 390,843 orang.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment