Thursday, April 12, 2018

MIC DAPAT SEMULA DUN SUNGKAI

SLIM RIVER, 12 April (Bernama) -- Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungkai bakal diserahkan kembali kepada MIC dalam Pilihan Raya Umum ke-14.

Pengerusi BN Bahagian Tanjung Malim, Datuk Mohd Khusairi Abd Talib berkata kerusi tersebut yang sebelum ini ditandingi MCA pada PRU lepas bakal dikembalikan kepada MIC yang merupakan kerusi tradisi parti tersebut.

Malah katanya MIC juga telah memenangi kerusi DUN Sungkai beberapa penggal sebelum kalah sekali pada PRU 2008 manakala pada tahun 2013 diserahkan kepada MCA dan parti itu kalah kepada DAP.

"Ia, berkemungkinan besar (kembalikan kerusi kepada MIC) dan saya pun amat menyokong dan perkara ini telah dibincangkan dengan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan juga Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dalam pertemuan sebelum ini.

"Berkenaan soal calon, saya serahkan kepada pucuk pimpinan parti, khususnya dalam kalangan Pengerusi BN (Datuk Seri Najib Tun Razak) dan Presiden MIC (Datuk Seri Dr S. Subramaniam) untuk tentukan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan pelancaran Pembangunan Rumah Idaman Rakyat sebanyak 454 unit di bawah Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) di sini hari ini.

Mohd Khusairi yang juga Ketua UMNO Bahagian Tanjung Malim berkata dalam soal meletakkan calon, UMNO tidak ada masalah berhubung perkara itu dan pihaknya akan membantu bersungguh-sungguh bagi memastikan kemenangan calon DUN Sungkai, sekali gus merampas kembali kawasan itu.

"Sekiranya letak kembali calon daripada MIC, saya alu-alukan langkah yang dibuat pucuk pimpinan parti kerana itulah yang sewajarnya bagi memastikan kemenangan berpihak di tangan BN.

"Kita nak lihat dalam Parlimen Tanjung Malim ini ada kerjasama daripada semua parti komponen yang utama di sini. MCA bertanding di peringkat Parlimen, UMNO bertanding di dua kawasan DUN - DUN Slim dan DUN Behrang dan kalau boleh, berilah MIC bertanding di DUN Sungkai,? katanya.

Malah jelasnya kerusi DUN Sungkai sememangnya mempunyai potensi untuk dirampas daripada pihak pembangkang dan dipulangkan ke pangkuan BN Bahagian Tanjung Malim.

"Kami harap dapat merampas kembali DUN Sungkai, jika terdapat perubahan sikap dalam kalangan pengundi Cina yang merupakan pengundi majoriti kawasan itu serta jika berlaku pertandingan tiga penjuru," katanya yang berharap pengundi kawasan itu dapat memberikan sokongan kepada calon BN supaya pembangunan dapat dibawa terus oleh wakil rakyat parti itu.

Pada PRU13, DAP menerusi A. Sivanesan menewaskan Goh Kim Swee, calon BN daripada MCA dengan majoriti 3,511.

No comments:

Post a Comment