Sunday, April 15, 2018

NILAI BN BERDASARKAN PRESTASI PARTI

KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata kini sudah tiba masanya untuk rakyat Malaysia merenung kembali apa yang kerajaan telah capai dalam tempoh lima tahun lalu ketika tinggal hanya tiga minggu sebelum pilihan raya umum ke-14 berlangsung.

Selepas berkempen selama lima tahun, Salleh menyeru rakyat untuk menilai Barisan Nasional (BN) berdasarkan prestasi parti dan bukan pada retorik kosong.

Beliau berkata selepas memenangi pilihan raya umum ke-13, BN lebih tertumpu kepada mentadbir negara daripada menyerang pihak lawan seperti apa yang pembangkang lakukan.

"Kita tidak boleh 'main politik' setiap hari dalam kehidupan kita. Masanya akan tiba apabila kita perlu melakukan beberapa kerja," kata Salleh menerusi catatan dalam blog beliau, malam ini.

Beliau berkata BN adalah sebuah kerajaan yang mesra rakyat dan mengakui bahawa rakyat adalah bos yang akan mengadili mereka melalui peti undi.

"Kerana itulah kebajikan rakyat sentiasa di hati kita,: kata Salleh dan menambah membuat janji palsu dan janji yang tidak boleh ditunaikan memang mudah tetapi menunaikan janji itu tidak begitu mudah.

Beliau berkata BN menunaikan apa yang dijanjikannya dan ini terbukti berdasarkan rekod prestasi kami.

No comments:

Post a Comment