Saturday, February 9, 2019

PRK SEMENYIH BUKAN PILIHANRAYA YANG MUDAH

SEMENYIH, 9 Feb (Bernama) -- Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Semenyih sebagai satu cabaran getir yang memerlukan kerja keras untuk memastikan kemenangan Pakatan Harapan (PH) yang dianggotai Bersatu.

Beliau menegaskan apa yang penting ialah jentera pilihan raya parti mesti bersatu dan bergerak sebagai satu pasukan yang mantap.

"Kerana ini bukan satu pilihan raya yang mudah. Kita akan bersikap 'it's a big task, an uphill battle'," kata Muhyiddin yang juga Menteri Dalam Negeri pada sidang akhbar selepas mengadakan perjumpaan dengan pemimpin masyarakat dan Bersatu di sini hari ini menjelang PRK itu yang dijadualkan berlangsung 2 Mac ini.

Berdasarkan pengalamannya menerajui pelbagai pilihan raya sebelum ini, Muhyiddin berkata tidak ada satupun yang dianggapnya mudah untuk dimenangi.

"Kita perlu mengambil sikap kita perlu kerja keras. Kalau kita rasa boleh menang, tak cukup dengan harapan boleh menang sahaja kerana kita perlu kerja keras (untuk memastikan kemenangan)," kata beliau.

PH sebelum ini dilapor akan meletakkan calon daripada Bersatu untuk bertanding PRK Semenyih yang diadakan susulan kematian wakil rakyat daripada PH, Bakhtiar Mohd Nor, 57, pada 11 Jan lalu akibat serangan jantung.

Muhyiddin berkata nama calon berkenaan akan diumumkan pada 14 Feb ini.

Menjawab pertanyaan pemberita, beliau berkata gesaan supaya PH meletakkan anak tempatan pada PRK itu akan diambil kira dalam menentukan calon selain aspek lain seperti berkelayakan, berkemampuan dan berbudi bahasa.

Beliau seterusnya berkata PH akan mengambil peluang pada kempen PRK itu untuk menjelaskan pelbagai isu termasuk dakwaan kononnya gabungan itu tidak mempertahankan kepentingan Melayu.

Muhyiddin berkata Bersatu dan PH juga tidak akan mengambil mudah kerjasama UMNO-PAS seperti yang dilihat pada PRK Parlimen Cameron Highlands lalu.

“Saya merasakan tidak semua anggota PAS bersetuju dengan kerjasama mereka. Apapun, kita akan lihat nanti sejauh mana (kekuatan),” katanya.

Mengenai pertemuan dengan pemimpin masyarakat setempat hari ini, Muhyiddin berkata antara isu yang dibangkitkan ialah projek tebatan banjir Sungai Beranang dan kesesakan yang berlaku di klinik kesihatan dan Hospital Kajang yang memerlukan perhatian kerajaan pusat dan negeri.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu, Allahyarham Bakhtiar menewaskan wakil rakyat dua penggal daripada Barisan Nasional (BN) Datuk Johan Abdul Aziz serta dua lagi calon iaitu Mad Shahmiour Mad Kosim (PAS) dan S. Arutchelvan daripada PSM. Bakhtiar menang dengan majoriti 8,964 undi.

PRK Semenyih adalah yang keempat diadakan di Selangor selepas PRU14. Sebelum ini, Selangor menyaksikan penentuan di tiga PRK iaitu bagi DUN Sungai Kandis, Seri Setia dan Balakong.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment