Monday, February 4, 2019

RAIS BIDAS TINDAKAN AHLI BERSATU BUAT LAPORAN POLIS NAJIB BERSWAFOTO

SEREMBAN: Ketua Bersatu Negeri Sembilan Rais Yatim membidas tindakan ahli partinya yang membuat laporan polis terhadap program bekas perdana menteri, Najib Razak yang turut melibatkan acara berswafoto di Langkawi.


Dalam kenyataan di Twitter hari ini, Rais berkata tiada keperluan untuk berbuat demikian memandangkan Anggota Parlimen Pekan itu hanya sekadar makan angin di Langkawi.

"Yang benar tetap benar, yang hakiki tetap hakiki. Tak perlu buat laporan polis semata-mata Najib jalan-jalan di Langkawi sambil ambil swafoto atau lepak dengan kenalannya.

"Tunggu saja kes beliau diputuskan oleh mahkamah," katanya.

Terdahulu, lima laporan polis dibuat berhubung program berkenaan.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia (KKMM) Eddin Syazlee Shith berkata, anggota Bersatu membuat laporan polis itu semalam bagi "menjaga ketenteraman" Langkawi.


Beliau bagaimanapun menegaskan bahawa Bersatu tidak mengeluarkan sebarang arahan kepada anggotanya untuk membuat laporan polis tersebut.

"Saya percaya laporan polis itu dibuat atas kapasiti keselamatan. Kita tidak mahu pulau yang selama ini aman, berlakunya perkara yang tidak baik serta tidak diingini sebab kita melihat banyaknya agenda bersifat provokasi seperti penyebaran berita-berita tidak benar,” katanya.

No comments:

Post a Comment