Friday, August 26, 2016

KU LI MUNGKIN TIMBANG SEMULA HASRATNYA UNTUK BERSARA



GUA MUSANG 25 Ogos - Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah mungkin menimbang semula hasratnya untuk bersara daripada politik sekiranya mendapat tentangan daripada ahli UMNO kawasan tersebut.



Tengku Razaleigh Hamzah


Tengku Razaleigh berkata, biarpun telah mengumumkan ke­putusannya namun masih banyak yang mahukan beliau terus menerajui UMNO bahagian itu dan kekal sebagai Ahli Parlimen.

Katanya, kebanyakan ahli UM­NO bimbang akan berlaku perpecahan yang serius kerana sudah mula wujud kumpulan yang berkempen untuk individu tertentu bagi menggantikan tempatnya.

“Dalam mesyuarat bulanan Ahli Jawatankuasa UMNO bahagian di Bukit Chekati pada malam tadi juga mereka marah kepada saya kerana ingin bersara daripada bertanding calon Parlimen dan menjadi Ketua UMNO bahagian.

“Saya tak boleh kata apa lagi dan tengoklah sokongan mereka dalam Persidangan Perwakilan UMNO bahagian ini bulan depan,” kata­nya kepada pemberita selepas me­rasmikan Jambatan Gantung Besi di Kampung Batu 2, Kuala Nerus, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ahli Dewan Unda­ngan Negeri Galas, Ab. Aziz Yusoff; Ketua Pemuda UMNO bahagian, Sheikh Razali Sheikh Ha­mad dan Ketua Pute­ri UMNO bahagian, Norfadzlete Aryani Mat Rosli.

Tengku Razaleigh berkata, sekiranya bersara, beliau tidak akan menamakan bakal penggantinya sebaliknya menyerahkan kepada ahli UMNO untuk membuat keputusan bagi memilih pemimpin baharu.

“Pengganti memang ada tetapi biar mereka pilih kerana saya tidak boleh menentukan perkara itu kerana pilihan saya tidak sama dengan mereka.

“Banyak orang muda dan belia berpotensi boleh diangkat sebagai pemimpin pengganti saya dan terpulanglah atas pilihan serta sokongan semua,” katanya.

Katanya, sekarang adalah masa yang sesuai untuk beliau bersara selepas 60 tahun menjadi ketua bahagian dan 50 tahun sebagai wakil rakyat kawasan itu.

“Ketika diri saya masih sihat dan gagah inilah masa untuk saya bersara. Kalau terlantar sakit berada atas tilam apa gunanya lagi,” katanya.

1 comment: