Thursday, September 14, 2017

NEGARA JIMAT RM3.2 BILION SEKIRANYA TANAM JAGUNG SENDIRI

ISKANDAR PUTERI, 14 Sept (Bernama) -- Negara dijangka dapat menjimatkan RM3.2 bilion sekiranya jagung ditanam dalam negara berbanding mengimportnya, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Beliau berkata ketika ini negara membelanjakan RM3.2 bilion untuk mengimport tiga juta tan metrik (mt) jagung setiap tahun bagi menampung keperluan permintaan dalam negara.

"Saya berpendapat sekiranya kita berhasrat mahu melakukan penanaman sendiri, ia memerlukan kawasan seluas 300,000 hingga 400,000 hektar tanaman jagung bagi menampung permintaan jagung di dalam negara.

"Ini merupakan salah satu cara kita menjimatkan perbelanjaan negara dan saya memuji usaha yang telah dilakukan oleh Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) dan Pertubuhan Peladang Negeri Johor (PPNJ) yang giat membuka kawasan-kawasan baharu bagi penanaman jagung bagi menghasilkan makanan ternakan ayam tempatan, katanya."

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PPNJ ke-39 di sini hari ini.

Tambah Ahmad Shabery, tahap sara diri bagi pengeluaran daging ayam tempatan adalah sebanyak 100 peratus tetapi Malaysia mengimport sebanyak 100 peratus makanan untuk ternakan terutama jagung bijian.

No comments:

Post a Comment