Thursday, September 21, 2017

UCAM TAWARKAN DIPLOMA KEPADA PENGERUSI JKKK

IPOH, 21 Sept (Bernama) -- Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) berpeluang untuk meningkatkan tahap profesionalisme mereka dengan mengikuti kursus peringkat diploma yang akan ditawarkan mulai tahun depan.


Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata Kolej Universiti Agrosains Malaysia (UCAM) sedia menawarkan Diploma Pentadbiran Luar Bandar kepada para pengerusi JKKK.

Bagaimanapun, Ismail Sabri berkata kursus peringkat diploma itu adalah terbuka dan ia merupakan pilihan kepada mana-mana pengerusi JKKK yang berminat,

"Ia pilihan dan bukannya wajib seperti Sijil Tadbir Urus Desa yang mesti diikuti oleh setiap pengerusi JKKK sekarang dan perbincangan lanjut dengan UCAM sedang dibuat," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penutup program Sijil Tadbir Urus Desa JKKK, JKKK Persekutuan dan JKKK Orang Asli Zon Utara yang disempurnakan Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir di sini, hari ini.

Pada majlis itu 1,200 peserta dari Kedah, Perlis, Perak dan Pulau Pinang menamatkan kursus intensif selama tiga hari bermula 19 Sept lepas.

No comments:

Post a Comment