Saturday, September 16, 2017

TUTUPLAH PONDOK DAN TAHFIZ YANG TIDAK BERDAFTAR DEMI KESELAMATAN PELAJAR

KUALA TERENGGANU, 16 Sept (Bernama) -- Terdapat 25 institusi pondok dan tahfiz di Terengganu masih belum berdaftar dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) setakat ini, kata Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia & Tugas-Tugas Khas negeri, Ghazali Taib.

Beliau berkata jumlah itu bagaimanapun agak kecil berbanding 81 institusi pondok dan tahfiz yang telah berdaftar dengan JHEAT dan menikmati pelbagai kemudahan daripada kerajaan pusat dan kerajaan negeri selama ini.

"Sebahagian daripada 25 institusi pondok dan tahfiz ini telah menghantar permohonan kepada JHEAT namun belum mendapat kelulusan kerana masih banyak perincian tidak lengkap antaranya perakuan status tanah mengikut perundangan dan kelayakan tenaga pengajar.

Mungkin ia kelihatan perkara remeh tetapi sangat penting bagi mengelak sebarang kekeliruan pada masa akan datang terutama di kalangan waris (jika tanah wakaf) dan silibus pembelajaran bagi memastikan ia adalah aliran Ahli Sunnah Wal Jamaah," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Pusat Tahfiz Darul Hijrah dekat Chendering di sini yang merupakan satu daripada 25 institusi yang masih belum berjaya mendapat kelulusan dari JHEAT.

Ghazali berkata institusi pendidikan pondok sangat signifikan di Terengganu kerana ia adalah sistem pendidikan tertua di negeri itu sejak zaman pemerintahan Sultan Zainal Abidin sekitar tahun 1900.

"Setiap mudir atau pengetua institusi pondok dan tahfiz ini mempunyai caranya, acuan pendidikan dan 'rohnya' yang tersendiri. Kita memahami perkara itu kerana pada akhirnya matlamat kesemuanya hanya satu iaitu melahirkan insan soleh dan solehah yang seimbang duniawi dan ukhrawi.

"Secara peribadi, sebagai Exco Tugas-Tugas Khas, saya juga sering membuat lawatan mengejut ke institusi pondok dan tahfiz ini. Ia tidak dilakukan secara bermusim dan saya berpuas hati dengan peranan yang dimainkan institusi ini kerana semuanya masih berlandaskan syariat Islam sebenar tanpa sebarang percanggahan yang boleh mengelirukan ummah," katanya.

Beliau yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Ajil berkata kerajaan negeri juga berharap kesemua 25 institusi pondok dan tahfiz yang belum mendapat kelulusan itu segera bertindak agar mematuhi peraturan secepat mungkin.

"Kita faham kekangan yang mereka hadapi, sebab itu kita tidak letak tempoh masa tertentu (pendaftaran dengan JHEAT) namun pada masa sama perlu ada inisiatif dan komitmen tinggi dari pengurusan institusi ini untuk mendapatkannya untuk kebajikan dan keselamatan pelajar.

Kerajaan negeri juga akan bekerjasama dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat untuk memastikan aspek keselamatan di institusi ini berada pada tahap terbaik untuk mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku," katanya.

Kadar bantuan tahunan yang diberi JHEAT melalui bantuan Baitulmal kategori fisabilillah kepada institusi ini ialah sebanyak RM40,000 bagi bilangan pelajar 40 hingga 80 orang, 81 hingga 120 pelajar (RM60,000), 121 hingga 160 pelajar (RM80,000), 161 hingga 200 pelajar (RM100,000) dan 200 pelajar ke atas pula akan dibayar mengikut kesesuaian dan kelulusan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam).

Sekiranya jumlah pelajar tidak mencapai angka minimum yang ditetapkan iaitu 40 orang, kelulusan bantuan diberi adalah bergantung kepada budi bicara pegawai yang diberi kuasa.

Sementara itu, Penasihat Teknikal Pusat Tahfiz Darul Hijrah, Shafie Ismail berkata pihaknya telah menghantar permohonan layak menduduki (CF) kepada Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) kira-kira enam bulan lepas.

"Bagaimanapun ia masih belum diluluskan kerana terdapat beberapa aspek yang masih belum mengikut kriteria ditetapkan MBKT.

"Susulan itu, pengurusan tahfiz telah menubuhkan pasukan khas teknikal terdiri dari jurutera dan juruukur untuk menambah baik sistem keselamatan di sini agar layak menerima perakuan CF seterusnya berdaftar dengan JHEAT secepat mungkin," katanya.

Pusat Tahfiz yang mula beroperasi pada tahun 2015 itu sehingga kini mempunyai 80 pelajar daripada usia tujuh hingga 17 tahun.

Ia adalah antara pusat tahfiz serba moden di Terengganu dengan kelengkapan dewan serbaguna berhawa dingin, kolam renang, taman permainan, kantin, asrama dan tempat latihan memanah.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment