Saturday, July 1, 2017

32,000 HADIRI RUMAH TERBUKA TPM

PUTRAJAYA, 1 Julai (Bernama) -- Kira-kira 32,000 tetamu menghadiri majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan isteri, Datin Seri Hamidah Khamis di kediaman rasminya di Sri Satria di sini hari ini.


Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri, berpakaian baju Melayu berwarna biru dan isteri yang mengenakan baju kurung, bersalaman dan beramah mesra dengan pengunjung.

Majlis bermula 11.45 pagi itu dimeriahkan dengan kehadiran barisan Menteri Kabinet, pemimpin komponen parti Barisan Nasional (BN), duta asing, pengurusan tertinggi kerajaan serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC), dan diikuti orang ramai pada 2 petang.

Pada majlis itu, 220 anak yatim daripada Pertubuhan Kebajikan dan Pendidikan Al'Mahabbah, Klang dan Rumah Kebajikan Asnaf, Keramat, turut diraikan dan menerima sumbangan duit raya dan hamper.

Tetamu yang hadir disajikan dengan 50 menu, antaranya sate, murtabak, ketupat, laksa, kuih raya, cendol dan buah-buahan.

Majlis yang berakhir kira-kira 6.30 petang itu turut dimeriahkan dengan persembahan oleh artis tempatan antaranya Datuk Siti Nurhaliza dan Suffian Suhaimi.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid gembira dengan kehadiran rakyat berbilang kaum pada majlis itu, dan berharap rakyat terus bersama-sama mendukung kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam mendepani ancaman yang dihadapi negara.

"Kita tahu pelbagai ancaman menerjah negara kita, walaupun kita mempunyai daya tahan, tetapi jangan izinkan pemimpin kita berdiri sendiri tanpa dukungan daripada rakyat kerana yang diserang adalah negara," katanya ketika lintas langsung bersama Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada majlis itu.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada anggota pasukan keselamatan yang bertugas mempertahankan negara pada musim perayaan Aidilfitri.

"Kepada mereka yang belum sempat untuk bersama-sama dengan keluarga berhari raya, mereka diberi kelonggaran untuk bertemu dengan isteri, anak-anak dan keluarga (selepas ini)," katanya.

Ahmad Zahid turut menasihatkan orang ramai yang akan pulang ke ibu kota selepas berhari raya di kampung halaman agar berhati-hati di jalan raya.

"Lazimnya apabila mereka pulang berhari raya di kampung, mereka cukup berhati-hati tetapi apabila kembali ke ibu kota mereka terburu-buru menyebabkan kadar kemalangan meningkat. Maka saya berharap mereka lebih berhati-hati di jalan raya," katanya.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata konsep rumah terbuka pada musim perayaan dapat mengukuhkan perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama.

No comments:

Post a Comment