Wednesday, July 26, 2017

CASIS TELAH ANJUR 30 CERAMAH INDIVIDU

KUALA LUMPUR:  Centre for Advanced Studies on Islam, Science and Civilisation (CASIS), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sudah menganjurkan 30 siri ceramah individu sejak penubuhannya pada tahun 2011.

Menurut Pro Naib Canselor UTM Kuala Lumpur, Prof Dr Durrishah Idrus ceramah yang dikenali sebagai Kuliah Malam Sabtu telah disampaikan oleh tokoh pengajian Islam dan tamaddun yang terkenal, Tan Sri Prof Dr Syed Muhammad Naquib Al Attas.

"Setiap kuliah beliau mendapat sambutan hangat daripada 400 orang peseta dari Malaysia, Indonesia, Singapura, Brunei dan Turki," katanya ketika merasmikan Persidangan Ulama dan Kebangkitan Tamaddun Islam Antarabangsa di kampus UTM di sini hari ini.

Katanya, walaupun sumber kewangan dan kakitangannya terhad, tetapi kakitangan CASIS telah menghasilkan banyak kajian yang berfaedah untuk memahami ajaran Islam sebagai agama dan tamaddun dalam menghadapi cabaran kejahilan, ekstrim, konservatif dan pemodenan sekular selain daripada mempromosi isu isu asas yang melibatkan umat Islam.

"CASIS telah aktif menganjurkan program kepimpinan dan pelbagai aktiviti sama ada dalam negara atau di peringkat global, " tegasnya.

Persidangan tiga hari itu dianjurkan bersama oleh CASIS dan Persatuan Tarekat Muktabar Malaysia (PERTAMA).

Dr Durrishah menambah CASIS  mempunyai lapan kakitangan akademik termasuk tiga sarjana dari Russia, Ghana dan Indonesia dengan bantuan empat orang kakitangan pentadbiran sepenuh masa.

"CASIS kini menjadi tumpuan 70 orang pelajar postgraduate termasuk dari Turki, China, Singapura, Nigeria dan Indonesia," katanya lagi.

Beliau bangga kerana ulama seluruh dunia berkumpul di UTM untuk membincangkan peranan Islam dalam aspek kemanusiaan yang berkaitan dengan kebangkitan tamaddun.

"UTM menggalakkan networking dengan institusi kebangsaan dan antarabangsa yang boleh berkongsi fikiran dalam meluaskan lagi budaya intelektual sejajar dengan misi universiti," tegasnya.

No comments:

Post a Comment