Saturday, July 15, 2017

KEPIMPINAN PAKATAN HARAPAN TAK MAMPU "IMPRESS" RAKYAT

GEORGE TOWN, 15 Julai (Bernama) -- Pembentukan barisan kepimpinan Pakatan Harapan dilihat tidak mampu 'mengagumkan' masyarakat untuk menjadi pesaing Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata usaha membentuk pakatan itu hanya untuk melihat penerimaan orang Melayu terhadap kepimpinannya.

"Pada saya nak buat (pembentukan barisan kepimpinan) itu untuk nak bagi masyarakat tengok bahawa kami ini dalam satu komponen Pakatan Harapan.


"Kita nampak bahawa mereka cuba nak tengok orang Melayu boleh terima bahawa inilah bentuk kepimpinan Pakatan Harapan.

"Saya tak nampak bahawa dia punya 'impress' untuk masyarakat melihatnya sebagai salah satu daripada gabungan untuk bersaing dengan BN dalam PRU14," katanya kepada pemberita pada mesyuarat perwakilan Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Bayan Baru, di sini malam ini.

Pada Khamis, Pakatan Harapan terdiri daripada PKR, DAP, Parti Amanah Negara dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) turut mengumumkan struktur kepimpinan baharunya dengan menamakan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Ketua Umum, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Pengerusi dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai Presiden.

Mengulas mengenai struktur kepimpinan baharu itu, Mahdzir yang juga Menteri Pendidikan berkata pelantikan tiga 'ketua' jelas menunjukkan bahawa gabungan itu tidak mempunyai persefahaman kerana masing-masing mempunyai agenda tersendiri.

Beliau berkata berbeza dengan parti BN, walaupun mempunyai 13 parti komponen namun parti itu sepakat untuk taat setia pada seorang pengerusi yang juga Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Apa yang barangkali boleh saya sebut tidur di katil yang sama tapi mimpi lain-lain, mereka susah nak buat keputusan. Barangkali inilah yuang dipersetujui mereka sehingga tengah malam dalam rundingan dan mesyuarat Pakatan Harapan," katanya.

Sementara itu, berucap merasmikan mesyuarat itu, Mahdzir berkata UMNO tidak perlu rasa gentar, takut atau rendah diri dan akan terus memerintah negara selepas pilihan raya umum ke-14 ini.

"UMNO memerintah negara ini sejak 60 tahun lepas dan menentukan semua dasar-dasar di negara ini dan selepas 60 tahun kita telah membuktikan bahawa UMNO mampu memerintah negara tanpa sebarang masalah," katanya.

Beliau berkata semua anggota UMNO perlu terus menunjukkan solidariti agar negara itu terus diperintah oleh UMNO.

"Pembangkang telah memulakan gerakan untuk merampas kepimpinan negara sejak 2008 tidak berhenti fitnah dan pembohongan terhadap UMNO tetapi kepimpinan negara kita berada di landasan yang betul dan negara akan terus maju jika terus dipimpin oleh UMNO," katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment