Tuesday, July 25, 2017

ZAKARIA ARSHAD JADI KAMBING HITAM?


Oleh Shahbudin Haji Embun
(sudah disiarkan dalam Berita Harian)



Dalam kehidupan seharian kita, baik di pejabat mahupun ketika mengendalikan sebarang urusan ,kita mungkin pernah berdepan dengan pelbagai isu yang mana ada ketikanya seseorang itu ditimpakan kesalahan demi menutup kesalahan orang lain. Dalam bahasa atau perbualan hari ini, orang itu dikatakan sebagai kambing hitam.Mereka yang menjadi kambing hitam ini menjadi mangsa keadaan demi menutup sesuatu isu atau untuk menyelamatkan individu yang lain.


Pengertian kambing hitam ini atau Black Sheep sudah lama digunakan dalam bahasa Inggeris. Namun penulis yakin perkataan ini mungkin tidak ada langsung dalam pengertian bahasa Jepun. Mungkin ini disebabkan budaya bangsa Jepun yang berani mengakui kesalahan sendiri sehingga sanggup melepaskan jawatan yang disandang .Sifat kebertanggungjawapan ini menunjukkan bagaimana bangsa Jepun begitu mementingkan soal integriti dan amanah yang dipikul.


Baru-baru ini Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi ada membuat kenyataan bahawa beliau percaya ada gerakan terancang yang mahu memastikan ketua Pegawai Ekskutif (CEO) Kumpulan Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV) Datuk Zakaria Arshad yang juga merupakan Presiden FGV didapati bersalah dan kemudiannya akan dipecat.


Bahkan beliau menjelaskan lagi siasatan perlu dilakukan bagi menyiasat usaha pihak tertentu yang mahu menjadikan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan, Datuk Zakaria Arshad sebagai kambing hitam.Tidaklah diketahui sama ada apa yang dinyatakan itu ada kebenarannya.


Pandangan ini juga nampaknya turut dipersetujui oleh Generasi kedua FELDA yang secara terus terang menyatakan ketidakyakinan mereka dengan kepimpinan Tan Sri Dr Sulaiman Mahbob sebagai Pemangku Pengerusi Felda Global Ventures Bhd (FGV) . Kumpulan ini juga bimbang Datuk Zakaria Arshad dijadikan sebagai kambing hitam.


Nampaknya isu ketidakpercayaan yang timbul ini menggambarkan seolah olah segala keputusan yang dibuat oleh Sulaiman Mahbob masih lagi dipengaruhi oleh “orang lama” dan legasi yang ditinggalkan oleh Tan Sri Isa Samad dilihat akan berterusan. Dalam hal ini mereka juga merasakan segala masalah yang berpunca dari ahli lembaga pengarah kemungkinan besar diletakkan di bahu Zakaria dan ini menjadikan beliau begitu senang untuk dijadikan sebagai kambing hitam.





Mengimbas kembali, semasa kemelut FGV ini berada di kemuncak , Zakaria Arshad telah direhatkan daripada tugas rasmi bagi memudahkan penyiasatan dilakukan. Dalam hal ini Zakaria telah memberikan kerjasama yang sepenuhnya yang mana beliau telah tampil ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi memberi keterangan dan menyerahkan dokumen FGV untuk disiasat oleh pihak SPRM .


Apa yang dilakukan oleh beliau merupakan satu tindakan yang berani bagi membantu Suruhanjaya PRM untuk mencari sebarang bukti tentang wujudnya penyelewengan.


Zakaria bukanlah muka baru dalam dunia korporat dan mempunyai pengalaman luas dalam menghadapi sepak terajang dalam apa yang berlaku dalam dunia korporat . Dan sebagai anak kelahiran Felda, yang kemudiannya menjadi sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan syarikat, sudah pasti Zakaria mahu memulihkan persepsi negatif yang dilemparkan kepada FGV.


Beliau dilahirkan sebagai orang susah dan tahu akan penderitaan dan perjuangan yang dialami oleh para peneroka. Dan memandangkan pengalaman beliau selama 32 tahun dalam Kumpulan Felda, maka sudah sepatutnya beliau diberikan peluang untuk menyelesaikan sebarang isu yang melibatkan FGV.


Sejak dilantik sebagai CEO FGV, Zakaria sememangnya merupakan calon yang sesuai untuk duduk di kerusi panas itu. Perlu diingatkan bahawa FGV sedang bertarung untuk mengukuhkan kedudukan dan terus mencipta nama dalam bidang agro bisnes yang begitu kompetetif di peringkat global.





Ini adalah hakikatnya yang mana dalam salah satu laporan, FGV merupakan syarikat ketiga kelapa sawit terbesar di dunia mengikut keluasan tanaman. Di Malaysia sahaja, FGV mengawal lebih 850,000 hektar tanah merangkumi 500,000 hektar dan secara kasar ia menyewa dan menguruskan 112,635 pekebun kecil Felda.Itu sebabnya kemelut dan masalah yang melanda FGV ini perlu diatasi dengan seadil adilnya.






Mungkin ada di antara kita atau warga Felda yang tidak menghiraukan langsung tentang isu FGV dan kedudukan Zakaria atau sesiapa sahaja yang menerajui FGV ini. Namun kita tidak boleh menolak kemungkinan isu ini akan memberikan juga kesan yang negatif terhadap kepercayaan para peneroka Felda.Dan jangan terkejut jika di Pilihan Raya Umum ke 14 nanti ada para peneroka Felda yang akan mengambil jalan mudah dengan menghukum pihak kerajaan .

No comments:

Post a Comment