Wednesday, July 26, 2017

BERPOLITIKLAH SECARA BERADAB

KUALA LUMPUR, 26 Julai (Bernama) -- Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak menggesa ahli politik di negara ini untuk berpolitik secara beradab dan tidak bermusuhan sekalipun berbeza pendapat.


Katanya dalam sebuah negara demokrasi, pemimpin, ahli politik dan rakyat berhak memberi pandangan, menegur dan mengkritik pemerintah, namun perlu dibuat secara beradab dan bukannya dengan caci maki serta fitnah.

"Tidak perlulah kerana perbezaan politik kepartian kita bermusuhan. Itu bukan politik beradab. Yang kita perlu sekarang ialah berpolitik secara fakta dan data.

"Inilah yang kurang dalam politik kita sehingga ada kalanya menyebabkan adab berpolitik kita mati," katanya dalam catatan di laman blognya hari ini.

Salleh yang juga Bendahari UMNO berkata agama sendiri menolak perilaku politik cacian, kebencian dan dendam kerana ia merosakkan pemikiran politik rakyat, menghasilkan pemimpin tidak bermutu, mengganggu keharmonian masyarakat, menjejaskan pembangunan politik negara dan merosakkan pembinaan tamadun bangsa.

Justeru, katanya anggota politik perlu bersikap bijaksana dan berhikmah dalam mengambil sesuatu keputusan politik, selain memanfaatkan ruang awam secara rasional.

"Semoga dengan mengamalkan politik beradap, kita boleh berperanan secara bersama dalam membangunkan negara," katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment