Monday, November 27, 2017

AHLI POLITIK DIGESA BERHENTI GUNA AGAMA UNTUK TAKUTKAN RAKYAT

KUALA LUMPUR, 27 Nov (Bernama) -- Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak menggesa masyarakat khususnya ahli politik agar berhenti menggunakan agama untuk tujuan menakutkan rakyat.

Beliau berkata adalah malang apabila sesetengah ahli politik menggunakan agama sebagai momok untuk tujuan memecahbelahkan rakyat.

Memetik keunikan di Sabah dan Sarawak, Salleh berkata kedua-dua negeri ini tidak pernah berdepan masalah agama 'tetapi kini sebilangan ahli politik cuba membangkitkan sentimen agama sebagai sebahagian strategi politik mereka'.

"Ini bukan sahaja licik tetapi juga berbahaya. Malah (pemimpin veteran DAP) Lim Kit Siang juga memperkatakan mengenai agama dalam catatan blog terbaru beliau," kata Salleh dalam catatan blog beliau hari ini.

Menteri itu berkata banyak contoh dapat dilihat di seluruh dunia tentang apa yang berlaku apabila konflik agama dibangkitkan.

"Mengapa kita mesti memisahkan umat Islam menjadi umat Islam yang moderat dan ekstrem dan seterusnya mengasingkan orang Islam dan bukan Islam? Hanya ahli politik yang cetek idea akan melakukan perkara ini.

"Ia juga ironik apabila mereka yang melakukan pemisahan itu, merungut mengenai masalah tersebut dan berkata Malaysia perlu diselamatkan. Ia seperti 'the fox offering to save the chickens from getting eaten by other foxes' (Harapan diletakkan pada bahu seseorang tetapi akhirnya orang itu pula yang merosakkannya)," katanya.

Salleh juga menegaskan pembinaan negara tidak dapat dicapai dengan memisahkan rakyat.

"Jadi mari kita dengar penyelesaian daripada mereka yang cuba memecahbelahkan Malaysia. Bercakap mengenai betapa teruknya pemisahan ini, tidak akan menyatukan negara. Ia hanya akan memisahkan rakyat Malaysia.

"Kita terus mendengar mengenai masalah ini tanpa memberi penyelesaian. Dan mereka yang mengkritik itu sebenarnya yang bermasalah," katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment