Thursday, November 9, 2017

MEDIA SOSIAL BERKUASA MEMPENGARUHI KEHIDUPAN HARIAN

KUALA LUMPUR, 9 Nov (Bernama) -- Media sosial merupakan alat pemerkasaan yang berkuasa untuk mempengaruhi pelbagai aspek kehidupan harian orang ramai, termasuk dari segi ekonomi, sosial dan politik, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak
.

Beliau berkata bagaimanapun alat yang begitu berkuasa itu mempunyai peranan serampang dua mata yang perlu digunakan dengan penuh tanggungjawab.

"Penggunaannya secara salah boleh menyebabkan kemusnahan dan keperitan, manakala penggunaannya secara betul mampu membina masyarakat dan memperkukuhkan ekonomi dan kehidupan.

"Justeru, media sosial perlu digunakan dengan berhati-hati dan penuh tanggungjawab. Hormati undang-undang dan biar kesopanan, adab sosial dan etika menjadi prinsip dan garis panduannya," katanya.

Salleh berkata demikian dalam ucapan pada majlis penyampaian Anugerah Minggu Media Sosial 2017 anjuran Social Media Chambers (SMC), di sini, malam ini.

Sebanyak 33 kategori dipertandingkan bagi anugerah itu, bertujuan menggalakkan peranan media sosial dengan memberi penghargaan kepada beberapa syarikat media sosial terbaik di Asia.

Sementara itu, Salleh berkata penebusan jalur lebar isirumah di seluruh negara telah mencapai 81.8 peratus pada suku pertama tahun ini.

Beliau berkata bagi tempoh sama, 103.6 bagi setiap 100 penduduk di negara ini mempunyai akses kepada hubungan jalur lebar manakala pemilikan telefon bimbit mencecah 134 bagi setiap 100 penduduk.

"Berdasarkan statistik pada 2016, 77.6 peratus daripada populasi Malaysia atau 24.1 juta ialah pengguna Internet, dan 80 peratus daripada mereka ialah pengguna media sosial.

"Setiap pengguna mempunyai purata empat akaun media sosial, yang hanya menggunakannya untuk berkomunikasi dan mendapatkan maklumat," katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment