Friday, November 24, 2017

ISU GRED GURU BESAR, PENOLONG KANAN DIBAWA KE KABINET

SEPANG, 24 Nov (Bernama) - Isu berkenaan gred jawatan guru besar dan penolong kanan yang dikatakan tidak memuaskan telah dikemukakan untuk perhatian Jemaah Menteri, kata Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Katanya beliau telah menyerahkan butiran berkenaan dua gred berkenaan kepada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamid pada mesyuarat Jemaah Menteri hari ini.

"Masih belum dibincang tetapi sudah dimaklumkan kepada timbalan perdana menteri bentuk, jumlah keseluruhan (gred) dan akan dibincangkan dalam Kabinet nanti," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Konvokesyen dan Apresiasi Sekolah Kiblah di sini,pada hari ini.

Hadir sama ialah Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hamzah Zainudin yang juga penasihat tetap Sekolah dan Maahad Tahfiz Kiblah.

Ahmad Zahid sebelum ini dilaporkan berkata isu gred pentadbir di sekolah rendah khususnya guru besar dan penolong kanan akan dibawa ke mesyuarat Kabinet ekoran permintaan tangga gaji sedia ada dikaji semula untuk perjawatan tersebut.

No comments:

Post a Comment