Tuesday, November 21, 2017

MOA PERUNTUK RM1 JUTA UNTUK MANGGA HARUMANIS

ARAU, 21 Nov (Bernama) -- Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani hari ini mengumumkan peruntukan sebanyak RM1 juta khusus bagi perkembangan industri mangga harumanis di Perlis.

Menterinya Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata peruntukan berkenaan akan diguna antaranya untuk penambahbaikan saliran, tanaman dan keperluan logistik bagi meningkatkan produktiviti serta pemasaran harumanis.


"Sebelum ini sudah ada peruntukan, tapi untuk tahun ini tidak banyak... Kita juga akan lihat mungkin ada peruntukan tambahan yang boleh disalurkan (untuk industri harumanis), misalnya mungkin ada bajet daripada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Bengkel Memperkasakan Harumanis 2017, di Universiti Teknologi Mara Perlis di sini, hari ini.

Beliau berkata pihaknya juga akan berusaha mendapatkan peruntukan kewangan tambahan khusus untuk penyelidikan bagi meningkatkan kualiti ikon kebanggaan Perlis itu.

Katanya kajian khusus harus dilaksanakan kerana harumanis mempunyai keistimewaan serta nilai eksotika tersendiri dan buah berkenaan merupakan jenama negara yang perlu dikembangkan.


No comments:

Post a Comment