Monday, August 7, 2017

BELIA BOLEH MILIKI RUMAH MELALUI RBN

KUALA LUMPUR, 7 Ogos (Bernama) -- Golongan belia luar bandar yang telah berkahwin kini berpeluang untuk memiliki rumah sendiri menerusi skim Rumah Bina Negara (RBN) yang diperkenalkan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) melalui agensi yang dipertangungjawabkan iaitu Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda).

Risda dalam kenyataan hari ini berkata melalui skim itu, belia yang tidak mempunyai slip gaji dan bekerja sendiri dalam sektor pertanian seperti perladangan, perniagaan atau aktiviti agro pertanian layak untuk memohon pembiayaan pinjaman RBN.

"Pembinaan RBN memberi peluang kepada belia luar bandar yang secara umumnya daripada komuniti pertanian dan tidak mempunyai rumah terutamanya mereka yang sudah berkahwin.

"Mereka yang layak akan dibiayai oleh Agrobank menerusi pembiayaan yang bakal dilancarkan nanti," kata kenyataan itu.

Sebelum ini, KKLW dan Risda telah mengadakan Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Agrobank bagi memudahkan permohonan pembiayaan pinjaman RBN melalui produk pembiayaan khas yang akan dilancarkan bulan ini.

No comments:

Post a Comment