Saturday, August 19, 2017

BERI MAKLUMAT KEPADA SKMM JIKA ADA LAMAN SOSIAL PESONGKAN AKIDAH UMAT ISLAM



KUALA NERUS, 19 Ogos (Bernama) -- Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Jailani Johari meminta orang ramai tampil memberi maklumat kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) berkaitan laman sosial yang boleh memesongkan akidah umat Islam di negara ini.

Beliau berkata selain itu, SKMM berkerjasama dengan agensi berkaitan seperti Polis DiRaja Malaysia dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bagi menyiasat perkara itu sebelum tindakan undang-undang diambil terhadap pihak yang terlibat.

"Laman sosial sedemikian sepatutnya tidak wujud kerana jelas dinyatakan di dalam Perlembagaan Malaysia bahawa Islam adalah agama rasmi, dan perbuatan yang menjurus kepada memesongkan akidah umat Islam ini jelas menyalahi perlembagaan.

"Bagaimanapun, apa jua penyalahgunaan yang dilakukan di Internet yang boleh memesongkan akidah, memecahbelahkan masyarakat seperti fitnah dan sebagainya, SKMM akan terlebih dahulu merujuk kepada agensi berkaitan kerana tindakan undang-undang nuakn di bawah akta multimedia sahaja tetapi turut melibatkan akta-akta berkaitan agensi lain," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Program MyMerdeka @60 peringkat negeri, di sini. Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Datuk Mohd Sukari Ab Hamid.


Baru-baru ini, sekumpulan anak Melayu beragama Islam dikesan menyertai kelab yang tidak mempercayai kewujudan Tuhan, Atheist Republic Kuala Lumpur, selepas perjumpaan mereka di Kuala Lumpur disiarkan menerusi laman Facebook rasmi Atheist Republic.

Atheist Republic dipercayai berpangkalan di Kanada dan diasaskan oleh Armin Navabi, seorang lelaki kelahiran Teheran, Iran.

Mengulas tindakan PAS yang mendakwa rakaman video peristiwa berdarah Memali pada 1985 disiarkan semula di media sosial dan televisyen atas arahan kerajaan, Jailani berkata isu itu akan disiasat dahulu sebelum tindakan selanjutnya diambil oleh SKMM.

"Kerajaan tidak boleh menghalang pemilik laman sosial termasuk stesen televisyen menyiarkan semula rakaman peristiwa berdarah Memali itu yang berlaku pada November 1985.

"Tetapi, jika rakaman itu boleh menimbulkan ketegangan kaum, tiada masalah untuk kita mengarahkan SKMM untuk menghentikan penyiaran rakaman video itu," katanya.

Rakaman video itu tular menerusi aplikasi dan laman media sosial seperti WhatsApp dan Facebook sejak kekecohan berlaku pada program Nothing to Hide 2.0 yang dihadiri bekas Pengerusi Persatuan Pribumi Bersatu Malaysia Tun Dr Mahathir Mohamad di Dewan Raja Muda Musa, Seksyen 7, Shah Alam pada Sabtu lepas.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment