Sunday, August 20, 2017

KERAJAAN BERSEDIA TUBUHKAN RCI MENGENAI MEMALI

TAIPING, 20 Ogos (Bernama) -- Kerajaan bersedia menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menyiasat peristiwa Memali sekiranya ada permintaan daripada mana-mana pihak termasuk keluarga mangsa, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata keadilan perlu ditegakkaan dan orang yang bertanggungjawab terhadap peristiwa itu mesti dipertanggungjawabkan.

"Saya selaku Menteri Dalam Negeri akan meneliti sendiri semua laporan mengenai peristiwa tersebut," katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Bukit
Gantang di sini, hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Naib Presiden UMNO berkata dalam menegakkan undang-undang semua pihak perlu mengetepikan perbezaan politik.

Peristiwa Memali pada 19 Nov 1985 menyaksikan 18 orang termasuk empat anggota polis terbunuh dan ramai lagi cedera ketika polis melancarkan operasi menangkap guru agama, Ibrahim Mahmud atau lebih dikenali dengan nama Ibrahim Libya.

Ahmad Zahid berkata bekas Timbalan Perdana Menteri Tun Musa Hitam dalam bukunya bertajuk 'Frankly Speaking' ada menyebut bahawa beliau mendapat arahan untuk menghapuskan Kampung Memali kerana terdapat unsur keganasan dan militan yang dilakukan oleh pemimpin PAS.

Sehubungan itu, Ahmad Zahid berkata pemimpin yang mendakwa dirinya tiada dalam negara ketika tragedi tersebut berlaku, diminta mengakuinya.

"Peristwa Memali telah berlalu lebih dua dekad, namun kita harus ingat mangsa, keluarga, anak-anak yatim yang meninggal dunia dinafikan hak oleh pemerintah ketika itu.

"Akibatnya ia kini menjadi isu kerana darah dan nyawa yang hilang dipandang mudah oleh orang yang melaksanakan kuasa, tetapi tidak mudah dilupakan oleh mangsa," katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment