Wednesday, August 9, 2017

PERLUKAH PETROS DITUBUHKAN?



KUCHING, 9 Ogos (Bernama) -- Lembaga pengarah Petros, syarikat minyak dan gas milik penuh Sarawak, dianggotai mereka yang pernah bekerja dengan Petronas dan Shell, kata Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Abang Johari Tun Openg hari ini.

Beliau berkata, sebagai permulaan, lima anggota lembaga pengarah syarikat itu, kesemuanya anak Sarawak, telah dilantik dan mereka akan mengadakan mesyuarat pertama dalam tempoh terdekat bagi menentukan siapakah yang akan menyandang jawatan ketua pegawai eksekutif syarikat itu.

"Ia baru di peringkat pembentukan, apa yang penting ialah kita perlu mempunyai wadah sendiri (dalam industri ini), kemudian kita akan bekerjasama dengan Petronas, khususnya dalam aktiviti huluan," kata beliau dalam pertemuan singkat dengan pemberita selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa Pengajian Bahasa 2017 di sebuah hotel terkemuka di sini hari ini.

Abang Johari berkata beliau akan memaklumkan kepada Dewan Undangan Negeri pada persidangannya November ini tentang syarikat berkenaan, yang diamanahkan tanggungjawab menjaga kepentingan Sarawak dalam industri minyak dan gas.

Abang Johari mengumumkan penubuhan Petros pada satu majlis makan malam penghargaan minggu lepas dan menurut laporan, penubuhan syarikat itu merupakan langkah yang julung kali diambil kerajaan negeri bagi membolehkan Sarawak melibatkan diri secara aktif dalam pengeluaran minyak dan gas di negeri ini, di samping terus memohon 20 peratus royalti daripada Petronas.

No comments:

Post a Comment