Saturday, August 12, 2017

PM LANCAR PROJEK KETIGA TULANGIS MAJU

MACHANG, 12 Ogos (Bernama) --Selepas melancarkan projek Tulangis Maju di Bukit Nanas,Kuala Nerus, Terengganu pada 15 April lalu dan di Tehel, Jasin, Melaka pada 21 April lalu, semalam Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak melancarkan projek ketiga syarikat tersebut di Machang, Kelantan.

Sebanyak 418 unit rumah PPR Parlimen Machang yang melibatkan kos RM75 juta sedang dibina di Kampung Batu 25 di sini dan dijangka siap pada awal 2019.

Majlis itu turut dihadiri Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Seri Mustafa Mohamad, ahli parlimen Machang, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub,Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar,  Ketua Penerangan Umno Malaysia, Tan Sri Anuar Musa, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Ashraf Wajdi Dusuki dan Ketua Pegawai Eksekutif Tulangis Maju Sdn Bhd, Dato' Mohamed Rahim Husin.

Dalam ucapannya Najib meluluskan peruntukan lebih RM8.5 juta untuk pelaksanaan pelbagai projek pembangunan untuk rakyat di kawasan Parlimen Machang.

Beliau berkata peruntukan tersebut melibatkan pembinaan jalan perhubungan desa sebanyak RM5 juta diikuti projek ameniti sosial (RM2 juta) dan projek khas untuk membina musalla (surau) dan sebagainya (RM1.53 juta).

Projek lain ialah Projek Perumahan Rakyat Miskin sebanyak 100 buah, baik pulih rumah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) sebanyak 100 buah dan jalan-jalan kampung sekitar Parlimen Machang, katanya ketika berucap pada Majlis Perdana Menteri Bersama Rakyat dan Pelancaran Projek Perumahan Rakyat (PPR) Parlimen Machang di Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Machang di sini, semalam.


Terdahulu semasa berucap pada majlis tersebut, Anggota Parlimen Machang Datuk Ahmad Jazlan Yaakub memohon kepada perdana menteri supaya meluluskan beberapa projek pembangunan untuk rakyat di kawasan Parlimen berkenaan.

Bagaimanapun perdana menteri berkata bagi projek PPR tambahan yang dimohon oleh Ahmad Jazlan, ia boleh diluluskan sekiranya kawasan Parlimen itu terus dimenangi oleh Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum ke-14.

Najib percaya dengan semangat dan sokongan yang ditunjukkan oleh rakyat Machang dan Kelantan, negeri ini boleh menjadi milik BN pada PRU-14.

Sebanyak 418 unit rumah PPR Parlimen Machang yang melibatkan kos RM75 juta sedang dibina di Kampung Batu 25 di sini dan dijangka siap pada awal 2019.

-- BERNAMA






No comments:

Post a Comment