Saturday, August 26, 2017

MAHATHIR DATANG KE BESUT, 250 ORANG AHLI PPBM KELUAR PARTI



Kuala Nerus – Semalam Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad datang ke Besut tetapi parti itu menerima kejutan apabila seramai 250 orang keluar PPBM di majlis persidangan Umno Bahagian Kuala Nerus yang dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad.

“Kami silap, hanya UMNO sahaja parti yang akan memperjuang nasib bangsa Melayu,” demikian kata Kamarul Azman Habibur Rahman, bekas pemimpin kanan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).


Beliau berkata demikian ketika menyerahkan borang keahlian UMNO kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Stadium Tertutup Gong Badak, di sini semalam.


Menurut Kamarul yang juga salah seorang pengasas dan bekas Setiausaha Kerja PPBM, keputusan beliau untuk keluar dari PPBM dan kembali kepada UMNO kerana melihat banyak perkara yang tidak betul dalam perjuangan parti itu termasuklah pertembungan kuasa antara Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Pengerusi PPBM, Tun Mahathir.

“Sebaik sahaja PPBM didaftarkan, saya sebagai Setiausaha Kerja dipanggil ke pejabat Tan Sri Muhyiddin pada sebelah pagi dan pada sebelah petang hari yang sama terpaksa ke pejabat Tun Mahathir.

“Semasa di pejabat Tan Sri Muhyiddin, beliau memberitahu kepada saya yang beliau merupakan Presiden yang akan membuat segala keputusan dalam parti.

“Apabila saya memberitahu akan ada juga mesyuarat yang sama bersama Tun pada sebelah petang, Tan Sri Muhyiddin menjelaskan bahawa Tun hanyalah Pengerusi yang tugasnya hanya mempengerusikan mesyuarat, dan saya dinasihatkan supaya tidak menghadiri mesyuarat tersebut.

“Tetapi saya pergi juga dan Tan Sri telah menghantar seorang orang kanannya ke mesyuarat tersebut untuk bertanya kepada Tun mengenai pendirian dan kuasa politik beliau sebegai Pengerusi.

“Soalan itu telah mendatangkan kemarahan Tun dan bermula dari situ saya sedar bahawa yang membuat keputusan di dalam parti ialah Tun sendiri demi kepentingan peribadi beliau iaitu anaknya, Datuk Seri Mukhriz,” katanya.

Menurut Kamarul lagi, beliau dan bekas-bekas ahli PPBM akan mendedahkan lebih banyak kepincangan yang berlaku dalam parti tersebut selepas ini.

Turut sama menyerahkan borang keahlian UMNO ialah seramai 250 bekas ahli PPBM yang kecewa dengan parti tersebut.

No comments:

Post a Comment