Tuesday, August 8, 2017

SETIAP RAKYAT PERLU MENJIWAI SEMANGAT PATRIOTISME

BATU PAHAT, 8 Ogos (Bernama) -- Setiap warganegara Malaysia perlu menjiwai semangat patriotisme supaya dapat menjadi penangkis kepada sebarang ancaman musuh negara, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia (KKMM) Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

Berucap ketika merasmikan majlis pelancaran "Negaraku Sehati Sejiwa" Peringkat Kebangsaan 2017 di Stadium Batu Pahat di sini malam ini, beliau berkata oleh kerana itu, proses penerapan, penyuburan dan menyemarakkan patriotisme, perlu didukung oleh bangsa Malaysia seluruhnya.

"Bangsa Malaysia hendaklah menjiwai serta mendukung perjuangan menerap, memupuk dan menyemarakkan patriotisme Malaysia secara gigih.

Hakikatnya, ketahanan nasional dan patriotisme Malaysia bukannya sekadar mengibarkan Jalur Gemilang dan menyanyikan Lagu Kebangsaan sewaktu sambutan Hari Kebangsaan tetapi memahami, menghayati dan mengamalkan semangat kebijaksanaan silam," kata beliau di hadapan kira-kira 25,000 masyarakat sekitar daerah ini.

Menurut beliau, kesetiaan yang tidak berbelah bahagi terhadap negara ini pasti akan dapat mendorong semangat dan pengorbanan yang tinggi terhadap tanah air.

Selain itu, semangat patriotisme jugalah yang akan membina rasa kebersatuan dan kebersamaan rakyat Malaysia, tambah Salleh.

Dalam pada itu, nilai patriotisme yang tertanam dalam setiap jiwa rakyat Malaysia perlu menjadi pendorong dan pemangkin kepada usaha-usaha memajukan dan memakmurkan negara tercinta.

"Kelangsungan negara bangsa mesti diisi dengan kesediaan rakyat bekerja keras sesuai dengan bidang dan kepakaran masing-masing bagi mencapai wawasan negara terutama TN50," kata Salleh.

Turut hadir pada majlis pelancaran ialah Ketua Setiausaha KKMM Datuk Seri Dr Sharifah Zarah Syed Ahmad, Ketua Pengarah Penerangan Datuk Ibrahim Abdul Rahman serta Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan negeri Datuk Ayub Rahmat selaku wakil Menteri Besar Johor.

Pada majlis yang sama, Salleh turut melepaskan konvoi Kembara Merdeka Negaraku yang terdiri daripada 19 buah kenderaan dan 60 motosikal berkuasa tinggi yang membawa mesej kenegaraan ke seluruh negara.

Pelancaran Negaraku Sehati Sejiwa anjuran Jabatan Penerangan Malaysia dengan kerjasama kerajaan negeri Johor yang bermula pada 7 hingga 8 Ogos ini, bertujuan menyemarakkan sambutan kemerdekaan dan meningkatkan semangat patriotik serta cintakan negara dalam kalangan masyarakat.

Kemuncak malam ini diserikan dengan konsert artis tanah air antaranya Akim & the Majistret, Najwa Latif, Wany Hasrita, Khai Bahar sebelum diakhiri dengan pertunjukan bunga api.

-- BERNAMA


No comments:

Post a Comment