Tuesday, October 10, 2017

FEDERALISME MALAYSIA: KERAJAAN PUSAT ATAU KERAJAAN PERSEKUTUAN?

KUALA LUMPUR, 10 Okt (Bernama) -- Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak hari ini menyangkal dakwaan kononnya kerajaan pusat mengawal kuasa negeri di Malaysia.

Menyatakan dakwaan itu tidak betul, beliau menegaskan kerajaan Malaysia lebih tepat dipanggil sebagai kerajaan persekutuan dan bukannya kerajaan pusat kerana kerajaan Malaysia adalah milik semua rakyat dalam negara Persekutuan Malaysia.

"Malaysia adalah sebuah negara persekutuan. Ciri utama negara persekutuan ialah pembahagian kuasa antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri seperti yang ditetapkan oleh perlembagaan.

"Negara kesatuan pula adalah negara yang diselenggarakan oleh satu kesatuan tunggal, iaitu kerajaan yang mempunyai kuasa tertinggi. Wilayah-wilayahnya hanya menjalankan kekuasaan seperti yang dibenarkan oleh kerajaan pusat sahaja dan ini bermakna kerajaan pusat berkuasa untuk meluaskan, menyempitkan atau menghapuskan kuasa kerajaan wilayah,"katanya dalam catatannya di laman sskeruak.blogspot.my.

Salleh berkata ciri utama negara persekutuan ialah demokrasi dan perpaduan dalam kepelbagaian, bukannya seperti sistem kesatuan yang mana semua sumber kuasanya adalah terletak di tangan kerajaan pusat.

Beliau menjelaskan kerajaan pusat hanya sesuai dipanggil untuk negara kesatuan sahaja manakala bagi negara persekutuan, panggilan yang betul ialah kerajaan persekutuan kerana ia menjadi kerajaan kepada semua wilayah dalam persekutuan, bukannya memiliki semua kuasa seperti mana dalam sistem kesatuan.

Katanya, dalam sistem persekutuan, terdapat bidang-bidang tertentu yang kuasanya berada di tangan wilayah (negeri).

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment