Monday, October 23, 2017

ISMAIL ANGGAP NURUL IZZAH JUMPA JACEL KIRAM PENDERHAKA

KUALA LUMPUR, 23 Okt (Bernama) -- Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini bahawa beliau menganggap tindakan Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar berjumpa Jacel Kiram, anak perempuan Jamalul Kiram III,
adalah sebagai penderhakaan kepada negara.

Ismail Sabri, 57, berkata beliau berpandangan sedemikian kerana Nurul Izzah, yang juga Anggota Parlimen Lembah Pantai telah bertemu dengan individu yang dikaitkan dengan kumpulan yang mengisytiharkan perang terhadap Malaysia dan insiden pencerobohan di Lahad Datu, Sabah pada 2013.

Anggota Parlimen Bera, Pahang itu berkata insiden berkenaan telah menggugat ketenteraman awam dan keselamatan negara serta menyebabkan beberapa anggota keselamatan terkorban.

"Saya juga berpendapat perbuatan Nurul Izzah boleh diambil tindakan di bawah Kanun Keseksaan dan Akta Pencegahan Keganasan 2015," katanya ketika membaca pernyataan saksi pada perbicaraan kes saman fitnah difailkan Nurul Izzah terhadapnya dan bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar atas dakwaan mengeluarkan perkataan-perkataan fitnah berhubung gambar pertemuan Nurul Izzah dengan Jacel Kiram.

Semasa pemeriksaan balas peguam R. Sivarasa yang mewakili Nurul Izzah, Ismail Sabri, yang juga defendan kedua dalam kes saman itu berkata kenyataan tersebut dibuat ketika beliau menghadiri Majlis Berkhatan Perdana 2015 anjuran Pemuda UMNO di Dewan Rakan Muda Bera, Pahang pada 22 Nov 2015.

No comments:

Post a Comment