Wednesday, October 11, 2017

MASALAH RUMAHTANGGA BERI KESAN NEGATIF KEPADA PEMBANGUNAN NEGARA

KUALA LUMPUR, 11 Okt (Bernama) -- Bekas Mufti Terengganu Datuk Ismail Yahya berkata masalah yang berlaku dalam rumah tangga antara suami dan isteri boleh memberi kesan negatif terhadap pembangunan negara.

Menurut Ismail, yang juga bekas Ketua Hakim Mahkamah Syarie di Terengganu, usaha pemerkasaan tidak perlu tertumpu kepada wanita sahaja tetapi juga kepada golongan lelaki agar kedua-dua pihak sedar akan hak serta tanggungjawab mereka dalam melayari bahtera perkahwinan.

"Apa yang berlaku sekarang ini ialah kedua-duanya (suami dan isteri) tidak tahu atau tidak faham tanggungjawab mereka terhadap anak-anak terutamanya selepas berlaku perceraian.

"Bila mereka bercerai, yang menjadi mangsa ialah anak-anak. Mereka (anak-anak) akan menjadi masalah kepada negara kerana apabila tidak terdidik, mereka akan menyumbang kepada berlakunya permasalahan sosial dalam kalangan masyarakat," katanya kepada wartawan selepas tamat forum 'Pemerkasaan Wanita, Pemerkasaan Malaysia' anjuran Institut Diplomasi dan Hubungan Antarabangsa (IDFR) di sini, hari ini.

Katanya sekiranya anak-anak yang tidak terdidik ini terlibat jenayah dan dipenjarakan, kerajaan juga perlu menanggung pembiayaan banduan di dalam penjara menggunakan duit rakyat, yang sepatutnya boleh digunakan untuk tujuan pembangunan negara.

No comments:

Post a Comment